KOTA BHARU, 4 Nov: Pemimpin Kerajaan Kelantan akan ke Parlimen pada 10 November ini untuk membawa poster ucapan pemimpin terdahulu termasuk Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak berhubung royalti petroleum bagi mengingati ulang tahun ucapan allahyarham pada 12 November 1975. Kunjungan yang akan disertai anggota Exco kerajaan negeri, Adun, anggota Parlimen, Gegar termasuk Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum, Datuk Husam Musa akan menyerahkan himpunan risalah Tun Abdul Razak serta beberapa pemimpin lain kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Husam pada sidang media semalam memberitahu, risalah tersebut mengandungi ucapan bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Yaacob, Pengerusi Pertama Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah dan lain-lain agar pimpinan kerajaan Persekutuan hari ini sedar Kelantan berhak mendapat royalti petroleum. “Memandangkan hari Sabtu Parlimen tidak bersidang, jadi kita memilih hari yang paling hampir dengan tarikh tersebut, iaitu 10 November untuk menyerahkan risalah serta amanat ayahanda kepada Perdana Menteri sekarang berhubung perkara itu,” ujarnya. Husam berkata, risalah atau poster tersebut akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri sekiranya Perdana Menteri tidak hadir. “Sekiranya kedua-duanya tidak ada, risalah tersebut akan diserahkan kepada mana-mana menteri atau timbalannya,” ujarnya. Sehubungan itu juga, menurutnya himpunan kata-kata rasmi pimpinan terdahulu yang terkandung dalam risalah itu akan diedarkan kepada orang ramai pada hari berkenaan. Antara yang terkadung dalam risalah itu ucapan Tun Abdul Razak pada tahun 1975, ketika menjawab pertanyaan Lim Kit Siang dalam sidang Dewan Rakyat ketika itu menyebut mengikut perjanjian, tiap-tiap negeri akan menerima 5 peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai sama ada kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut. Selain itu, risalah tersebut turut mengisi ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Kasitah Gaddam yang menyokong kerajaan berhak mendapat hasil royalti petroleum. |
No comments:
Post a Comment
Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com