Saturday, October 22, 2011

DAP bantah tindakan zalim UIA


| Print |
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 22 Okt: Universiti bukan sebagai kilang sarjana atau menghasilkan pekerja tetapi ia adalah pusat melahirkan intelektual awam yang dapat merintis perubahan untuk kebaikan rakyat.
Justeru, Setiausaha Antarabangsa DAP, Liew Chin Tong (gambar) berkata, tindakan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung tugas pakar undang-undang Prof Dr Abdul Aziz Bari adalah tidak adil dan menyekat kebebasan berfikir dan bersuara, lapor Roketkini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata tindakan UIA serta agensi kerajaan Barisan Nasional menunjukkan betapa pihak pemerintah tidak jujur untuk melaksanakan janji memberi kebebasan kepada rakyat.
Isu itu adalah rentetan dari tindakan pihak UIA memberi surat tunjuk sebab kepada Dr Aziz berhubung komen beliau yang disifatkan oleh lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia, sebagai menghina Sultan Selangor berhubung isu Jabatan Agama Islam Selangor dan gereja di Damansara.
“Atas laporan itu, beberapa pihak telah membuat beberapa laporan polis. Pihak polis telah pun mengambil keterangan dari Malaysiakini yang menyiarkan komen Dr Aziz dan dari pakar Perlembagaan Persekutuan itu sendiri pada awal minggu ini.
Selepas insiden tersebut, pihak UIA telah menggantung tugas beliau atas dakwaan “memberi kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti”.
Dr Aziz telah beberapa kali menjelaskan bahawa beliau tidak meghina Sultan kerana hanya menjelaskan kedudukan sebenar mengikut peruntukan undang-undang berdasarkan kepakarannya dalam bidang undang-undang.
Semalam, hampir 1,000 mahasiswa, termasuk aktivis pelajar, menyertai satu perhimpunan membantah peggantungan tugas Dr Aziz, di perkarangan Masjid UIA selepas solat Jumaat.
Bantahan sekitar hampir 2 jam itu berakhir setelah pihak universiti membenarkan wakil demonstran menyerahkan memorandum meminta menarik balik penggantungan Dr Aziz kepada Rektor UIA, Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin.
Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, Zairil Khir Johari, pula berkata penggantungan Dr Aziz tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi di sebuah universiti yang bergelar antarabangsa.
Menurutnya, kebebasan bersuara dan intelek masih dikongkong dan disekat walau pun Datuk Seri Najib Razak telah menjanjikan kebebasan melalui program transformasinya.
“Jelas bahawa janji-janji PM itu kosong belaka. Dengan tindakan UIA ini, ia pasti akan menghakis keyakinan mahasiswa terhadap kebebasan akademik.
“Jika seorang ahli akademik terkenal tidak mendapat ruang untuk berhujah dan memberi pandangan dalam bidang kepakarannya, bagaimana pula dengan anak-anak muda dan mahasiswa ingin tahu dan ingin belajar?”
Menurutnya, tindakan keras UIA serta sikap kerajaan BN membuktikan bahawa janji-janji memberi kebebasan hanyalah gula-gula politik menjelang pilihan raya umum akan datang, yang kemungkinan besar tidak akan dilaksanakan jika BN terus berkuasa. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com