Perutusan Hari Malaysia Presiden PAS
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat dalam negara kita bersempena dengan penubuhan sebuah negara yang dinamakan Malaysia pada 16 September 1963 yang lalu. Sebagaimana yang telah saya nyatakan sebelum ini dalam ucapan saya di Muktamar Agung PAS yang lalu, saya menghuraikan bahawa kita adalah kelompok manusia yang sangat bertuah dan unik, kerana berada dalam negara Malaysia yang mengandungi kepelberbagai etnik, yang berasal dari berbagai bangsa dan datang daripada berbagai negara. Ini pula ditambah dengan kemeriahan etnik yang wujud di Sabah dan Sarawak sejak sekian lama. Kerencaman ini sekiranya diolah dengan baik akan menjadikan negara kita ini sebagai satu kuasa yang hebat, sebaliknya sebarang kesilapan akan membawa padah yang besar. Inilah yang kita lihat setelah 47 tahun negara Malaysia diwujudkan, dengan kelemahan pimpinan UMNO-BN yang sepatutnya sudah membawa negara tercinta ini berdiri teguh dan mampu untuk menjadi pelindung kepada rakyat. Asas yang perlu dipertahankan ialah kesemua etnik yang membina negara Malaysia ini perlu dilayan dengan adil dan saksama, kerana Islam menekankan bahawa kecenderungan untuk memperlekehkan orang lain adalah sifat buruk yang mesti dijauhi. Menceroboh dan menghalang hak seseorang adalah amat bercanggah dengan prinsip keadilan Islam manakala sikap berlaku adil pula adalah merupakan ciri taqwa orang yang beriman. Adalah sesuatu yang janggal apabila seseorang itu mengaku bertaqwa kepada Allah tetapi gagal melaksanakan keadilan yang sebenar. PAS bukan sahaja akan mempertahankan hubungan baik pelbagai kaum ini dengan berasaskan sikap Islam sebenar yang dinyatakan oleh Al Quran dan ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, bahkan PAS komited untuk menjadikan kewujudan pelbagai etnik ini sebagai rempah yang boleh memperkasakan negara Malaysia itu sendiri. Allah SWT menyeru agar hubungan seumpama ini sentiasa dibentuk sebagaimana firman Nya dalam Surah al Hujuraat ayat 13 yang bermaksud: “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal” Selamat Hari Malaysia untuk semua rakyat Malaysia. Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Presiden PAS 16 September 2010 | 7 Syawal 1431 Hijriah |
No comments:
Post a Comment
Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com