Wednesday, March 14, 2012

Israel: Rujuk Anifah ke JK Hak Parlimen



Hazayani Zakaria,14 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 14 Mac:Ahli Parlimen PKR hari ini mendesak Dewan Rakyat menggunakan peraturan Mesyuarat 36 (12) untuk merujuk Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.


Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali berkata, tindakan tersebut perlu dilakukan terhadap Anifah kerana beliau bertindak memutar belit kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu keselamatan Israel dan mengelirukan dewan.

"Beliau tidak membaca keterangan penuh dan pilih ayat tertentu untuk memenuhi selera Umno BN.

"Sedangkan Anwar beri kenyataan panjang lebar dalam dewan untuk jelaskan maksud dalam temuramah dalam Wall Street Journal. Kenapa menteri luar pilih untuk memutar belit kenyataan itu?" kata timbalan presiden PKR itu pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Dewan Rakyat kecoh hampir 30 minit apabila Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) bangkit membantah jawapan Anifah yang disifatkannya cuba mengelirukan Dewan Rakyat.

Beliau mendakwa Anifah hanya memetik sebahagian kenyataan Anwar seperti yang dilaporkan akhbar WSJ.

Bagaimanapun Anifah yang juga Ahli Parlimen Kimanis tidak menghiraukan bantahan Izzah dan terus menjawab soalan asal yang dikemukakan Datuk Juslie Ajirol (BN-Libaran) berhubung sumbangan yang telah diusahakan Malaysia terhadap Palestin.

Izzah kemudiannya mengemukakan Peraturan Mesyuarat 36 (12) untuk merujuk Anifah ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana memberi jawapan yang mengelirukan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun Timbalan Speaker, Dr Wan Junaidi berkata beliau akan membuat keputusan mengenai perkara berkenaan selepas mengkaji Peraturan Mesyuarat tersebut.

Tidak berpuas hati dengan jawapan berkenaan, Izzah sekali lagi bangkit menggunakan Peraturan Mesyuarat 26 (1) (b) yang menuntut Speaker membuat keputusan sewaktu kejadian berlaku.

Namun Dr Wan Junaidi bertegas dengan keputusannya untuk membuat pertimbangan mengenai isu yang dibangkitkan selepas kajian terpeinci dibuat.

Ekoran keputusan itu, beberapa wakil rakyat Pakatan termasuk Datuk Saifuddin Nasution (PKR- Machang), Khalid Samad (PAS-Shah Alam) dan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) bangkit membantah kenyataan Anifah.

Azmin mendakwa Anifah cuba menyembunyikan fakta keseluruhan kenyataan Anwar yang disiarkan WSJ pada Januari lalu.

"Kalau nak sentuh isu ini, menteri jangan sembunyikan fakta. Kenapa tidak nyatakan keseluruhan petikan kenyataan Ketua Pembangkang?

"Malah menteri dengan sengaja dakwa Ketua Pembangkang merestui perbuatan terkutuk dan tidak berperikemanusiaan Israel ke atas rakyat Palestin...ini tafsiran yang salah dan nyata bertentangan dengan apa yang dimaksudkan Ketua Pembangkang.

"Sebaliknya surat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Israel menunjukkan kerajaan Umno dan BN menjalinkan hubungan dengan Israel," katanya.

Bagaimanapun Anifah menegaskan bahawa Malaysia konsisten dan sentiasa memainkan peranan yang aktif dalam usaha mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan dalam konflik Israel-Palestin.

"Tak seperti Ketua Pembangkang, kerajaan BN bercakap menyenai isu keselamatan Palestin dahulu...itu lebih penting.

"Tapi Ketua Pembangkang ambil pendekataan berbeza iaitu mahu menjaga keselamatan Israel walaupun meletak syarat tertentu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com