Friday, July 1, 2011

Bersih 2.0 : Penganjur sedia 5000 petugas keselamatan


KUALA LUMPUR: Penganjur perhimpunan Bersih 2.0 akan menyediakan 5000 petugas keselamatan bagi mengawal dan menjaga keselamatan rakyat yang berhimpun secara aman 9 Julai ini.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, dakwaan bahawa Bersih ingin mencetuskan rusuhan dan melakukan keganasan adalah tidak benar.

“Peranan unit keselamatan adalah untuk mengawal dan menjaga keselamatan aktivis Bersih. Ini jelas menunjukkan kami sememangnya menitikberatkan keselamatan rakyat bukannya ingin menimbulkan kekecohan dan keganasan,” katanya.

Menurutnya, Bersih juga menyediakan 100 anggota perubatan yang menawarkan diri secara sukarela dan semuanya terdiri di kalangan rakyat biasa.

“Mereka juga akan turun membantu orang ramai sekiranya berlaku apa-apa kemalangan,” katanya ketika dihubungi keadilandaily.

Ini ditambah lagi dengan khidmat kira-kira 400 peguam yang turut serta menawarkan diri untuk membela aktivis Bersih sekiranya ada tangkapan dilakukan pihak polis.

Penyokong Bersih 2.0 dijadual berkumpul di pusat membeli-belah Sogo, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur- Dataran merdeka dan masjid Kampung Baru sebelum berarak ke Istana Negara.
Ia bagi menyampaikan memorandum kepada Yang Di Pertuan Agung, meminta campurtangan baginda supaya sistem pilihan raya negara ini dijalan secara bebas dan adil.

Lapan tuntutan tersebut adalah pembersihan senarai undi, reformasi undi pos, penggunaan dakwat kekal, kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, memperkukuh institusi awam, menghentikan rasuah pilihan raya dan menghentikan politik kotor.

Semalam, Presiden Bersih 2.0, Datuk Ambiga Srevenasan mengadakan perbincangan bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bagi meminta pihak berkuasa itu mempertimbangkan dan membenarkan perhimpunan diteruskan dengan menentukan laluan perarakan yang akan dipatuhi oleh peserta perhimpunan.

Pertemuan kedua dengan ketua polis negara minggu depan akan diusulkan bagi mendapatkan maklum balas berhubung permintaan mereka.

Bekas Penolong Gabenor BNM Dituduh Rasuah RM100,000

Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Mohamad Daud Dol Moin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menerima rasuah daripada seorang ahli perniagaan untuk mendapatkan kontrak daripada BNM

KUALA LUMPUR: Bekas penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini Jumaat atas dua tuduhan menerima suapan iaitu wang tunai bernilai RM100,000, berhubung kontrak projek percetakan wang polimer RM5, tujuh tahun lalu.

Datuk Mohamad Daud Dol Moin bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang didakwa dilakukan menerusi seorang ahli perniagaan, Abdul Kayum Syed Ahmad.

Suapan itu didakwa untuk membantu mendapatkan kontrak berkaitan permohonan 'Percetakan Wang Polimer RM5' oleh Note Printing Australia Ltd dengan tertuduh ketika itu tertuduh masih sebagai Penolong Gabenor.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di Restoran Dome, G7, Aras bawah, Bangsar Shopping Center di sini pada 1 Disember 2004 dan 16 Februari 2005. - Mstar

Tinggal Kenangan !!! Selamat Tinggal Stesen Keretapi Tanjung Pagar

Stesen kereta api Tanjong Pagar. — Foto oleh Jason Devadason
Notis penamatan perkhidmatan di Stesen Kereta Api Tanjung Pagar. — Foto oleh EquatorialSky2
Platfom dan landasan kereta api di Stesen Kereta Api Tanjung Pagar. — Foto oleh EquatorialSky2
Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar memandu tren terakhir yang meningggalkan Stesen Kereta Api Tanjong Pagar pada pukul 11 malam Khamis. Para pengunjung stesen itu turun beramai-ramai ke landasan untuk merakamkan gambar serta mengutip batu kerikil di landasan untuk dijadikan kenangan. -Foto THE STAR: TEO YEONG CHANG


SINGAPURA, 1 Julai — Setelah 80 tahun menaburkan jasa menghubungkan rakyat di Semenanjung dengan Singapura, perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di stesen Tanjong Pagar di sini melabuhkan tirai dengan diiringi linangan air mata pengunjungnya malam tadi.

Sebaik sahaja tren terakhir yang dipandu oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bergerak meninggalkan stesen tepat pukul 11 malam, para pengunjung stesen itu turun beramai-ramai ke landasan untuk merakamkan gambar serta mengutip batu kerikil di landasan untuk dijadikan kenangan.

Laporan Bernama Online menyebut ramai juga di kalangan pengunjung kelihatan menitiskan air mata selepas tren terakhir itu berlepas. Sultan Johor memandu tren terakhir itu sebagai simbolik berakhirnya perkhidmatan KTMB di stesen itu.

Tepat pukul 12 tengah malam, stesen yang telah beroperasi selama lapan dekad memberikan perkhidmatan menghubungkan Malaysia dan Singapura sejak 1932 itu menghentikan operasinya dari stesen itu secara total.

Bermula hari ini, perkhidmatan KTMB dari Singapura akan beroperasi dari stesen kereta api Woodlands.

Terdahulu, Sultan Johor yang diiringi putera baginda Tengku Temenggong, Tengku Idris, serta puteri Tengku Amina tiba di stesen itu pada pukul 10.20 malam seterusnya dibawa meninjau persekitaran stesen berkenaan oleh pegawai kanan KTMB yang bertugas.

Keberangkatan rombongan diraja itu disambut meriah oleh ribuan pengunjung serta para media sama ada tempatan mahupun antarabangsa yang begitu teruja menunggu sejak lewat petang bagi merakamkan detik bersejarah perjalanan terakhir tren itu.

Malaysia bersetuju memindahkan stesen KTMB Tanjong Pagar ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP), berkuat kuasa mulai esok.

Keputusan itu dicapai hasil perbincangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura tahun lalu.

Jarak laluan dari Stesen Woodlands ke Stesen Bukit Timah adalah sejauh 14km manakala laluan dari Stesen Bukit Timah ke Stesen Tanjong Pagar adalah 10.25km. -TMI

Semestinya ramai rakyat Malaysia yang terharu dan menitiskan airmata.Satu lagi mercutanda Tanah Melayu di Singapura terlepas.Satu lagi hasil ketidakcekapan pemimpin BN dan Umno dalam menangani isu dengan Singapura.

Selepas Pulau Batu Putih kini Tanjung Pagar pula terlepas kononnya atas nama pembangunan.Ambo tidak berapa pasti butir2 perjanjian antara dua negara ini tapi tentunya memihak kepada Singapura yang sejak sekian lama berusaha mengambil balik stesen keretapi KTMB Tanjung Pagar ini dan akhirnya mereka berjaya.

Tahniah kepada Najib kerana berjaya merealisasikan impian Singapura dan melepaskan aset negara kepada jiran dengan begitu mudah.

2011 (VIDEO) CheguBard VS OCPD - "Lagi TERUK Daripada Negara Komunis?"





Chegu Bard : Diorang ada mohon permit tak?

OCPD : Mohon tapi (polis) tak luluskan.

Chegu Bard : Kenapa tak lulus Encik?

OCPD : Mesti la ada sebab-sebab dia..

Chegu Bard : Tak ada sebab..

OCPD : ..dan kita ada bagi dia masa untuk buat rayuan kepada KP. Tapi diorang (PAS) tak buat. Kita nak buat macam mana lagi. Itu prosedur..

Chegu Bard : OK..ikut prosedur. Tapi Encik bersetuju tak, dalam mahkamah dah menterjemahkan undang-undang ni. Undang-undang berkaitan ini (permit ceramah) mahkamah dah menterjemahkannya.

OCPD : Saya nak tengok juga benda tu...mana dia?. Patutnya cikgu bawa benda tu tunjuk dengan saya, barulah saya boleh percaya.

Chegu Bard : OK..saya pegang kata-kata Encik, kalau lain kali saya datang ke Ledang, saya berurusan dengan Encik saya bawa benda tersebut kita boleh berurusan dan Encik boleh bagi..

OCPD : Kalau betul cara dia punya..jalan dia..kita orang..

Chegu Bard : Kalau ada, kalau ada keputusan mahkamah secara bertulis, Encik boleh benarkan?

OCPD : Itu saya tak boleh nak bagi kata putus..

Orang ramai : Hahahahahahahaha........

OCPD : Itu saja. Yang kita nak, kita pun dah bagi masa. Patutnya awal-awal lagi kita tak benarkan ini semua. Kita dah bagi masa sapa tadi ni...cik ni bercakap. Cikgu dah dapat bercakap lebih kurang 20 minit. Kira tu cukuplah..

Dr. Mahfudz Mohammad (Pesuruhjaya PAS Negeri Johor) : Saya belum cakap lagi..

OCPD : Itu kira dah habislah tu..dah habis lah.

Dr. Mahfudz Mohammad (Pesuruhjaya PAS Negeri Johor) : Asal kes di Johor ni banyak kali dah memang...ditangkap macam gini. Dibawa mahkamah pun..(kurang jelas)

OCPD : Ye tak ape la..saya tau,saya tau.

Chegu Bard : Takkan lah teruk sangat. Ini lebih teruk daripada hidup negara komunis ni.

OCPD &Orang ramai : Hahahahahaha...

Dr. Mahfudz Mohammad (Pesuruhjaya PAS Negeri Johor) : Tempat dalam kampung macam ni nak ditahan apa?..

OCPD : Ok itulah saja saya nak minta. Kita tak maulah sampai bawa balik apa ni..

Chegu Bard : Saya cuma nak tanya satu je untuk urusan selanjutnya. Siapa pegang command di sini?. Tuan OCPD ye?

OCPD : Ya

Chegu Bard : Boleh saya dapat nama dan aa..untuk kalau kita perlu tindakan lanjut.

OCPD : Telefon ajelah kat balai polis.

Orang ramai : Hahahahahaha..

Chegu Bard : Saya minta kerja sama lain untuk hormat eh. Ok, Encik siapa nama?

OCPD : Nama saya Hj Mohd Salleh.

Chegur Bard : Hj Mohd bin Salleh ke apa..? Hj Mohd Salleh bin Abd Razak. OK. Boleh saya dapatkan no badan encik?

OCPD : Tak payah la nombor-nombor badan..

Chegu Bard : Sebab kena (kurang jelas)..Encik saya pernah bawa kes yang sama ke mahkamah Encik...

OCPD : Dah, dah..saya tak mau ini semua dah...Saya kata berhenti, berhenti. Dah cukup. Dan penganjur ni kita akan bawa dia ke balai lah untuk ambik statement dia.

**Rakaman ini dibuat ketika OCPD menamatkan program ceramah di Serom 3 seperti yang dilaporkan di sini

UMNO Penang Demo lagi.. kesian kat depa...



Semalam satu sms yang diterima menyatakan "UMNO Pulau Pinang merancang satu demontrasi jalanan di Komtar, Georgetown selepas Solat Fardhu Jumaat ini sebagai melahirkan rasa tidak berpuas hati terhadap pentadbiran Ketua Menteri Lim Guan Eng yang menyokong rakyat menyertai Himpunan aman Bersih 2.0, pada 9 Julai depan di ibu negara.




Hari ini... Bagaikan 'tentera merah' dalam musim pilihan raya umum Thailand yang dijadualkan 3 Julai ini depan, kira-kira 200 pemuda Umno lengkap memakai lilit kepala bertulis Laailahaillallah berhimpun di perkarangan Komtar 2.30 petang tadi bagi membantah pendirian kerajaan negeri Pulau Pinang yang didakwa mereka cuba membangkitkan faham komunis dalam negara ini.

Kerajaan Pulau Pinang yang diteraju Ketua Menteri Lim Guan Eng dituduh demikian kerana dilihat memprotes langkah polis mereman 30 aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput sejak beberapa hari lalu kerana melakukan siri jelajah Bersih 2.0 di negeri ini.

Lim turut dituduh menggalakkan rakyat menyertai perhimpunan aman 300,000 di ibunegara yang dirancang pada 9 Julai depan.




Ezam Mohamad Noor antara pemimpin Umno yang kelihatan di perbarisan hadapan perarakan tanpa permit polis tersebut.





Sambil melaungkan "Allahu Akbar" mereka mengangkat beberapa sepanduk yang tertulis "Lim Guan Eng Dalang Pepecahan", "Jangan berani bangkitkan kembali komunis" dan "Lim Guan Eng Pemecahbelah Umat Islam".













Manakala, lebih 50 anggota polis dan 15 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dilihat berkubu di pintu masuk utama ke Komtar yang menempatkan bangunan kerajaan negeri Pulau Pinang sejurus selepas Solat Fardhu Jumaat.

Setakat jam 3.05 petang, tiada tangkapan awam dilakukan ke atas mereka yang menyertai demontrasi tersebut.

Namun, usaha menyuraikan 'tentera merah' terbabit dilakukan demi memeliharan ketenteraman awam dan melancarkan laluan trafik.


Berita dari Penang Daily

Peniaga Ditahan Polis Ketika Jual Baju Bersih Di Kuliah Mingguan Tok Guru Nik Aziz

Ketegangan berlaku ketika Polis mahu menahan Zakaria
Polis dikerumuni orang ramai yang cuba menghalang penahanan Zakaria
Sebahagian anggota Polis di Medan Ilmu Kota Bharu
Zakaria dibawa ke balai Polis [ Sumber Gambar ]


KOTA BHARU, 1 Julai: Seorang peniaga, Zakaria Che Wail telah ditahan polis selepas kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, di sini pagi tadi kerana dipercayai menjual kemeja T yang tertera tulisan Bersih.

Beliau yang diminta menyerahkan kemaja T berkenaan dengan tenang menyerahkan barang jualannya itu kepada salah seorang anggota polis.
Bagaimanapun, pihak polis mengambil semua hasil jualannya termasuk yang masih terdapat dalam van untuk di bawa ke Ibu Pejabat Polis Kota Bharu (IPD) Pengkalan Chepa.

Dianggarkan lebih 10 orang anggota polis termasuk tiga darinya beruniform dan seorang berpangkat inspector sejak awal lagi berada di sekitar Dataran Ilmu.

Menurut seorang saksi, sewaktu pihak polis ingin membawa Zakaria termasuk vannya keluar dari situ, berlaku sedikit ketegangan apabila orang ramai cuba menghalangnya.

“Bagaimanapun, atas nasihat seorang pakchik, mereka akhirnya memberi kerjasama sehingga akhirnya van berjaya dikeluarkan dari situ,”ujarnya.

Sehingga berita ini ditulis, Zakaria masih lagi ditahan untuk siasatan lanjut.
Wartawan dan jurugambar yang cuba ingin mendapatkan maklumat berhubung perkara itu di IPD pagi tadi tidak dibenarkan masuk.

Menurut polis yang bertugas, beliau menerima arahan agar tidak membenarkan orang ramai termasuk media memasuki kawasan terbabit. -Hrkh

Azmin kepada Wan Ahmad: Letak jawatan dan bertanding dalam PRU!

Saya merujuk kepada kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar yang dilaporkan oleh laman portal Malaysiakini.com bertarikh 30 Jun 2011 bertajuk "SPR: Ambiga diperalat, BERSIH kian kusut".

Menurut laporan tersebut, Wan Ahmad mendakwa bahawa Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih & Adil (BERSIH), Ambiga Sreevenasan (gambar kiri) telah diperalatkan oleh pemimpin politik pembangkang untuk membantu Pakatan Rakyat menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Kenyataan Wan Ahmad adalah tidak bertanggungjawab dan menzahirkan watak sebenar beliau yang selama ini dilihat sebagai alat kepada pimpinan UMNO dan sistem yang rosak. Kenyataan sebegini tidak mengambarkan sikap profesional seorang pegawai yang memegang amanah dan tanggungjawab untuk menjamin institusi SPR kekal sebagai badan yang bebas.

Adalah malang apabila Wan Ahmad gagal memperlihatkan profesionalisme sebagai penjawat awam yang seharusnya bersifat berkecuali. Ketaatan membuta-tuli beliau kepada UMNO jelas membuktikan beliau gagal membezakan keperluan untuk setia kepada "government of the day" dengan taat kepada "governing party".

Beliau turut dilaporkan oleh laman berita The Malaysian Insider sebagai berkata komponen Pakatan Rakyat sudah mula risau dengan kebangkitan Barisan Nasional yang memperlihatkan kemenangan dalam beberapa pilihan raya kecil sejak tahun lalu.

Pilihan raya yang bebas dan adil tidak memungkinkan seseorang itu mengetahui siapakah yang akan menang dalam sesuatu pilihan raya.

Sebaliknya, apabila Wan Ahmad menzahirkan kenyataannya bahawa Barisan Nasional semakin kuat, maka timbul persoalan apakah beliau sudah merancang sesuatu bagi menjamin kemenangan UMNO dan Barisan Nasional? Kalau inilah peranan yang dicatur oleh Wan Ahmad, maka pilihan raya di Malaysia sememangnya tidak lagi bebas dan adil!

Wan Ahmad seharusnya faham dan menghayati peranan SPR yang termaktub dalam Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan, di mana SPR merupakan sebuah suruhanjaya yang bertanggungjawab bagi menyelia dan mengelola pilihan raya yang bebas dan adil di Malaysia. Asas utama dalam mengendalikan pilihan raya yang bebas dan adil ialah daftar pemilih yang bersih untuk menjamin tidak berlaku pengundian berganda oleh seorang pemilih berdaftar termasuk undi pos.

Saya telah menyahut cabaran Wan Ahmad dan telah membuktikan secara berfakta bahawa Daftar Pemilih Induk 2010 yang diwartakan pada Mei 2011 adalah daftar pemilih yang terkotor dalam sejarah pilihan raya dan dakwaan saya telah diakui benar oleh SPR dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha SPR, Kamaruddin Mohamed Baria bertarikh 24 Jun 2011. Wan Ahmad harus memikul tanggungjawab ini dan meletakkan jawatan serta merta. Beliau tidak lagi punyai maruah dan kredibiliti untuk memimpin SPR.

Wan Ahmad (gambar kanan) juga sewajarnya mengetahui bahawa SPR sama sekali tidak boleh berpihak atau mencampuri urusan mana-mana pertubuhan sama ada pertubuhan yang berkaitan dengan kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti BERSIH.

Lapan (8) tuntutan BERSIH iaitu (i) pembersihan senarai pengundi; (ii) reformasi undi pos; (iii) penggunaan dakwat kekal; (iv) tempoh kempen minima 21 hari; (v) memperkukuh institusi awam; (vi) menghentikan rasuah pilihan raya dan; (viii) menghentikan politik kotor; adalah bertujuan untuk menyuburkan demokrasi dalam negara dan memperkukuhkan sistem pilihan raya yang bebas dan adil.

Tuntutan-tuntutan ini sewajarnya dipandang serius dan positif oleh SPR dalam usaha untuk memastikan perjalanan pilihan raya di negara ini dapat dilaksanakan secara telus, bebas dan adil. SPR harus berlapang dada untuk menerima dan melaksanakan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh rakyat demi memperbaiki imej dan kredibiliti SPR yang dilihat sebagai tidak berwibawa dan bersikap berat sebelah.

KEADILAN dan Pakatan Rakyat senantiasa mendukung sebarang usaha yang proaktif demi rakyat dan demi menjamin satu sistem demokrasi yang menjanjikan pilihan raya yang telus, bebas dan adil.

Sehubungan dengan itu, saya mewakili Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dengan ini menuntut supaya Timbalan Pengerusi SPR itu menarik balik kenyataan beliau atau meletakkan jawatan serta merta kerana telah menjejaskan kredibiliti SPR. Saya juga mencabar beliau supaya masuk dalam gelanggang politik UMNO dan menyertai Pilihan Raya Umum ke-13!

*Kenyataan media oleh Mohamed Azmin Ali (gambar kiri) selaku Timbalan Presiden PKR. -

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com