Tuesday, June 14, 2011

Perkasa ancam keselamatan negara, ambil tugas polis



NONEKUALA LUMPUR, 14 Jun: Kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali bahawa NGO itu akan mengerahkan ahlinya berhimpun untuk bertembung serta menghalang perarakan peserta Bersih pada 9 Julai ini disifatkan mengancam keselamatan negara.

Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat berkata, kenyataan ahli Parlimen Pasir Mas itu juga dilihat cuba mengambil tugas pihak berkuasa.

"Polis perlu menyiasat Datuk Ibrahim Ali berhubung ancaman yang telah dikeluarkan secara terbuka.

"Pihak polis boleh menjaga keamaman Himpunan Bersih 2 dengan menyusun anggota polis di tepi jalan sepanjang himpunan menuju Istana Negara. Mereka yang didapati mewujudkan kekecohan perlu ditangkap," katanya kepada Harakahdaily.

Bagaimanapun, katanya jika pihak Perkasa dengan niat yang ikhlas mahu menghantar memorandum kepada pihak Istana, itu adalah hak mereka namun sebaiknya polis memisahkan keduanya dengan laluan berbeza.

"Tetapi jika pihak polis hanya mengikut telunjuk pemimpin politik tertentu maka polis akan dihina oleh semua pihak," tambahnya lagi.

bersih rally 271207 02Jawatankuasa Bersih 2.0 yang dipengerusikan oleh Datuk Ambiga mahu membuat 8 tuntutan kepada pihak kerajaan bagi mengembalikan demokrasi yang telah tercemar selama ini.

Tuntutan tersebut adalah membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal, akses media bebas dan adil, tempoh minima 21 hari berkempen, pengukuhan institusi awam dan hentikan rasuah dan politik kotor.

Mereka yang turut disokong parti-parti politik dan NGO itu akan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong.

Mengulas 30 laporan polis yang dibuat termasuk oleh Umno bagi menghalang himpunan Bersih itu, Suhaizan berkata himpunan aman tanpa senjata adalah kebebasan yang dibenarkan oleh perlembagaan Malaysia seperti yang tercatat dalam perkara 10.

Polis pula katanya mempunyai kuasa mengawal selia himpunan tersebut seperti perkara 27 Akta polis (akta 344) yang bertujuan untuk menjayakan objektif kebebasan bersuara dalam perlembagaan bukannya menghalang kebebasan tersebut.

"Pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan juga sering menganjurkan perarakan semasa Sambutan Maulidurasul atau upacara agama tertentu.

"Ribuan orang akan berarak di jalan raya. Mereka mendapat hak untuk berhimpun. Persoalannya mengapa Bersih 2 seolah-olah dinafikan hak untuk berhimpun secara aman," soalnya.

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com