Thursday, March 3, 2011


Bankrap: Alasan MB ibarat Pak Pandir

TEMERLOH, 3 Mac: Kenyataan Datuk Seri Adnan Yaakob bahawa Pahang berhutang sejumlah 2.17 billion dengan kerajaan pusat adalah biasa dan sama seperti negeri-negeri lain ibarat alasan 'Pak Pandir', kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Watak dongeng Melayu itu sinonim dengan kenyataan 'bukan anak kita sahaja mati, anak orang lain pun mati juga' kata Tuan Ibrahim, hanya untuk melepaskan diri dari dia dilihat lemah atau bersalah.

Katanya, menteri besar Pahang itu sepatutnya melihat peningkatan hutang tahunan negeri kepada kerajaan pusat telah sampai ke tahap membimbangkan.

"Apa yang mendukacitakan, bilamana anggaran hasil negeri hanya RM532 juta sedangkan belanja mengurus sahaja RM600 juta, pembangunan RM270 juta menjadikan jumlah bajet keseluruhan RM871 juta.

"Ini bermakna lebih dari RM300 juta bergantung kepada hasil pinjaman dari kerajaan Pusat," katanya pada sidang media harian PAS di pusat media PRK Kerdau di sini.

Semalam, Adnan terpaksa menafikan dakwaan PAS bahawa kerajaan negeri hampir bankrap ekoran defisit bajet 13 tahun berturut-turut dan hutang dengan kerajaan pusat makin meningkat.

Beliau berkata, kerajaan negeri hanya defisit dua kali.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Pengarah pilihan raya PAS bagi PRK Kedau berkata, kegagalan kerajaan negeri pimpinan Adnan meningkatkan hasil adalah kerana pengurusannya yang lemah dan tidak terkawal.

"Sebagai contoh, kerajaan negeri sanggup menghabiskan wang negeri bagi membeli nombor plat kereta CCC9 dengan nilai RM48 ribu," katanya.

Lebih pelik ujarnya, inden kenderaan yang sudah dilupuskan masih lagi dibayar dengan jumlah RM11,838 seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008.

Selain itu, tuntutan melampau bagi projek Rumah Rehat Bentong turut dipersoalkan.

"Papan tanda 'Surau' yang harga pasaran RM60 dibayar kepada kontraktor RM542, lampu hiasan ruang tamu yang harganya hanya RM1,500 dibayar kepada kontraktor dengan harga RM38,700," tambahnya.

Sehubungan itu katanya, rakyat harus membuka mata disaat mereka berdepan masalah ekonomi, kerajaan negeri pula melakukan pembaziran.

Katanya, sekarang adalah masa terbaik untuk membuat perubahan memilih calon dari Pakatan Rakyat.

"Pemilihan calon BN pada pilihan raya ini hanya akan meneruskan keadaan selepas 12 kali pilihan raya umum, inilah hasilnya.

"Rakyat perlu memilih wakil rakyat yang akan mengangkat isu-isu ini kepada kerajaan negeri," katanya.

Petugas BN menyamar ahli PAS

Menyentuh suasana kempen yang masuk hari kelima, beliau mendakwa mendapat maklumat seramai 200 petugas BN menyamar sebagai ahli PAS.

Mereka ini katanya, bergerak bertemu pengundi dan cuba menimbulkan provokasi.

Beberapa kain rentang bersifat provokasi juga telah ditemui dipasang di merata tempat, dan beliau memaklumkan laporan polis akan dibuat hari ini.
Selain itu, beliau turut melahirkan rasa dukacita terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang banner dan bendera kempen yang dipasang petugas PAS.

Insiden itu katanya berlaku sejak awal kempen dan terbaru awal pagi tadi.

"Sehingga kini sebanyak 16 kain rentang dan berpuluh bendera hilanh dan enam kain rentang lagi baru hilang pagi ini.

"Saya menyeru kepada kanak-kanak nakal ini untuk menghentikan tindakan ini," nasihatnya.

Insiden itu didakwa berlaku di beberapa tempat termasuk Desa Murni, Kampung Ketam dan Kuala Tekal.-Hrkh

Alasan Palsu SPR Mengenai Pertambahan Undi Pos Yang Naik Mendadak

Undi pos: SPR percaya naik kerana kesedaran, Bersih 2.0 mahu semakan

KUALA LUMPUR, 3 Mac — Pertambahan bilangan pengundi pos di Perak adalah ekoran peningkatan kesedaran hak mengundi termasuk di kalangan mereka yang berkahwin dengan anggota pasukan keselamatan, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sambil menolak kesangsian mengenai jumlah pengundi pos.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar memberitahu The Malaysian Insider, lebih ramai termasuk mereka mendirikan rumah tangga dengan anggota polis dan tentera kini tahu tentang hak mereka bahawa boleh menjadi pengundi tidak hadir, yang memberikan mereka hak untuk mengundi menerusi sistem undi pos.

“Saya percaya jika ada peningkatan jumlah pengundi pos sebagaimana didakwa, isteri anggota tentera dan polis memutuskan untuk mendaftar bersama suami mereka. Ini satu kemungkinan,” katanya ketika dihubungi.

Wan Ahmad diminta mengulas dakwaan peningkatan pengundi pos, perkembangan yang dilihat untuk memperkukuhkan kedudukan Barisan Nasional (BN) di negeri itu menjelang pilihan raya umum ke—13.

Mengambil kira angka peringkat nasional, menurut beliau, pengundi pos di kalangan anggota tentera dianggarkan seramai 134,000 di kalangan tentera dan 80,000 lagi membabitkan polis.

Pengundi pos kalangan pasukan keselamatan lazimnya dianggap sebagai ‘bank undi’ bagi BN dan memihak kepada perikatan tersebut.

Wan Ahmad menambah, beliau tidak pasti dengan angka sebenar pengundi pos di Perak dan perlu mendapatkan maklumat daripada Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak sebelum boleh mengulas lanjut mengenai isu yang dibangkitkan itu.

BN kehilangan kerajaan negeri Perak pada 8 Mac 2008, tetapi memperoleh kembali 11 bulan kemudian apabila tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat keluar parti.

Kelmarin, Parti Keadilan Rakyat (PKR) melahirkan kebimbangan dengan peningkatan mendadak pengundi pos seramai 5,669 dan 1,102 orang masing-masing bagi kerusi DUN Pangkor dan Kamunting.

Adun PKR Perak Chan Ming Kai berkata, meskipun Pangkor yang dimenangi oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir — mengalami peningkatan lebih 5,000 pengundi, kawasan Parlimen Lumut, yang merangkui DUN Pangkor, dimenangi oleh Datuk Seri Kong Cho Ha dari MCA, dimenangi dengan majoriti tipis 298 undi daripada 55,930 pengundi di bahagian tersebut.

DUN Kamunting pula dimenangi oleh Mohamad Zahir Abdul Khalid dari Umno dengan kelebihan 555 undi.

Sehubungan itu, parti tersebut menggesa SPR meneliti peningakatan secara ketara jumlah pengundi pos di kawasan tersebut.

SPR akan mengadakan mesyuarat bulanannya hari ini dan dijangka mengeluarkan daftar pemilih terbaru bagi tahun 2010.

Dengan merujuk kepada undang-undang pilihan raya, Wan Ahmad berkata, anggota tentera dan polis secara automatik menjadi pengundi pos dan pasangan mereka juga mempunyai hak untuk berbuat demikian.

Katanya, di Perak ada ramai anggota tentera termasuk pangkalan tentera laut di Lumut.

“Mereka diberikan pilihan. Mereka boleh memilih sama ada mahu jadi pengundi biasa atau daftar sebagai pengundi tidak hadir, sekali gus mengundi secara pos, selagi mereka memenuhi keperluan undang-undang,” katanya.

Bagaimanapun pertubuhan bagi pilihan raya bersih dan bersih Bersih 2.0 mencabar pandangan itu.

“Saya tidak bersetuju dengan kenyataan Datuk Wan Ahmad,” kata Pengerusinya Datuk Ambiga Sreenevasan kepada The Malaysian Insider.

Sebagaimana dibangkitkan oleh PKR, kata beliau, pihaknya juga mahu SPR menggunakan budi bicara dalam mendaftar permohonan memandangkan keseluruhan proses terdedah kepada salah guna.

“Ia bertentangan dengan semangat pengundian secara pos,” katanya lagi.

Wan Ahmad berkata SPR tiada kuasa untuk menolak pendaftaran sebarang permohonan selagi ia memenuhi kriteria yang diperuntukkan.

“Jika seseorang layak di bawah syarat, kami tidak menolak. Tugas kami ialah memastikan tidak ada pertindihan pengundi bagi mengelakkan penipuan,” katanya. -TMI

Kepada Timbalan pengerusi SPR, kita katakan kepadanya, janganlah nak memperbodohkan rakyat.

Satu dunia dah tahu SPR kini sedang giat melakukan usaha-usaha penipuan untuk mempastikan BN menang di dalam pilihanraya akan datang terutama dengan cara menambahkan bilangan pengundi dan undi pos.

Satu dunia juga tahu anda Timbalan Pengerusi SPR selama ini arahan PM, Mohd Najib Tun Razak utuk mempastikan penyelewengan berlaku seperti mana SPR pernah melakukan untuk membantu Najib di Pekan di dalam pilihanraya 2004 setelah Najib hampir tewas di tangan PAS pada tahun 1999.

Satu dunia tahu bahawa SPR pernah ditegur oleh Najib kerana gagal memainkan peranan untuk mengikut arahan Najib di pilihanraya kecil Manek Urai menyebabkan BN gagal tipis di sana.

Ini zaman teknologi IT dimana maklumat dihujung jari.

Seandainya SPR masih terus menerus cuba membohongi rakyat untuk mengikut telunjuk PM tersebut, pesan kepadanya, bahawa beliau bakal di "Mubarak"kan oleh rakyat satu hari nanti.

Kebenarannya, jika SPR memainkan peranan secara neutral dan berkecuali, UMNO BN sudah lama dikuburkan.

Namun kebenaran itu tetap muncul juga akhirnya. Matahari tidak boleh dilindungi awan tebal selama-lamanya. -GB

 Umno BN secara terangan amal rasuah

JASIN, 3 Mac: Umno BN secara terang-terangan melakukan rasuah politik pada pilihan raya kecil (PRK) Merlimau dengan menjanjikan pelbagai bantuan kepada pengundi yang memilih mereka.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam bahawa bantuan hanya diberikan kepada pengundi yang menyokong Umno BN.
Menurut Abdul Hadi, pimpinan Umno BN tidak seharusnya membuat janji sedemikian kerana rakyat berhak memilih parti mana dalam amalan demokrasi.
"Kenyataan itu menunjukkan amalan rasuah politik yang diamalkan dalam pemilihan Umno, diamalkan juga pada pilihan raya.
"Mengikut amalan demokrasi, Tengku Abdul Rahman dahulu, bila pilihan raya beliau cuti dari jawatan Perdana Menteri dan turun berkempen sebagai Presiden Umno.
"Di negara lain pun begitu juga sebab pilihan raya ini parti dengan parti yang bertanding, bukan parti bertanding dengan kerajaan," kata beliau ketika ditemui di majlis minum petang bersama jentera dari Selangor di Kampung Chinchin petang semalam.
Diminta mengulas mengenai kenyataan Ali Rustam "PAS jangan bermimpi untuk menang di Merlimau", beliau mengingatkan Ketua Menteri itu bahawa tidak ada kerajaan yang kekal berkuasa selama-lamanya.
"Orang Islam diajar mimpi ada betul dan ada yang salah. Nabi Yusuf pernah bermimpi dan mimpi dia betul.
"Islam mengajar mimpi ini satu juzuk daripada ilham yang Tuhan beri. Ada mimpi dari syaitan, ada mimpi betul dan kita tak tahu. Bila berlaku barulah kita tahu.
"Orang Islam diajar tak ada kerajaan yang kekal. Kerajaan yang kekal hanyalah kerajaan Allah Taala.
"Kerajaan Firaun tak kekal, kerajaan Nabi Sulaiman pun tak kekal. Kerajaan Nabi Muhammad SAW pun tak kekal," katanya.
Beliau sebaliknya yakin sokongan terhadap PAS akan bertambah pada PRK kali ini.
Namun tegasnya, ianya haruslah disokong dengan perjalanan pilihan raya yang adil dengan PAS diberikan ruang yang sama seperti BN untuk berkempen.
"Kita yakin sokongan bertambah walaupun pilihan raya yang tidak seimbang. Kempen PAS terhad berbanding BN yang boleh menggunakan media arus perdana, TV3, RTM masuk ke setiap buah rumah.
"Ini adalah jentera kerajaan yang tak patut digunakan. Kalau nak guna kena bagi peluang kepada kita juga, jangan BN sahaja," katanya.-Hrkh

RM24.5 bilion lagi wang Petronas dirompak untuk kroni?

Malaysia semakin parah dengan amalan rasuah serta ‘rompak khazanah negara’ apabila pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini menyerahkan RM24.5 bilion wang Petronas kepada tiga syarikat kroninya, tegas Datuk Seri Anawar Ibrahim.
Peruntukan tersebut kata Ketua Pembangkang itu sepatutnya dibelanjakan untuk tujuan cari gali minyak di luar negara.
Justeru itu katanya lagi, tidaklah menghairankan sekiranya Nazim Razak selaku adik Perdana Menteri dan anak Tun Mahathir Mohamad bernama Mokhzani merupakan antara peribadi terkaya di tanah air hasil menerima habuan daripada Petronas.
“Petronas ada kontrak RM23 Bilion, yang selalu dibelanja untuk mencari gali minyak di Sudan, Iran, Afrika, Iraq, dan lain-lain. Sejak Tan Sri Hasan Merican, diberhentikan, dan diganti dengan orang yang dipilih oleh Najib, dia bawa balik RM 24.5 bilion ini.
“Ia tidak dilabur di luar negara tetapi di dalam. Di luar, kalau kita ada syarikat cari gali, Shell atau BP, . dia dapat minyak, kita kongsi. Tetapi RM 24.5 bilion yang baru diputuskan di dibawah Datuk Seri Najib adalah untuk … 3 syarikat utama,” dedah Anwar.
TV Selangor melaporkan, Anwar berkata antara syarikat yang menerima habuan itu adalah KENCANA, milik Datuk Mokhzani Tun Mahathir ketika menyampaikan ceramah di Padang Serai Merlimau sempena pilihanraya kecil dewan undangan negeri pada hujung minggu lepas.
"Ramai lagi tak ada kerja, anak muda gaji RM1,000 saja sebulan. Dia sanggup rompak RM23 bilion lagi lalu beri pada adik dan anak 'bos' dia"
Pendedahan terbabu baginya suatu pengkhianatan kepada rakyat kerajan Najib selaku Perdana Menteri masih meneruskan amalan rasuah sebagaimana dua perdana menteri sebelumnya – Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Dr Mahathir – di tengah-tengah rakyat terus dihimpit dengan kenaikan harga minyak dan barang asasi serta perlaksanaan saman ekor.
“Ramai tak ada kerja, anak muda gaji RM1,000 saja sebulan. Fikirlah anak-anak ini, nak makan juga, nak hantar anak sekolah, dan ada barang nak beli. Tetapi kamu nak fikir anak kamu (Mahathir) saja sebab apa? Saya marah sebab ini. (Jadi) saya akan lawan tetap lawan,” katanya.
Baginya, Menteri Umno di dalam kerajaan semuanya tidak ada maruah, bahkan sanggup menjadi penjenayah kolar puteh dengan merompak wang rakyat.
“Saya Menteri Kewangan 8 tahun, kalau saya nak punggah kekayaan, berbilion boleh dapat. Tengok menteri sebelum saya, Tun Daim (Zainuddin) berapa banyak kekayaan dia. Tengok menteri-menteri sekarang… rumah, KL, London, Florida,” kata Anwar disambut tepukan dan sorakan hadirin.
Pada majlis tersebut, Anwar merayu pengundi supaya tidak termakan dengah dakyat pemimpin Umno BN dan media seperti Utusan Malaysia.
Sebaliknya beliau menasihatkan rakyat khususnya pengundi supaya menilai rekod pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan sebagai perbandingan dengan apa yang dilakukan oleh BN.
“Banding Melaka dengan Selangor. Di Selangor 50 tahun bawah Umno, banding apa yang diperolehi orang Melayu, Cina, India di Selangor sekarang. Tak ada bandingan. Kerajaan sekarang beri RM500 sebagai wang khairat, anak masuk universiti dapat RM1,000, lahir saja RM100 diberi,” tambah beliau.
PRU13: Satu undi pada Umno BN adalah SATU PENGKHIANATAN terhadap nasib rakyat!

HAPUS SAMAN: KOMITMEN PR KE PUTRAJAYA

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) menyokong penuh kenyataan Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS yang telah memberikan jaminan bahawa semua saman ekor yang telah disenarai hitamkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan dihapuskan jika rakyat memberikan sokongan kepada PAS / Pakatan Rakyat (PR) untuk sampai ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 nanti.

DPPN Pk yakin bahawa menyenarai hitamkan semua kenderaan kerana tidak membayar kompaun saman adalah bertentangan dengan peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia, Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan Hak terhadap harta : (a) Tiada seseorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang. Ini bermakna JPJ dan PDRM bertindak bertentangan dengan peruntukan sedia ada kerana setiap tindakan menyenarai hitamkan kenderaan mestilah melalui proses undang-undang di Mahkamah.

DPPN Pk yakin jaminan daripada PAS / PR mampu merungkai kekalutan undang-undang tersebut yang seolah-olah tidak mengikut lunas peruntukan yang ada dan hak bagi seorang rakyat di bawah kerajaan berdaulat yang mengamalkan Sistem 'DEMOKRASI BERPARLIMEN RAJA BERPELEMBAGAN'. Hala tuju untuk sampai ke Putrajaya adalah komitmen yang akan memastikan semua bentuk penindasan kepada rakyat akan dikeluarkan daripada kepompong penindasan yang kian meruncing.


ZAWAWI HASSAN
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Pulau Pinang tuan rumah debat Husam dan Mahathir

PULAU PINANG, 3 Mac:Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang menawarkan diri sebagai tuan rumah untuk program debat terbuka antara Exco Kerajaan Negeri Kelantan, DatukHusam Musa dan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Yusni Mat Piah berkata, Pulau Pinang amat sesuai menjadi lokasi debat ini kerana isu bersama kedua-dua tokoh ini adalah isu tanah dan Melayu.

Beliau yang ditemui di Karnival Rakyat Harmoni anjuran Lajnah Penerangan PAS Negeri di Dewan Melinium, Kepala Batas malam tadi menyifatkan, apa yang dituduhkan oleh Dr Mahathir tentang kemunduran melayu begitu ketara di sini dan orang ramai boleh saksikan sendiri secara realiti.
Husam baru-baru ini dalam kenyataannya berkata, beliau sedia berdebat dengan Mahathir tentang isu orang Melayu selepas mendakwa Mahathir adalah antara pengkhianat Melayu. Antara buktinya adalah tindakan pentadbiran Mahathir bersetuju menaikkan minyak dari pelantar bersama Malaysia dan Thailand ke Narathiwat di Thailand walaupun Kelantan lebih dekat.
Puncanya hanya kerana Kelantan ditadbir oleh PAS tanpa memikirkan kepentingan Melayu yang menjadi majoriti penduduk di negeri itu. Cabaran ini dibuat ekoran kenyataan demi kenyataan Mahathir yang mendakwa PAS tidak menjaga kepentingan orang Melayu.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang merasa terpanggil untuk menjadi orang tengah sekaligus menawarkan diri sebagai tuan rumah perdebatan antara dua tokoh terkemuka tanahair.
"Sekarang ini bukan masanya berbahas dalam blog tetapi berhadapan supaya rakyat dapat mengetahui secara langsung pandangan yang keluar dari mulut mereka, " jelas Yusni bersemangat.

Agak buang masa, sambung Yusni, berdialog dalam blog tanpa berhadapan secara 'gentlemen' kerana mereka merupakan antara tokoh penting yang acapkali bercakap mengenai kedudukan tanah dan orang Melayu di Malaysia.

Memandangkan kedudukan orang Melayu terhimpit di Pulau Pinang maka satu pendedahan secara terbuka harus ditampilkan supaya nasib Melayu di sini boleh dijadikan tauladan oleh masyarakat terbabit di negeri lain.

Jangan jadi macam Melayu Pulau Pinang katanya, mereka asyik berbangga dengan kemenangan Umno padahal diri sendiri telah hilang jati diri dan ada yang hidup merempat ekoran ada parti Melayu tetapi tidak memperdulikan nasib mereka yang daif.

"Paling menyedihkan ada orang Melayu hidup merempat tetapi kalau bercakap fasal Umno bukan main menyokong melangit tingginya," tegas beliau. -Hrkh

PRK Kerdau: Mata SPR Buta Sebelah

Petaling Jaya: Pakatan Rakyat mendakwa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hanya nampak dan bertindak ke atas kesalahan yang dilakukan oleh pakatan pembangkang tetapi membisu terhadap Barisan Nasional (BN).

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Pahang, Mohd Nizam Hamid berkata, SPR mendiamkan diri mengenai penyalahgunaan kuasa oleh BN yang berlaku di merata tempat di Kerdau.

Sebaliknya, kata beliau, Suruhanjaya berkenaan sangat prihatin dengan kesalahan kecil yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat.

“Bendera dan kain rentang yang ada tulisan Pakatan Rakyat dibuang oleh petugas SPR tetapi pengguna jentera kerajaan oleh BN dibiarkan.

“Tetapi mereka guna pejabat penghulu untuk berkempen, guna bangunan kerajaan SPR diam sahaja. Dalam hal ini, SPR berat sebelah.

Mereka ambil tindakan ke atas pembangkang sahaja,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pilihan raya kecil (PRK) Kerdau Ahad ini, calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad dicabar calon PAS, Hasanuddin Salim. PRK itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Zaharuddin Abu Kassim, Januari lalu akibat sakit jantung.

Mohd Nizam juga mendakwa, Majlis Belia Negara dan parti Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) turut membuka bilik gerakan masing-masing sedangkan mereka bukan parti politik.

Sementara itu, beliau berkata, jentera pilihan raya pembangkang telah berjaya memasuki semua kampung yang sebelum ini tidak boleh berbuat demikian. Ia termasuk di Felda Jengka 15 yang barangkali kubu paling kuat Umno di sini.

”Di kawasan Felda pula dalam tinjauan yang dibuat, nampaknya mereka tidak terpengaruh dengan peruntukan RM10 juta yang diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada mereka Ahad lalu.

“Jika ini benar-benar berlaku, saya optimis PAS berpeluang besar untuk memenangi kerusi Kerdau, Ahad ini,” katanya. -FMT

Biasalah.

Mata SPR dan para pegawainya memang buta sebelah. Hanya melihat dan mencari kesalahan Pakatan Rakyat walaupun sebesar hama.

Kesalahan BN sebesar gajah tak mengapa. -GB

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com