KUALA LUMPUR, 25 Julai: Kerajaan silap apabila menyifatkan langkahnya memperkenalkan sistem biometrik boleh meredakan kebimbangan terhahap ketelusan pilihan raya kerana sistem ini menambahkan lagi kebimbangan rakyat.
“Sistem biometrik hanya diketahui oleh pegawai dan tidak diketahui oleh rakyat dan petugas. Ini menyebabkan ia tidak telus kerana masalah sebenar pengundian adalah apabila ia tidak telus,” kata Dr Dzulkefli Ahmad, anggota Parlimen Kuala Selangor.
Dzulkefli mengulas pengumuman SPR persetujuan kerajaan agar biometrik digunakan untuk pengesahan pengundi di hari pilihan raya nanti.
Sistem ini akan disambungkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengesahkan status sesaorang pengundi.
Persoalan sistem ini menjadi hangat kerana hilangnya keyakinan rakyat terhadap ketelusan dan kewibawaan SPR.Ini kerana, pelbagai maklumat tersebar kononnya beberapa pemimpin kanan SPR dilantik khas oleh pemimpin kerajaan untuk mempastikan kemenangan BN.
Usaha pimpinan kampus pendidikan tinggi di Malaysia untuk menggunakan sistem yang serupa dalam pilihan raya kampus juga ditentang hebat oleh pelajar kerana isu ketidakyakinan kepada pengendali pilihan raya.
Dr Dzulkefli yang baru dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS (PPP) berkata, sebaliknya, sistem menggunakan dakwat kekal adalah yang terbaik setakat ini kerana ia boleh dilihat oleh semua orang yang terlibat.
Sehubungan itu, beliau yakin, sistem biometrik yang cuba hendak diperkenalkan SPR dan mendapat sokongan Kabinet ini tidak akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem pilihan raya di negara ini.
Tahniah kepada rakyat
Namun begitu, beliau mengucapkan tahniah kerpada rakyat negara ini, khasnya Bersih 2.0, kerana akhirnya kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) mengakui bahawa sistem pilihan raya di negara ini tempang dengan adanya pengundian berganda untuk seorang pengundi.
“Setelah mengakui hakikat inilah, kerajaan mahu memperkenalkan sistem biometrik ini,” kata Dr Dzulkefli.
Namun, kata Dr Dzulkefli, penyelesaian yang diberikan kerajaan BN ini seumpama mahu menggunakan senjata besar yang canggih, misile misalnya, bagi membunuh seorang ‘bandit’ .
“Ia tentu berbelanja besar dalam masa yang suntuk kerana timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyidin telah mengumumkan pilihan raya sudah tidak beberapa bulan saja lagi,” katanya.
Beliau yakin, sebagaimana pembelian dakwat sebelum ini, projek ‘biometrik’ akan tinggal cadangan sahaja.
“Jika ia hendak dilaksanakan juga, kerajaan akan hadapi masalah belanja yang besar, latihan, keyakinan rakyat dan sebagainya,” kata beliau.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada kerajaan agar isu ini diselesaikan dengan cara yang semudah mungkin.
“Mengapa takut sangat dengan penggunaan dakwat kekal sedangkan ia terbukti berjaya di negara yang paling lama demokrasinya di dunia sebelah sini iaitu India.
“Cara ini mudah dan telus kepada rakyat kerana isu sebenar adalah ketelusan. Guna biometrik hanya akan dapat ditentusahkan oleh pegawai bertugas sahaja berbanding dakwat kekal yang boleh disaksi oleh semua yang berada dalam tempat mengundi,” kata beliau lagi.
Beliau tidak dapat membayangkan kerumitan yang bakal berlaku di hari mengundi nanti jika sistem biometrik diperkenalkan dalam keadaan tanpa latihan yang cukup kepada pegawai dan kefahaman yang jelas dari rakyat.
Harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment
Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com