KUALA LUMPUR, 1 Jan: Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) amat terkejut dengan peristiwa kekerasan yang berlaku terhadap mahasiswa yang berdemonstrasi di UPSI Tanjung Malim semalam sehingga ramai yang ditahan dan beberapa orang dilaporkan cedera parah.
“PPMM menegaskan bahawa hak untuk berkumpul adalah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan mengikut lunas-lunas undang-undang yang ditetapkan. “Sekiranya pun demonstrasi tersebut tidak dilakukan mengikut lunas undang-undang pihak berkuasa seharusnya menangani isu ini dengan lebih berhemah dan mengikut Standard Operating Procedure (SOP) yang ada,” ujar presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar kepada Harakahdaily. Katanya, kekerasan di pihak berkuasa perlu dihindarkan melainkan dalam keadaan yang langsung tidak dapat dielakkan. PPMM, ujarnya amat sedih dan kesal atas kejadian itu kerana seharusnya insiden itu ditangani dengan menjunjung nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan kebebasan rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. PPMM juga, katanya menggesa mahasiswa yang sedang diberi rawatan atas kecederaan yang dialami diberikan rawatan terbaik bagi memulihkan kesihatan mereka dan bagi mahasiswa yang ditahan dibebaskan dengan segera. Beliau berkata, sekiranya pihak berkuasa berpandangan ada berlaku perlanggaran undang-undang mereka bolehlah didakwa di mahkamah dan diberi hak membela diri sepenuhnya. PPMM juga, tambahnya menggesa agar kertas siasatan juga dibuka oleh pihak berkuasa bagi menyiasat insiden itu dan sekiranya terdapat kekerasan yang melampaui undang-undang maka orang yang bertanggungjawab menyebabkan kekerasan sedemikian wajib dihadapkan ke mahkamah untuk diadili mengikut proses mahkamah dan diberi hak juga untuk membela diri sepenuhnya. PPMM, kata beliau amat khuatir jika insiden yang berlaku di luar negara menjadi pemangkin kepada pihak berkuasa melaksanakan tindakan mereka. “Insiden sebegini adalah salah satu insiden yang mencemarkan imej negara dari perspektif dunia. “Insiden ini juga menzahirkan sistem demokrasi yang semakin disanggah oleh pihak berkuasa,” ujarnya. Justeru, PPMM menyeru pihak berkuasa agar tidak bertindak melampaui batas perundangan yang digariskan di dalam menangani isu-isu sebegini. Menurutnya lagi, mahasiswa adalah golongan muda yang akan menggalas tanggungjawab pimpinan negara pada masa hadapan. Mereka, katanya perlu didekati dan disantuni walaupun dalam keadaan perbezaan pandangan dengan mana-mana pihak. “Mereka perlu dibimbing, dididik dan diselami jiwa mereka bukannya dilayani dengan kekerasan. Mahasiswa adalah agen perubahan dan aset kepada negara. “Oleh hal yang demikian adalah amat wajar pihak berkuasa menangani isu mahasiswa dengan lebih berhemah dan penuh hikmah,” katanya lagi. Tambahnya, segala tindakan pihak berkuasa hendaklah berasaskan kepada peruntukan undang-undang yang sedia ada di dalam norma dan tatasusila budaya masyarakat Malaysia. |
No comments:
Post a Comment
Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com