Saturday, October 15, 2011

Iklan Top inside Keluarga Sarbaini tetap mahu Suruhanjaya Diraja



| Print |
Harakahdaily   
PETALING JAYA, 15 Okt: Keluarga Ahmad Sarbaini Mohamed sekali lagi menggesa agar Suruhanjaya Diraja diadakan untuk menyiasat kematian bekas pegawai Kastam Diraja Malaysia itu di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) April lalu.
Naib Presiden PKR, N Surendran berkata keluarga Allahyarham Sarbaini sehingga kini tidak boleh menerima keputusan koroner, lapor The Malaysian Insider.
Surendran berkata keluarga Sarbaini tidak dapat menerima keputusan memandangkan koroner didakwa telah mengetepikan keterangan pakar bahawa rakaman CCTV yang diambil ketika kunjungan ke pejabat SPRM Wilayah Persekutuan telah dipadamkan dengan sengaja.
“Ini sesuatu yang sangat luar biasa. Koroner mengatakan bahawa ia kesilapan manusia dan tidak memberi perhatian yang sebenar ke atas isu ini,” kata beliau kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat PKR. Turut hadir ibu Sarbaini dan adik-beradiknya.
“Tetapi apa yang penting ialah ada keterangan pakar polis dari makmal forensik polis di Cheras... yang dengan jelas mengatakan bahawa (rakaman) CCTV telah diusik oleh seseorang yang mahir,” katanya lagi.
Surendran berkata sukar untuk diterima apabila koroner menerima keterangan bahawa wujud elemen kesilapan manusia, yang disampaikan oleh pengarah SPRM Wilayah Persekutuan tetapi menolak pandangan pakar forensik yang layak.
“Siapa yang mengusik dan mengapa koroner tidak memberi tumpuan ke atas butiran ini? Mengapa beliau mengetepikannya? Sehingga kini, tiada penjelasan mengapa atau bagaimana rakaman CCTV diambil ketika Sarbaini mati dipadamkan,” kata beliau.
Dalam keputusannya akhir bulan lalu, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Sarbaini tiada unsur bunuh diri, homisid ataupun penglibatan pihak ketiga.
Koroner Aizatul Akmal Maharani dalam penghakimannya berkata, pihaknya bersetuju dengan pandangan pakar terutama mengenai kecederaan yang dialami Sarbaini.
Kecederaan itu lebih membuktikan Sarbaini terjatuh dari tingkat tiga bangunan SPRM Wilayah Persekutuan tanpa disengajakan dan kematian disebabkan nahas, kata koroner.
Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur 6 April lalu.
Beliau dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam.

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com