Saturday, July 10, 2010

PAKATAN RAKYAT SEBELUM MERDEKA

PUTERA-AMCJA Gabungan Pakatan Politik Terawal

Tokoh politik tanah air Almarhum Dr. Burhanuddin Al-Helmy pernah berkata: Tuntutan kemerdekaan Malaya tidak akan tercapai kecuali ketiga-tiga kaum terbesar di negara ini bersatu dan menuntutnya bersama. Atas kesedaran inilah gabungan pertubuhan Melayu PUTERA (Pusat Tenaga Rakyat) dan gabungan pertubuhan Bukan Melayu AMCJA (All Malaya Council Joint Action) menubuhkan Pakatan Rakyat yang terawal pada tahun 1947. Matlamat utama pakatan ialah menuntut kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu sepenuhnya disamping menentang penubuhan Federation of Malaya yang telah dicadangkan oleh British untuk kekal memerintah.

AMCJA ditubuhkan pada 22 Disember 1946. Diantara pertubuhan-pertubuhan yang menganggotai AMCJA ialah Malayan Democratic Union (MDU), Malayan Indian Congress (MIC), New Democratic Young Leauge (NDYL) Pan Malaya Federation Trade Union(PMFTU) dan lain-lain pertubuhan perniagaan China negeri-negeri Tanah Melayu. AMCJA diketuai oleh Sir Tan Chin Lock semasa bergabung.

PUTERA atau Pusat Tenaga Rakyat adalah gabungan pertubuhan politik dan semi politik Melayu. Ia ditubuhkan pada bulan Disember 1947. Hampir 100 pertubuhan dan persatuan Melayu hadir dalam mesyuarat penubuhannya. Matlamat utama PUTERA ialah menuntut kemerdekaan, menerima perlembagaan rakyat sebagai alternatif kepada perlembagaan persekutuan tajaan British. Mendesak raja-raja dan UMNO supaya berhenti menyokong dan bekerjasama dengan British dalam agenda mereka mengekalkan kuasa imperialis melalui pembentukan Federation of Malaya menggantikan Malayan Union yang ditentang bersama. Di antara pertubuhan-pertubuhan Melayu yang menyertai PUTERA ialah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) atau Malaya National Party (MNP), Angkatan Pemuda Insaf (API) Angkatan Wanita Sedar (AWAS) Gerakan Angkatan Muda (GERAM) Barisan Bertindak Tani (BATAS) dan Majlis Agama (Islam)Tertinggi (MATA). PUTERA dipimpin oleh Dr. Burhaniddin dan Ishak Haji Muhammad.

Sebelum itu UMNO telah ditubuhkan pada bulan Mei 1946 di Johor Bharu. Matlamat utama UMNO ialah menyatukan orang Melayu dalam usaha menentang Malayan Union. Tidak dinafikan kejayaan UMNO menentang Malayan Union sehingga parlemen British mengeluarkan kertas putih cadangan Persekutuan Tanah Melayu. PKMM bertindak keluar dari UMNO kerana perbezaan pendapat. PKMM bukan sahaja menentang Malayan Union tetapi mahu menuntut kemerdekaan dan membentuk sebuah Kerajaan Melayu merdeka dan berdaulat. Manakala UMNO pula menyokong pembentukan Federation of Malaya di bawah tajaan British.

Pakatan PUTERA-AMCJA telah membentuk Perlembagaan Rakyat setebal 60 muka surat, hasil usaha Ishak Haji Muhammad yang dirumuskan bersama oleh pakatan dan diluluskan pada bulan Ogos 1947. Sebahagian daripada kandungannya ialah:

-Persekutuan Tanah Melayu merdeka termasuk Singapura.
-Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri dipilih oleh rakyat.
-Kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berpelembagaan.
-Hak istimewa orang Melayu dan Ketuanan Orang Melayu diutamakan.
-Bendera dan Lagu Kebangsaan ditetapkan.
-Taraf warga negara samarata kepada semua penduduk yang taat setia.
-Melayu sebagai nation (negara bangsa) bukan Malayan.
-Agama Islam ditadbir oleh Majlis Mesyuarat Khas.

Biro PUTERA-AMCJA ditubuhkan di London dalam usaha perundingan dengan Kerajaan British. Parlemen British menolak semua cadangan dan tuntutan PUTERA-AMCJA. British, walaupun dalam keadaan hampir muflis dan mahu membebaskan tanah jajahannya tetap meneruskan agenda Federation of Malaya.

British telah berjaya mendapat sokongan dari raja-raja Melayu dan UMNO bagi mengekalkan kuasa pemerintahannya. British memiliki kepentingan aset di Tanah Melayu. Demikian juga dengan memisahkan Singapura dari persekutuan sebagai Crown Colony, supaya dapat mengawalnya dari segi geopolitik.

Ekoran dari tindakan menolak tuntutan PUTERA-AMCJA, berlakulah peristiwa HARTAL pada bulan Oktober 1947 diseluruh Malaya dan Singapura. British menggunakan alasan komunis telah terlibat secara langsung dalam kebangkitan tersebut. Hampir 1500 orang dari kesatuan pekerja dan pertubuhan PUTERA-AMCJA ditahan termasuk sebilangan besar para pemimpin. Pakatan menjadi lumpuh. PUTERA-AMCJA diharamkan. Pada 1 Januari 1948 Federation of Malaya ditubuhkan. wallahualam

http://salamnaiman.blogspot.com/2009/06/putera-amcja-gabungan-pakatan-politik.html

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com