Saturday, October 15, 2011

Iklan Top inside BN masih gagal bekal air, elektrik di pedalaman



| Print |
Aziz Muda   
KUALA LUMPUR, 15 Okt: Kerajaan BN ternyata masih gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik bagi program bekalan air dan elektrik khususnya di kawasan pedalaman, walaupun telah lebih 50 tahun memerintah negara ini.
Sehubungan itu, Ketua Audit Negara disaran supaya melaksanakan audit keseluruhan bagi program tersebut untuk mengukur pencapaian yang telah diperolehi oleh kerajaaan sejak dulu hingga kini.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer), S Piarapakaran berkata, pihaknya menerima banyak aduan dari daripada pihak-pihak tertentu yang merungut mengenai kelemahan penyelenggaraan dari pihak kerajaan berhubung program itu.
Menurut beliau, antaranya, panel-panel solar dilitupi dengan lumut disebabkan kekurangan penyelenggaraan selepas kontraktor memasangnya.
Katanya, dalam masa yang sama pula, penghuni-penghuni di kawasan terbabit termasuk Orang Asli dan orang kampung tidak tahu apa yang patut dibuat kerana mereka tidak dilengkapi dengan kebolehan untuk menyelenggara alat-alat tersebut.
"Berdasarkan laporan anak syarikat Tenaga Nasional Berhad, hanya 20 daripada 28 mini hidro yang terdapat di Semenanjung Malaysia sedang berfungsi, manakala 8 lagi masih dalam pelan pemulihan.
"Sehingga kini tiada laporan mengenai status mini hidro di Sabah dan Sarawak. Kerajaan perlu merekod dan memantau semua kerja-kerja yang dilakukan dengan teliti untuk memastikan program bekalan air dan elektrik di kawasan pedalaman berfungsi dengan baik," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Program bekalan air dan elektrik di kawasan pedalaman, menurut beliau, tidak seharusnya dipandang ringan oleh kerajaan kerana ia merupakan sesuatu yang penting bagi memastikan semua rakyat Malaysia tidak kira status mendapatkan kemudahan asas yang diperlukan.
Katanya, Awer telah mengkaji belanjawan bagi 2010, 2011 dan 2012 dan didapati terdapat peningkatan yang memberangsangkan dari segi peruntukan yang disediakan oleh kerajaan bagi program bekalan air dan elektrik di kawasan pedalaman.
Dalam bajet 2010, kerajaan telah memperuntukkan RM530 juta bagi bekalan air untuk 16,000 isi rumah dan RM825 juta bagi bekalan elektrik untuk 30,000 isi rumah.

Manakala dalam bajet 2011 bagi program bekalan air dan elektrik, sebanyak RM1.2 bilion telah diperuntukkan bagi negeri Sarawak, RM1.5 bilion bagi Sabah dan RM556 juta bagi Semenanjung.
Menerusi bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 7 Oktober lalu, sebanyak RM2.1 bilion telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi bekalan air untuk 200,000 isi rumah dan RM1.1 bilion untuk bekalan elektrik bagi 39,000 isi rumah.
Katanya, walaupun berlaku peningkatan dalam belanjawan, ia tetap tidak mendatangkan hasil yang baik sekiranya tidak disusuli dengan langkah-langkah yang sepatutnya dan berkesan.
Oleh itu, pihaknya turut mencadangkan beberapa langkah untuk dilaksanakan oleh kerajaan bagi menambahbaik pelaksanaan program air dan elektrik di kawasan pedalaman.

Katanya, pertama, dengan mengadakan bidaan terbuka (open bidding) daripada pembekal teknologi untuk mengurangkan kos program-program seperti itu berbanding dengan harga yang dirunding.
"Kedua, kos penyelenggaraan patut disertakan semasa implementasi. Langkah ketiga, mendidik komuniti pedalaman untuk melakukan penyelenggaraan asas (ringkas) dan ini juga dapat mewujudkan pekerja separuh mahir dalam komuniti ini.
"Adalah penting untuk membenarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Suruhanjaya Tenaga untuk menyelia dan memastikan program-program ini dilaksanakan dengan berkesan di seluruh Malaysia," tegasnya.
Awer berharap agar kerajaan akan mempertimbangkan cadangan-cadangan tersebut untuk memastikan program-program bekalan air dan elektrik di kawasan pedalaman berjalan lancar dan telus.

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com