Sunday, October 17, 2010

Tembelang Pecah...Kerajaan Pusat Yang Luluskan Takrif Air Di Kedah..


Exco Negeri Kedah Datuk Ir. Amiruddin Hamzah menyelar Umno dengan mendakwa parti itu memanipulasikan kenaikan tarif air di negeri tersebut sebagai isu politik bagi mencetuskan kebencian rakyat terhadap kepimpinan kerajaan negeri.

Sehubungan itu menurut beliau, kerajaan negeri tiada kuasa untuk meluluskan sebarang kenaikan tarif air kerana ia telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan mengikut Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Kadar Perkhidmatan Bekalan Air- Negeri Kedah) 2010.

Oleh itu kata beliau, dakwaan Umno Kedah bahawa kerajaan negeri dengan sengaja menaikkan tarif air dan mendakwa ia sebagai satu tekanan ekonomi ke atas rakyat adalah satu fitnah besar dan tidak benar sama sekali.

Sebelum ini Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim telah mendesak supaya penduduk negeri ini memboikot pembayaran bil air sebagai tanda protes dan ia merupakan tindakan terdesak Umno.

“Usaha ini juga adalah satu tindakan yang tidak bermoral serta boleh disabitkan dengan tuduhan menghasut.

“Mereka boleh menzahirkan rasa tidak puas hati, tetapi bukannya memboikot kerana ia adalah bertentangan undang-undang digubal Kerajaan Pusat, “ tegasnya.

Kira-kira 30 anggota PAS mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat Menteri Besar Kedah bagi membantah kenaikan tarif air di negeri ini beberapa hari lalu.

Mereka turut menghantar satu memorandum bantahan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Amiruddin yang juga Ketua Penerangan PAS Kedah menambah, kenaikan tarif air di Kedah yang telah diumumkan oleh Ketua Eksekutif Syarikat Bekalan Air Darulaman (SADA), Datuk Adzmi Din pada 29 September lalu adalah bagi menanggung kos pengeluaran dan pengurusan bekalan air yang semakin meningkat.

“Tarif air yang ada sekarang di negeri ini merupakan tarif dan pelarasan yang telah berkuat kuasa sejak 1 Mac 1993 lalu. Sepanjang tempoh 17 tahun lalu, tiada semakan semula yang dibuat.

“Mulai tarikh tersebut sehinggalah kepada 30 September 2010 harga satu meter padu air di negeri ini ialah 40 sen.

“Ia juga merupakan harga air yang kedua terendah di negara ini selepas Pulau Pinang manakala harga semeter air padu di Pulau Pinang adalah 30 sen sedangkan Perlis pula adalah tempat ketiga dengan harga 48 sen semeter air padu,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah anjuran PAS kawasan Permatang Pauh di sini semalam.(AK)

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com