Wednesday, March 14, 2012

Skandal didedah, kembalikan wang rakyat



Anis Nazri,14 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 14 Mac: Biarpun skandal-skandal membabitkan pemimpin BN berjaya didedahkan hingga diseret ke mahkamah, wang rakyat yang dibazirkan mereka perlu dikembalikan kepada rakyat.

Pelbagai cara boleh dilakukan pihak berkaitan bagi mendapatkan semula wang tersebut, sama ada melalui pembekuan aset ataupun repatriation(pemindahan).

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, mana-mana pemimpin yang dipalitkan dengan dakwaan penyelewengan dana rakyat, aset mereka sama ada tunai atau barangan perlu dibekukan.

"Jika aset tersebut berbentuk tunai, segala akaun mereka perlu dibekukan.  Manakala jika aset itu merupakan sebuah kondominium, contohnya kerajaan boleh mengambil semula untuk tujuan menjual atau melelongnya semula," tegas Dr. Dzulkefly ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang mengambil contoh kes National Feedlot Corporation (NFC), menegaskan dalam kes tersebut antara aset yang dikaitkan dengan skandal tersebut merupakan sebuah kondominium di negara jiran, Singapura.

Katanya, apabila ia membabitkan sebuah negara lain, maka kerajaan perlu mendapatkan hak untuk repatriation aset itu semula ke negara.

"Jika ada kondo, maka kerajaan perlu pindahkan semula nilai pasaran kondo itu ke Malaysia.  Begitu juga jika terdapat akaun-akaun di Switzerland, London, maka semuanya perlu dibekukan dan dipindahkan ke Malaysia semula," tegas Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.

Biarpun pada 14 Jan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan semua aset NFC dibekukan, rakyat ternanti-nanti bagaimana wang yang dibazirkan itu boleh dikembalikan semula kepada rakyat.

Sehubungan itu, Dzulkefly mengharapkan pihak yang berkaitan menjejaki semula segala transaksi membabitkan semua skandal-skandal yang pernah didedahkan.

"Semua transaksi perlu dijejaki semula, sama ada wujudnya akaun ketiga, akaunoffshore (pesisir laut) dan sebagainya.  Dan dalam masa sama rakyat perlu tahu dan lihat hasil dari pembekuan aset-aset dari skandal-skandal tersebut," tambah beliau.

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com