Saturday, March 12, 2011

Bini Najib Banyak Wujudkan Masalah



Masalah yang dicetuskan oleh First Lady oleh Rashidi Hassan

BERDASARKAN jawapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohamad Nazri Aziz di Parlimen 9 Mac lepas, suatu division baru yang dinamakan FLOM memang wujud pada asalnya.

Ia dipaparkan dalam laman web www.pmo.gov.my (Prime Minister Office), tetapi ia kemudiannya ditarik balik kerana dipertikaikan wakil Pakatan Rakyat.

Nazri dalam jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke, menafikan kewujudan FLOM, tetapi mengakui paparan mengenainya ditarik balik kerana beliau mendakwa 'pembangkang keliru'.

Tetapi Nazri tidak sedar, kekeliruan itu sebenarnya dicetuskan oleh kerajaan sendiri. Jika tidak mahu 'pembangkang' atau rakyat keliru, mengapa paparan mengenai FLOM, dibina menggunakan alamat website rasmi kerajaan Malaysia yang menggunakan singkatan gov.my di internet?

Nazri juga memperakui bahawa Datin Seri Rosmah Mansor dan rombongannya membelanjakan wang rakyat sebanyak RM134,317.76 wang negara (wang rakyat) untuk lawatan ke Arab Saudi, Oman dan Bangladesh.

Rosmah melakukan lawatan dari 6-10 Januari ke Riyadh, 16-18 Januari ke Muscat dan 20 Januari 2011 ke Dhaka.

Ahli rombongan yang telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri adalah terdiri daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, serta isteri Menteri-Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri serta beberapa pegawai kerajaan yang terliba, kata Nazri.

Ada beberapa persoalan besar yang harus ditimbulkan di sini. Jawapan Nazri ini adalah jawapan rasmi kerajaan, selepas beberapa bulan isu berkaitan isteri PM dibangkitkan rakyat.

Sebelum ini, kerajaan dan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak sendiri diam membisu.

Membangkitkan isu Rosmah bukan isu peribadi. Mempersoalkan kewajaran peranan Rosmah, juga bukan bertujuan menyentuh hal-hal peribadi PM Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dan isteri.

Dalam pertemuan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan karyawan Harakah di Pejabat Agung PAS 3 Mac lepas, beliau mengingatkan para wartawan agar tidak menyerang peribadi Rosmah.

Menyerang peribadi yang dimaksudkan beliau ialah, sebagai pengerak Harakah Islamiyah, kita tidak harus melabel Rosmah dengan gelaran yang menghina peribadi beliau.

Antara yang disebarkan dalam emel, facebook, blog dan sebagainya, ada pelayar internet menggelarkan beliau sebagai 'bik mama' (big mama), ada yang kata 'the fat lady'. Semua gelaran ini tidak wajar dan tidak menepati kehendak Islam.

Namun masalah timbul, apabila Rosmah menggelarkan dirinya First Lady of Malaysia (Wanita Pertama Malaysia), atau singkatannya FLOM (FLOM).

Sebelum ini, isu berkaitan Rosmah menjadi serius apabila kerajaan tidak menjawab tentang kewujudan jabatan baru yang dinamakan sebagai FLOM di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

Khabarnya dalam perancangan sebelum ini, FLOM ditempatkan pada aras yang sama dengan pejabat PM. Mempunyai pegawai yang tersendiri. Kewujudan FLOM disahkan melalui paparan dalam laman web rasmi JPM. Bagaimanapun, paparan tersebut dibuang selepas didedahkan media.

Namun hanya paparan yang dibuang. Lain-lain persoalan mengenai kewujudan FLOM, dana mana yang digunakan untuk membiayai perjalanan Rosmah ke luar negara, siapa yang membayar gaji pegawai-pegawai FLOM, semuanya didiamkan kerajaan.

Namun daripada jawapan Nazri di Parlimen, jelas menunjukkan Rosmah menggunakan wang kerajaan untuk memenuhi undangan negara terbabit. Yang lebih teruk sekali ialah apabila Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga menjadi anggota delegasi. Bila Menteri jadi anggota delegasi, maka sudah tentu Rosmah menjadi ketua rombongan.

Persoalannya, atas kapasiti apa seseorang yang tidak menjawat jawatan rasmi dalam kerajaan, boleh menjadi ketua rombongan, jika ianya majlis rasmi yang dibayar sepenuhnya oleh kerajaan.

Persoalan lain yang harus dibangkitkan, jika undangan tersebut khusus untuk Rosmah berucap atau menghadiri seminar, mengapa harus dibawa anggota rombongan yang besar? Mengapa harus diangkut seluruh isteri Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri dan pegawai-pegawai kerajaan?

Atas kapasiti apa kerajaan meluluskan peruntukan sebesar ini?

Mengenai FLOM, gelaran First Lady memang biasa digunakan, bagi merujuk kepada isteri Ketua Negara, sama ada dalam sistem beraja mahupun dalam sistem negara republik.

Namun, diterima juga gelaran First Lady bagi negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi seperti di Malaysia.

Apa pun, ramai di kalangan rakyat yang mempertikaikan hasrat Rosmah menjadi FLOM kerana dalam sistem perundangan negara, Malaysia mempunyai Yang di-Pertuan Agong, manakala Raja Permaisuri Agong seharusnya menjadi First Lady.

Dalam konteks kuasa eksekutif berpusat kepada PM, mungkin Rosmah mahu First Lady dirujukkan kepada beliau.

Bagaimanapun, lima PM Malaysia sebelum ini, dari Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj hingga Tun Abdullah Ahmad Badawi, isteri mereka tidak pernah menggelarkan diri sebagai First Lady.

Justeru, apa yang dilakukan Rosmah adalah menyalahi precedent atau menyalahi amalan biasa yang diamalkan oleh isteri lima PM sebelum ini.

Tidak dinafikan wanita yang menjadi isteri kepada PM ada peranan tertentu yang harus dimainkan, untuk mendukung kerjaya suaminya.

Tetapi peranannya membantu suami (PM) harus dikhususkan. Isteri PM, isteri Menteri, isteri MB dan KM sama sekali tidak harus terbabit dalam business dealing, tender dan sebagainya.

Rosmah sudah pergi lebih jauh daripada lima isteri PM sebelumnya. Beliau pergi berkempen ke PRK Kerdau dengan menaiki helikopter. Masuk ke Felda dan berkempen untuk BN.

Harus dipersoalkan helikopter yang digunakan beliau milik siapa? Jika kos penerbangan tersebut dibiayai oleh ahli politik atau ahli perniagaan pro Umno-BN itu kita tidak persoalkan. Kita cuma mahu memastikan wang rakyat tidak disalahgunakan.

Masalah yang ditimbulkan oleh Rosmah bukan sahaja tidak disenangi Pakatan Rakyat, malah orang-orang Umno sendiri pun tidak menyenanginya.

Harus diingat, semasa PM, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berkuasa dahulu, bloggers Umno sendiri yang melabel pemerintahannya sebagai 'kerajaan tiga beranak'.

Hari ini bloggers Umno sendiri yang melabel pemerintahan Najib sebagai 'kerajaan suami isteri'.

Kita tidak mahu menuduh lebih daripada itu, tetapi yang harus diperhatikan ialah kecenderungan kerajaan untuk membenarkan pihak tertentu terlalu berkuasa sehingga semua peraturan tatacara kerajaan dilanggar. Malah wang rakyat dibelanja sewenang-wenang untuk keperluan First Lady juga tidak wajar.

Kita mencabar kerajaan, jika apa yang dilakukan Rosmah tidak menyalahi peraturan, sila kemukakan bukti, butiran perbelanjaan beliau yang telus. Sila buktikan beliau tidak menggunakan wang rakyat sewenang-wenangnya.

Jika bukti-bukti ini tidak dikemukakan, hanya dijawab dengan mengatakan 'itu fitnah pembangkang', maka jangan sesekali dipersoalkan jika wujud persepsi buruk terhadap isteri PM.

Jika persepsi buruk ini tidak diatasi, apakah bezanya Rosmah dengan Leila Tablisi, Suzanne Mubarak dan Imelda Marcos?

Jangan-jangan FLOM bakal jadi flop!

Tengok nii.."Bangga"nya Menjadi Umno Trengganu..??

Untungnya rakyat Terengganu yang berpemimpinkan UMNO-BN. Berbahagialahlah agaknya orang yang berMBkan Datuk Ahmad Said.

Tentu orang UMNO sujud syukur kerana UMNO memerintah Terengganu. Mereka berjaya menyingkirkan kepimpinan ulama.

Golongan yang dikatakan menyeleweng agama. Mat Said dok ceramah ke pelusuk Terengganu kini bahawa Pas Parti ajaran sesat.

Pas dianggap sesat kerana mengharamkan premis judi daripada mendapat lessen dari Majlis Perbandarana dan daerah daripada beroperasi meskipun mereka mempunyai lessen yang diluluskan oleh kementerian Kewangan UMNO. Pas dikatakan sesat kerana meluluskan undang-undang tubuh Terengganu dengan berlandaskan al-Quran, Sunnah, Ijma’ & Qias. Pas dikatakan sesat kerana meluluskan rang enakmen hudud, Qisas & Ta’zir???

Kini rakyat Terengganu bergembira dengan UMNO yang berjuang Islam. Membawa masuk kembali hiburan Jom Heboh tanpa sekatan. Dan yang terbaru kenyataan Exco Terengganu bahawa Judi telah dihalalkan?

Tentu sujud syukur pengundi UMNO Terengganu. Mereka baru boleh berjudi sebagaimana negeri-negeri dibawah pemerintahan UMNO yang lain. Taklah ditegah macam negeri Kelantan. Ketiadaan premis judi menyebabkan kurangnya keuntungan Vinsent Tan dan Ananda Krisnan. Tiadanya sumbangan untuk pilihanraya UMNO nanti.

Mana dia Exco agama Terengganu? Mana dia penasihat agama MB Mat Said, cikgu matematik yang jadi ustaz, Kamal Saidin hulubaya UMNO-BN? Bergembiralah Tok-tok Imam & Bilal di Terengganu… itu tanda dan mukaddimah bahawa kedai judi akan mula beroperasi kembali di Terengganu. Tahniah UMNO-BN. Tahniah Rakyat Terengganu, sebagai tanda syukur selepas letih bersalawat, berarak sempena maulud nabi baru-baru ni.. Judi dihalalkan? berbahgialah mereka bersama UMNO?

Exco: Tiada pengharaman loteri di Terengganu

Terengganu tidak mempunyai premis perjudian bukan kerana larangan oleh pihak berkuasa tetapi tidak ada permohonan mengendalikan perniagaan itu, kata anggota exco Terengganu Toh Chin Yaw.

"Sejak BN mengambil kuasa negeri itu pada 2004, hanya ada segelintir orang yang berkata mereka mahu mengendalikan premis berkenaan, tetapi ia hanya cakap-cakap. Tidak ada orang yang memohon secara rasmi,” kata Toh, menurut laporan akhbar Sin Chew Daily, semalam.

Judi dan juga undang-undang tegas berhubung penjualan alkohol dikuatkuasakan oleh majlis tempatan selepas PAS menguasai kerajaan negeri pada 1999. Semua premis perjudian diarahkan ditutup. Ditanya, sama ada beliau bermaksud kerajaan negeri akan meluluskan permohonan seumpama itu, Toh berkata beliau tidak dapat menjawap soalan itu kerana sehingga kini tidak ada sebarang permohonan.

Berdasarkan prosedur, kerajaan negeri atau majlis tempatan akan menimbangkan semua permohonan, katanya.

Mahathir Penipu - Ku Li

Tengku Razaleigh Hamzah menggunakan peluang pada pelancaran sebuah buku di Ipoh, Perak, malam semalam bagi membuat kecaman ke atas buku memoir Tun Dr Mahathir Mohamad yang disifatkannya sebagai “menipu secara politik”.

Dalam memuji “kejujuran intelektual” Professor Wang Gangwu yang dilahirkan di Surabaya tetapi dibesarkan di Ipoh semasa pelancaran buku bahasa Mandarinnya berjudul 'Junzi', Tengku Razaleigh berkata negara kini kekurangan kualiti dalam persekitaran politik.

"Ini adalah komoditi yang sukar diperolehi hari ini, khususnya dalam persekitaran politik yang dihadapi di Malaysia hari ini di mana menipu secara politik kian menular,” katanya.

Kecaman Tengku Razaleigh yang juga ahli parlimen Gua Musang semakin pedas apabila beliau menyentuh buku memoir Mahathir 'A Doctor in the House', yang dilancarkan di Kuala Lumpur awal minggu ini.

"Menipu secara politik datang melalui media dan ada kalanya dengan menulis buku memoir. Satu daripadanya adalah yang terbaru dilancarkan dengan tajuk pseudo (awalan asing palsu), 'A Doctor in the House'.

"Saya gunakan 'pseudo' kerana ia adalah tiruan tajuk daripada sebuah filem komedi British yang terkenal pada 1950an berdasarkan novel Richard Gordon. Mungkin ia disengajakan bagi mencerminkan lawak, selain menipu secara politik, kata Tengku Razaleigh secara sinis.

Menurutnya, dakwaan yang dilemparkan oleh Mahathir dalam buku tersebut ke atas dirinya bukan sesuatu perkara baru.

"Sekali lagi, saya dituduh mengheret parti (Umno) ke mahkamah. Saya juga didakwa terbabit dengan politik wang semasa bertanding pada pemilihan parti 1987,” kata Tengku Razaleigh. -mk

Umno marah PAS tak haram judi...

Umno merupakan tulang belakang pemerintahan Selangor selama lebih 50tahun sehinggalah rebah kecundang ditewaskan dalam PRU ke 12 tahun 2008 lalu.
Menteri Besar dan barisan EXCO Umno silih berganti. MB terakhir Umno di Selangor adalah Khir Toyo manakala EXCO Agama yang terakhir adalah Rahman Palil. BN yang dinaungi Umno ditewaskan di Selangor oleh gabungan PKR, PAS dan DAP yang bergabung atas nama Pakatan Rakyat.
Memang banyaklah dilakukan oleh BN dan Umno sepanjang menongkat langit kuasa selama lebih 5 dekad. Islam bagaimana? Saya kemukan persoalan ini kerana akhbar Sinar Harian menyiarkan pandangan Rahman Pali ADUN Umno dari Sementa yang juga bekas EXCO Agama.
Dalam kes pengharaman judi di Selangor Rahman mendakwa PAS tidak melihat aktiviti judi sebagai sesuatu yang salah disisi agama.
Kononnya PAS tidak menghormati sensitiviti umat Islam apabila bersekongkol dalam kerajaan negeri Pakatan Rakyat dalam tidak mengharamkan judi di Selangor.
Semasa Rahman EXCO Agama dahulu, semasa Umno tulang belakang kerajaan Selangor dahulu apakah yang telah dilakukan terhadap judi? Agaknya lantaran terkejut hilang kuasa sejak 3 tahun kebelakangan ini Rahman dan rakan-rakannya lupa yang mereka dahulu pernah berkuasa di negeri ini. Semasa mereka berkuasa judi tidak diharamkan walau memiliki kerusi jauh lebih banyak dari PAS ketika itu.
Memang PAS sebagai sebuah parti Islam bertanggungjawab dalam menyuntik semangat Islam dalam kerajaan Selangor. Walau dalam keterbatasan kuasa PAS perlu berikhtiar meyakinkan rakan-rakannya dalam kerajaan, sedang semasa Umno berkuasa dahulu (kalau Umno parti orang Islam) mereka boleh sahaja terus mengharamkan apa sahaja yang mahu dioharamkan kerana mereka punya kuasa mutlak.
Ternyata dalam 3 tahun kebelakangan ini Selangor melihat PAS mengambil insiatif yang positif dalam hal amar makruf nahi mungkar. Tampak lebih berani dan realistik berbanding Umno yang sekadar berpeluk tubuh memanaskan kerusi kuasa.
Kawalan jualan arak, larangan pekerja Islam bekerja di pusat hiburan yang menghidang arak, penguatkuasaan terhadap kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah terus menerus ditekankan sehingga pencapaiannya begitu ketara berbanding dengan ketika Umno berkuasa dahulu.
Geli melihat gelagat Rahman Palil. Umno juga Islam tetapi tidak pernah meletakkan amar makruf nahi mungkar sebagai sesuatu yang perlu diberikan kepentingan. Tetapi apabila PAS berkuasa, maka berkokoklah mereka seolah mahu lebih Islamik.
Dalam buku Memoir Khatijah Sidek, bekas Ketua Wanita Umno yang juga ahli parlimen wanita PAS yang pertama pada thuan 1959 (mewakili Parlimen Dungun) Khatijah menyebut:
Kami (ahli-ahli parlimen PAS) tidak setuju menggunakan wang Loteri Kebajikan Masyarakat untuk membaiki atau membangun masjid tapi wang tersebutlah yang banyak dicurahkan kepada pembangunan masjid (oleh kerajaan Persekutuan yang dikuasai Umno). Kami tidak mahu menggunakan wang ini kerana puncanya tidak bersih. Wang ini dikutip dari perjudian, satu perbuatan haram dan bertentangan dengan Islam tapi kerajaan tak peduli semua itu.
Benar PAS memikul amanah melaksanakan Islam, tapi kalau Umno juga parti orang Islam, judi di Perlis, Johor, Pahang dan lain-lain macam mana? Pahang jangankan judi loteri dan tikam nombor, kasino terbesar di rantau ini tersergam di puncak banjarannya!

Lebih 1,000 dikhuatiri mangsa tsunami

Lebih 1,000 orang dikhuatiri terbunuh di Jepun ekoran kejadian tsunami setinggi 10 meter selepas gempa bumi sekuat 8.9 pada skala Richter, dengan kebanyakan kematian akibat lemas, lapor media tempatan.
NONEKira-kira 3,000 penduduk yang tinggal berdekatan loji nuklear di Wilayah Fukushima, utara Tokyo dipindahkan daripada kawasan tersebut.

Kerajaan menyatakan tiada kebocoran berlaku di loji berkenaan namun tahap radiasi semakin meningkat.

Gempa bumi paling kuat dalam tempoh 140 tahun dengan ukuran 8.9 pada skala Richter, melanda timur laut Jepun semalam, mencetuskan gelombang tsunami sehingga setinggi 10 meter.
NONEAgensi berita Kyodo melaporkan, gegaran kuat itu menyebabkan kerosakan besar kawasan di utara Jepun, manakala gelombang tsunami memusnahkan hampir apa saja di laluannya termasuk ladang pertanian, bangunan, rumah, kapal, kenderaan dan menyebabkan kebakaran.

“Gempa menyebabkan banyak kecederaan, kebakaran dan gelombang besar memaksa beribu-ribu penduduk melarikan diri ke kawasan lebih tinggi untuk menyelamatkan diri,” lapor Kyodo.

Beberapa loji jana kuasa nuklear dan pusat penyulingan minyak ditutup manakala sebuah firma pengeluar besi utama terbakar. Kira-kira 4.4 juta rumah di bahagian utara Jepun terputus bekalan elektrik.
NONEKyodo melaporkan, sebuah hotel di bandaraya Sendai runtuh, menimbulkan kebimbangan ramai penghuni mungkin terperangkap.

“Keadaan sungguh teruk dan saya ketakutan. Saya tidak pernah mengalami gempa bumi sekuat ini sejak 20 tahun lalu,” kata seorang pengurus sebuah restoran di Akasaka, Hidekatsu Hata, 36.

Pengalaman beliau dikongsi koresponden Reuters di Tokyo Linda Sieg yang turut merasai gegaran kuat di pejabatnya.

“Bangunan pejabat kami bergegar kuat dan lama, menyebabkan ramai kakitangan mengambil topi keledar untuk melindungi kepala mereka, manakala yang lain bersembunyi di bawah meja,” katanya.
NONEStesen televisyen NHK menyiarkan imej gelombang tsunami menghanyutkan sisa bangunan, kenderaan di kawasan pantai Sendai yang mempunyai sejuta penduduk manakala kapal yang biasanya berada di pantai, dilihat terdampar di pelabuhan.

Asap hitam dilihat berkepul ke udara dari sebuah bangunan di Odaiba di pinggir Tokyo ketika perkhidmatan kereta api laju Jepun ke utara, terpaksa dihentikan.

Syarikat gergasi elektronik Jepun, Sony Corp, menghentikan operasi di enam kilangnya, ketika pesawat tentera udara dikejarkan ke pesisir pantai timur laut bagi meninjau tahap kerosakan yang berlaku.

Bank of Japan yang sedang berusaha meningkatkan ekonomi negara itu berkata pihaknya akan berusaha sedaya upaya memastikan pasaran kewangan terus stabil, ketika pasaran saham dan nilai yen jatuh.

Sementara itu, Pertubuhan Palang Merah di Geneva berkata paras air laut dilaporkan lebih tinggi di beberapa kepulauan Pasifik manakala amaran tsunami di seluruh wilayah itu kecuali Amerika dan Kanada.

- Reuters

Tsunami Datang Lagi. Ada Berita Baikkah Untuk Rakyat Malaysia?

Tahun 2004. Amat ngeri untuk mengingatinya. Lebih ngeri daripada Tragedi 13 Mei, Rusuhan Baling, Rusuhan Natrah dan lain-lain. Tak ada sesiapa pun (mungkin kalau ada cuma sebilangan) yang menjangkakan tsunami akan melanda Malaysia. Ingatkan Malaysia ini selamat, aman, makmur, kaya-raya. Rupa-rupanya tak terlepas juga daripada bencana alam. Nah, bukankah ini suatu bukti mudah bahawa kita sentiasa berada dalam genggaman Allah?

"Maha Suci Allah yang di dalam genggaman kekuasaan-Nya seluruh kerajaan dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu..."- Surah al-Mulk ayat 1

Dan apakah yang berlaku selepas daripada itu?

Petunjuk daripada tsunami 2004 itu, lanskap politik Malaysia rupa-rupanya mengalami perubahan. Pilihanraya 2008 menyaksikan "tsunami" berlaku dimana keputusan pilihanraya umum ke-12 memeranjatkan semua pihak. Baik dari parti pemerintah mahupun parti pembangkang. Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti mudah tetapi hilang penguasaan dua pertiga di parlimen.

BN gagal untuk mempertahankan kekuasaan di beberapa buah negeri seperti Selangor, Perak Kedah dan Pulai Pinang sementara Kelantan gagal ditawan dan kekal di bawah pemerintahan PAS. Semua kerusi parlimen di Kuala Lumpur dirampas oleh pakatan pembangkang kecuali Setiawangsa berjaya dipertahankan oleh Zulhasnan Rafique.

Selatan tanahair yang menjadi kubu kuat BN juga “dirobek” sedikit demi sedikit sehinggakan BN Negeri Sembilan hilang majoriti dua pertiga.

Di Melaka, DAP berjaya menawan lima kerusi DUN dan satu kerusi parlimen. Johor yang merupakan negeri kelahiran Umno juga tidak ketinggalan menjadi mangsa apabila DAP mendapat empat kerusi DUN dan satu kerusi parlimen sementara PAS pula mendapat dua kerusi DUN.

Peralihan undi yang besar kepada pakatan pembangkang tanpa dijangka itu, menyebabkan ramai penganalisa politik menggelarkannya sebagai situasi ini sebagai Tsunami.

Buat pertama kalinya Barisan Nasional (BN) yang ditubuhkan pada 1973 hilang kuasa dua pertiga di parlimen dan mengulangi sejarah Perikatan pada pilihanraya 1969.

Pakatan BN yang ditubuhkan sebagai formula baru untuk mengatasi kegagalan Perikatan pada pilihanraya 1969 akhirnya tempang selepas 38 tahun berdiri gagah.

Prestasi BN pada pilihanraya umum 2008 lebih teruk daripada Perikatan pada pilihanraya tahun 1969 oleh kerana kehilangan lima negeri kepada pakatan pembangkang.

Abdullah Ahmad Badawi telah berjaya mencipta sejarah apabila menjadi ketua BN pertama yang menyebabkan kehilangan majoriti dua pertiga, tulis Amin Iskandar secara sinis.

Keputusan pilihanraya umum 2008 juga menyaksikan beberapa menteri dan timbalan menteri mengalami kekalahan yang mengejut.

Shahrizat Jalil tewas ditangan Nurul Izzah yang kali pertama bertanding dalam pilihanraya umum. Samy Vellu yang menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput semenjak tahun 1974 terpaksa akur dengan Dr Jeyakumar.

Manakala Zainuddin Maidin yang menjadi Menteri Penerangan sebelum ini dimalukan oleh Johari Abdul di Sungai Petani. Di Shah Alam, Aziz Shamsuddin terpaksa akur dengan kemenangan Khalid Samad.

Mengapakah ini terjadi?

BN yang menang besar dalam pilihanraya umum 2004 menjadi begitu kuat sehinggakan tiada kuasa pengimbang dalam menentukan hala tuju negara. Dalam bahasa yang mudah, BN boleh membuat apa sahaja dengan kuasa dua pertiga mereka di parlimen.

Selepas pilihanraya 2004 sehingga 8 Mac 2008 rakyat dibebani dengan kenaikan kos hidup yang mendadak. Kenaikan harga minyak, tol, pengangkutan awam dan barang keperluan harian telah menyebabkan ramai yang hidup menderita.

Tambahan lagi apabila wujudnya “watak-watak jahat” seperti Samy Vellu yang bersungguh-sungguh mempertahankan kenaikan harga tol telah menyebabkan rakyat mula menyesal kerana memberikan mandat begitu besar kepada BN dalam pilihanraya umum 2004.

Dan kini amaran tsunami datang lagi.

Memberi peringatan kepada UMNO BN di bawah pemmerintahan Najib bahawa rakyat bakal melakukan perubahan lagi terhadap lanskap politik di negara ini.

Jika dahulu UMNO BN pernah mentertawakan pembangkang yang berhasrat untuk menghapuskan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, kerana kelihatan ia seperti mustahil berlaku, tetapi pilihanraya 2008 menyaksikan UMNO BN benar-benar kehilangan majoriti dua pertiga itu.

Begitu juga jika sebelumnya UMNO BN mempersendakan Projek Tanjung tajaan DAP, tetapi pilihanraya 2008 benar-benar menjadi kenyataan malah UMNO BN menderita bukan sahaja kehilangan Pulau Pinang, malah kehilangan Selangor, Perak, Kedah di samping gagal menawan Kelantan.

Najib kemudian dengan cara yang tidak demokratik merampas Perak. Menggunakan segala jentera kerajaan termasuk Polis, PDRM, SPR, SPRM, Peguam Negara dan sekalian agensi kerajaan pusat untuk menekan dan menindas kerajaan-kerajaan negeri di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat.

Segala tipu daya dan muslihat digunakan untuk memenangi pilihanraya-pilihanraya kecil dengan SPR menjadi kuda tunggangan paling hebat.

Dan kini loceng amaran berbunyi lagi. Tsunami kini menggegar negara Jepun, tempias kecilnya kini dirasai di pantai Kuala Terengganu yang terdedah di hadapan Laut Cina Selatan.

Gempa bumi terburuk dalam 140 tahun di Jepun, yang melanda timur laut negara itu tengah hari ini (waktu Malaysia), meragut 59 nyawa dengan angka kematian dijangka terus meningkat.

Bencana ini bukan sahaja mencetuskan tsunami 10 meter, tetapi menyebabkan kebakaran loji penapisan gas asli di Tokyo.

Perdana Menteri Jepun Naoto Kan berkata gempa bumi menyebabkan “kemusnahan besar” di bahagian timur laut Jepun.

Laporan Reuters menyebut sebuah kapal yang membawa 100 orang dihanyutkan oleh tsunami.

Itu di Jepun.

UMNO BN sepastinya mengharapkan tsunami itu tidak datang menimpa Malaysia. Itu harapan mereka. Tetapi tiada siapa tahu perancangan dan pekerjaan Allah s.w.t.

Apakah Najib akan terus angkuh dan sombong untuk melakukan pengkhianatan terhadap federalisma dan akan terus menekan negeri-negeri Pakatan Rakyat seperti mengebas wang royalti Kelantan disamping cuba membuli kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat?

Kita katakan: Silakan. Ketawakanlah kami seperti mana kamu pernah tertawakan kami sewaktu kami menyatakan kami akan hapuskan majoriti dua pertiga UMNO BN di Dewan Rakyat.

Tsunami akan datang lagi untuk mengajar kamu-kamu dari UMNO BN untuk ayuh bungkus dari Putrajaya bagi memberi laluan kepada pemerintah baru Malaysia - semestinya dari Pakatan Rakyat! -GB



Gempa Magnitud 8.8 Skala Richter Landa Jepun, Wisma Putra Buka Bilik Operasi

TOKYO: Satu gempa bumi kuat bermagnitud 8.8 pada skala richter berlaku di Pantai Timur Honshu, Jepun pada Jumaat dan mencetuskan tsunami setinggi 10 meter (30 kaki) hingga menghanyutkan kereta dan bangunan di sepanjang pandai berkenaan.

Di beberapa lokasi di sepanjang pantai Jepun, tayangan televisyen memaparkan berlakunya banjir dengan puluhan kereta, kapal serta bangunan dihanyutkan air.

Menurut rakaman stesyen televisyen Nasional NHK, terdapat sebuah kapal besar yang dibawa arus deras melanggar pemecah ombak di Bandar Kesunnuma di Wilayah Miyagi.

Gempa yang melanda kira-kira pukul 2.46 petang waktu tempatan diikuti dengan beberapa siri gempa susulan termasuk magnitud 7.4 sekitar 30 minit kemudian.

Agensi meteorologi mengeluarkan amaran tsunami bagi kawasan pantai Pasific seluruh Jepun.

Stesyen televisyen nasional NHK mengeluarkan peringatan kepada sesiapa yang masih berada di kawasan berdekatan pantai supaya berpindah ke kawasan tanah lapang yang lebih selamat.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik di Hawaii berkata, amaran tsunami dikeluarkan kepada Jepun, Rusia, Pulau Marcus dan Marina Utara.

Manakala amaran berjaga-jaga dikeluarkan kepada Guam. Taiwan, Filipina, Indonesia dan Hawaii, Amerika Syarikat.

SEMENTARA itu, Jabatan Kajicuaca Malaysia menggesa orang ramai menghindari kawasan pantai Labuan dan Sabah ekoran kebimbangan ombak besar dan kenaikan paras air laut akibat gempa bumi di Jepun.

"Paras air dijangka naik di pantai sekitar Labuan dan Sabah menjelang jam 6 petang hingga tengah malam ini," kata jabatan berkenaan.

Dalam pada itu, Bilik Operasi Wisma Putra berhubung gempa bumi di Jepun telah diaktifkan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut bolehlah menghubungi talian-talian berikut; 03-88874570; 03-88892746; 03-88892830; 03-88892380 dan 03-88884770. -mstar


POLIS trafik berkawal dan memberi amaran kepada orang ramai di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu supaya bersurai kerana dikhuatiri tsunami yang melanda Jepun merebak ke pantai terbabit.- Foto Rozainah Zakaria

‘Curi’ DNA Anwar tapi ‘sorok’ DNA Najib dalam kes Altantuya

KUALA LUMPUR: Pendakwa raya kes Fitnah II bersungguh-sungguh mahu mendapatkan DNA Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk menggunakan tipu helah, sebaliknya pendakwa dalam kes pembunuhan warga Monggolia, Altantuya Shaariibuu, tidak pernah berusaha mendapatkan DNA Datuk Seri Najib Razak.

“Dalam kes Altantuya, kenapa mereka tidak minta DNA Najib?” soal Anwar selepas perbicaraan kes Fitnah II berakhir petang ini.

Anwar juga hairan kerana pihak pendakwa seolah-olah cuba mengalihkan beban pembuktian kes kepada peguam bela sedangkan ia tanggungjawab mereka dan menyifatkan permintaan pendakwa untuk mendapatkan DNA beliau, membuktikan kes Fitnah II sebenarnya bermotifkan politik.

“(Pendakwa) hanya untuk menyampaikan mesej politik. Mereka seolah-olahnya berkata ‘kita sudah ada semua bukti dan sekarang apa yang kita perlukan adalah DNA Anwar (untuk mensabitkan beliau)’. Ini tidak masuk akal.

“Beban pembuktian terletak pada pihak pendakwa,” kata Ketua Umum KEADILAN itu.

Tidak seperti kes Fitnah II, pelbagai tekanan dihadapi Anwar dan pasukan peguamnya – dari dinafi hak memiliki dokumen dan salinan laporan polis, selain percanggahan keterangan saksi pendakwa, kes Altantuya pula tidak sedemikian.

Walaupun Najib dikait dengan ketara dalam kes berkenaan tetapi Perdana Menteri itu tidak dipanggil mahupun DNAnya diminta, malah polis pengiringnya juga tidak pernah dipanggil mahkamah sekalipun pembabitannya menonjol.

Dalam pada itu, Sankara Nair juga menganggap permintaan pihak pendakwa untuk mendapatkan DNA Anwar tidak wajar kerana ia tidak pernah berlaku dalam mana-mana perbicaraan kes jenayah.

Katanya, pendakwa sebelum ini menggunakan tipu daya dan cara tidak sah untuk mengambil DNA Anwar kerana tiada peruntukan undang-undang yang boleh memaksa mana-mana individu menyerahkan DNA mereka.

Beliau berkata, peruntukan undang-undang sedia ada hanya memperuntuk pendakwa untuk mendapat cap jari dan tandatangan tertuduh dalam mana-mana kejadian jenayah.

“Seksyen 165 dan Seksyen 73 Akta Bukti yang diguna pakai pihak pendakwa, sebenarnya cuma meliputi cap jari dan tandatangan, bukannya DNA,” kata Sankara.

Beliau berkata demikian mengulas permohonan lisan pihak pendakwa untuk mendapatkan DNA Anwar dan ia dijangka didengar Isnin depan.

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com