Wednesday, March 28, 2012

Hapus PTPTN: Sedia pelan pelaksanaan bukan janji sahaja



Mohd Yusof Hadhari Bin Saidon, 28 Mac 2012

Ramai yang sudah mula membicarakan soal kebajikan pelajar iaitu menyentuh soal pinjaman PTPTN. Konsep meminjam, selepas meminjam wajib membayarnya.

Dahulunya kita mendengar khabar, akibat hutang dari pemberian pinjaman PTPTN dikatakan sudah tidak tertanggung, sudah ada timbulnya cadangan pemberian pinjaman perbelanjaan PTPTN akan dihapuskan.

Ini semua dilakukan adalah disebabkan untuk mengurangkan perbelanjaan yang semakin melambung tinggi dan tidak sepadan dengan “perolehan” PTPTN yang sepatutnya dibayar semua oleh peminjam. Pada tahun 2011 sahaja sudah 1.87 juta penuntut membuat pinjaman PTPTN membabitkan peruntukan RM41.6 bilion.

Mendengar berita berkenaan hapus hutang PTPTN oleh Pakatan Rakyat jika diberi mandat memerintah Putrajaya sememangnya tawaran yang sangat hebat buat anak muda khususnya mahasiswa.

Pengumuman ini dibuat sendiri oleh pemimpin Pakatan Rakyat untuk menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan digantikan dengan pendidikan percuma.

Realiti kehidupan Mahasiswa

Sememangnya kita semua akui, ramai yang masih belum mendapat pekerjaan atau belum berstatus bekerja tetap terpaksa menjelaskan kembali hutang PTPTN, sehinggakan pelbagai tindakan dikenakan kepada mereka termasuk tindakan undang-undang. Dan mungkin ini juga penyebab ramai yang bimbang untuk berkahwin pada usia muda, kerana banyaknya beban hutang yang di tanggung termasuk kemudahan seperti kenderaan, kediaman dan lainnya.

Bercakap berkenaan realiti mahasiswa di Malaysia,  kebanyakkan mereka lebih memilih untuk meminjam PTPTN di sebabkan bukan semua mahasiswa dapat JPA/MARA. Kita juga yakin dan pasti bukan semua mahasiswa yang ada di Malaysia ialah anak-anak ahli politik atau menteri yang boleh hantar anak-anak belajar ke mana-mana universiti luar negara dan juga bukan semua yang dapat belajar di universiti datang daripada keluarga yang di kategorikan sebagai golongan “mampu”.

Janji Pakatan Rakyat

Pada jun 2011 kita pernah mendengar  tuntutan rakyat supaya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan dan pelajar-pelajar yang melanjutkan pengajian dalam negara diberikan keutamaan untuk menerima biasiswa atau pendidikan secara percuma yang di bawa oleh Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP).

DPPWP juga pernah menuntut agar JPA mendedahkan jumlah peruntukan yang diberikan kepada setiap pelajar yang melanjutkan  pengajian di dalam negara berbanding yang pergi ke luar negara. Jika melihat kepada jumlah peruntukan, ramai yang mengakui bahawa dengan kos setiap pelajar yang ditaja keluar negara, Kerajaan mampu untuk menaja 4 orang pelajar belajar di dalam Negara.

Saya sebagai mahasiswa menyambut baik usaha yang di lakukan Pakatan Rakyat bagi menunjukan komitmen mereka peduli masalah kebajikan pelajar. Jika benar ianya dapat di lakukan, pastinya lebih banyak faedah yang lainnya seperti harga tol, harga minyak, cukai dan sebagainya akan di tangani dengan mudah.

Respon Kerajaan


Melihat kepada respon yang diberikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkenaan janji Pakatan Rakyat untuk memansuhkan PTPTN adalah mustahil untuk dilaksanakan.

Perdana Menteri berkata, pelbagai janji pembangkang sekiranya dilaksanakan juga akan menyebabkan negara muflis dan menjadi lebih teruk daripada apa yang berlaku di Greece dan Kerajaan tidak akan menabur pelbagai janji yang tidak mampu ditunaikan seperti yang dilakukan pembangkang.

Menurut Menteri Pengajian Tinggi, jika Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di hapuskan serta merta, RM40 bilion akan hilang dan tidak akan ada lagi peruntukan untuk masa hadapan.

Bagi saya kerajaan juga pernah berjanji untuk mansuhkan ISA. Tetapi sehingga kini masih menjadi tanda tanya pada rakyat bila akan mansuh? Begitu juga dengan janji untuk meminda AUKU. Adakah ianya tidak termasuk dalam “Kerajaan tidak akan menabur pelbagai janji yang tidak mampu ditunaikan”.

Saya kira kebanyakan ahli politik mula sedar akan perubahan suasana politik khususnya penerimaan politik kepada anak muda. Sekarang bukan lagi zaman “politik janji”, tetapi zaman politik fakta dan bukti. Anak muda sudah lama membandingkan prestasi kepimpinan Pakatan Rakyat serta Kerajaan Umno/Bn.

Bagi saya jika ada idea yang memanfaatkan rakyat, tidak salah kalau dibangkitkan tetapi mestilah memberitahu kepada rakyat bagaimana mereka mahu melaksanakannya. Kemungkinan anak muda khususnya mahasiswa yakin dengan janji yang di buat oleh Pakatan Rakyat untuk hapuskan PTPTN dengan melihat prestasi yang baik dalam urus tadbir empat buah negeri.

Tetapi saya cukup yakin bukan majoriti anak muda hanya akan yakin dengan janji tanpa fakta dan bukti. Saya setuju jika hapus PTPTN tidak dimasukan di dalam Buku Jingga begitu juga dengan hapus Auku, kerana ianya hanya melibatkan mahasiswa bukan rakyat umum. Tetapi jangan ingat orang ramai mudah terpengaruh dengan janji yang dibuat dan tidak peduli bagaimana mereka hendak melaksanakannya.

Adalah lebih baik Pakatan Rakyat turun bertemu anak muda bagi membincangkan soal cadangan perlaksanaan. Mungkin dengan memanfaatkan keuntungan Petronas, yang melebihi RM90 bilion setahun. Atau jika debat antara Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri dapat di laksanakan mungkin boleh di masukkan isu PTPTN sebagai isu penting perbahasan debat.

Ada dua isu penting yang melibatkan janji Pakatan Rakyat kepada mahasiswa iaitu menghapuskan PTPTN dan juga Auku. Anak muda masih menunggu plan perancangan untuk hapuskan PTPTN dan juga Auku, di harapkan Pakatan Rakyat dapat meyakinkan anak muda dengan mengeluarkan fakta dan cara perlaksanaanya jika Pakatan Rakyat dapat menawan Putrajaya kelak.

Ianya sangat penting bagi menepis tuduhan kerajaan berkenaan Negara akan bankrupt dan memastikan anak muda benar-benar yakin dengan kemampuan Pakatan Rakyat untuk mengurus tadbir Negara Malaysia kelak dan membawa Negara kearah yang lebih sejahtera.
-------------------------------------------------------------------------
Penulis adalah mantan Ketua Penerangan Gamis yang juga aktivis mahasiswa.

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com