Malah gambaran yang diberikan dalam khutbah-khutbah Jumaat di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya semalam yang menyimpang dari agenda sebenar Bersih 2.0 diadakan, benar-benar mengecewakan dan sesuatu yang sengaja direkayasa, kata pemimpin Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA), Ustaz Abdul Ghani Shamsudin.
"Andaian bahawa himpunan Bersih adalah himpunan berdarah, adalah andai-andaian yang mereka sengaja cipta kerana mereka tahu bahawa kita berpotensi menimbulkan kesedaran masyarakat tentang perlunya pilihan raya yang adil, profesional dan betul,"katanya kepada Tv Selangor.
Semalam, masjid-masjid di Kuala Lumpur dan Putrajaya diwajibkan membaca khutbah Jumaat yang menuduh penganjur Bersih sebagai “pengkhianat” dan mendakwa peserta himpunan itu “akan bertindak ganas, merosakkan harta benda…malah sanggup mencederakan pasukan keselamatan.”
Ia seolah-olah mahu memberikan gambaran bahawa perhimpunan tersebut adalah salah dan memudaratkan rakyat dengan mengandaikan ianya adalah perhimpunan berdarah.
Walhal menurut Ustaz Ghani, perhimpunan secara aman adalah sesuatu yang diharuskan dalam maqasid syariah sebagai jalan untuk menegur pemerintah yang angkuh.
Apatah lagi perhimpunan yang bakal dianjurkan adalah sebuah perhimpunan aman.
"Hukum asal berhimpun secara aman ini adalah harus, dengan merujuk kepada huraian alim ulama, ianya akan menjadi hukum sunnah, malah wajib sekiranya tiada lagi cara untuk menegur dan membetulkan kemungkaran dengan cara berhimpun dan berdemonstrasi di padang terbuka mahupun jalan raya," jelas beliau.
Khutbah Jumaat yang dibacakan semalam berjudul “Memelihara Nikmat Keamaman” yang diedarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan mendakwa peserta Bersih pada 9 Julai akan “melakukan demonstrasi jalanan, perhimpunan haram, dan berarak ke hulu hilir serta melanggar undang-undang negara”.
Tuduhan yang dibuat menerusi khutbah Jumaat itu mengejutkan lebih-lebih lagi setelah penganjurnya dan pemimpin-pemimpin politik yang menyertai Bersih memberi jaminan berulang kali bahawa perhimpunan itu adalah aman dan berharap polis tidak akan mencetuskan sebarang provokasi. -tvsnews
Khutbah hentam Bersih, Jawi jadi alat Umno
KUALA LUMPUR, 1 Julai: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) amat kesal dengam khutbah Jumaat keluaran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan dibacakan di masjid-masjid di seluruh Kuala Lumpur hari ini, memandangkan ia jelas memburukkan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) dan perhimpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan 9 Julai ini.
Di tengah kita menyambut Israk dan Mikraj yang mengandungi amat banyak pengajaran besar, Jawi hari ini telah melakukan kesilapan besar dengan mengeluarkan khutbah tersebut yang jelas melampau dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Riduan Mohd Nor menegaskan, pada hal di dalam negara kita ini amat banyak perkara yang perlu diketengahkan oleh Jawi termasuklah usaha-usaha untuk mengatasi gejala sosial dan penghinaan terhadap syariat Islam.
Menurut beliau, tiba-tiba mimbar Jumaat di seluruh Wilayah Persekutuan hari ini dicemari dengan propaganda Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi APCO.
Katanya, DPPP amat kesal apabila masjid yang mulia dicemari dengan politik kotor dan hina yang menjadi pegangan Umno BN selama ini.
"Pada hal jika kita kembali kepada sirah Rasulullah s.a.w, khutbah merupakan medium dakwah yang penting yang mengandungi pelbagai nasihat dan ajaran berguna. Ia disampaikan dengan penuh semangat dan ketika menyampaikan khutbah, Nabi sendiri turut memegang tombak dan pedang.
"Oleh itu, dalam Islam, setiap makmun diwajibkan mendengar khutbah dengan teliti. Malah Nabi sendiri pernah menegur seorang sahabatnya kerana bermain-main dengan anak batu ketika khutbah dibaca," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.
Isi khutbah, menurut beliau, mesti didengar dan dihadam oleh setiap makmun dan dengan itu ia secara jelas memberikan pengajaran kepada kita bahawa setiap khutbah yang dibacakan di mimbar-mimbar masjid mestilah yang menepati ajaran Islam.
Katanya, bagaimanapun, perkara itu amat berbeza dengan khutbah yang dibacakan di mimbar-mimbar masjid di Kuala Lumpur hari ini kerana ia jelas telah diperalatkan oleh BN untuk propaganda politik murahannya.
"Dengan itu, setiap umat Islam wajib menolak khutbah yang bersalut propaganda politik murahan BN itu dan sebaliknya turut memberikan kerjasama dengan Bersih untuk menolak politik kotor dan hina dan pilihanraya yang kotor dan hina di negara kita," tegasnya.
Rakyat di seluruh negara, katanya, diyakini amat faham dengan tujuan Bersih hendak mengadakan Perhimpunan Aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini yang bukannya untuk melakukan kekacauan, tetapi untuk menuntut kerajaan melaksanakan pilihanraya dengan bersih dan adil.
"Oleh itu, di tengah BN menyerang Bersih termasuk dengan menggunakan mimbar masjid, saya yakin sejuta umat Islam akan turun berhimpun di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini, bagi mendesak kerajaan BN yang korup melaksanakan pilihanraya dengan bersih dan adil kerana rakyat sendiri sudah tidak tertahan dengan permainan politik kotor BN sejak sekian lama," katanya.
Sementara itu, PAS Wilayah Persekutuan turut kesal dengan teks khutbah Jumaat hari ini yang dikeluarkan oleh Jawi untuk menghentam Bersih.
Dalam keadaan mereka beria-ia menolak politik kepartian di dalam masjid, tetapi Jawi hari ini telah terjebak sebagai alat politik Barisan Nasional (BN).
Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Nasaie Ismail berkata, tindakan menggunakan platform agama untuk mengharam dan melabelkan pelampau kepada Himpunan Bersih 2.0 dikira melampau dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Menurut beliau, label pelampau dan haram dikaitkan kononnya Bersih hendak menimbulkan kekacauan dan kerosakan jelas merupakan satu fitnah yang dilakukan terang-terangan menggunakan mimbar Jumaat.
Katanya, PAS Wilayah Persekutuan amat kesal kerana mimbar Jumaat dijadikan tempat sebaran fitnah, sedangkan umum mengetahui tujuan Bersih adalah untuk berhimpun secara aman bagi mendesak pilihanraya yang bebas dan adil, bukan untuk melakukan kerosakan dan huru-hara.
"Tetapi khutbah yang dikeluarkan oleh Jawi ini melaporkan sebaliknya," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.
PAS Wilayah Persekutuan juga, menurutnya, kecewa kerana Jawi menggunakan platform khutbah yang berbentuk komunikasi sehala untuk memfitnah himpunan Bersih.
"Kita mohon supaya Jawi sedia berdialog secara terbuka dengan umat Islam dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bagi memastikan di mana haram dan melampaunya himpunan Bersih?
Jika JAWI tidak sedia berdialog, beliau secara tegas mengatakan, itu tandanya JAWI sebenarnya melaksanakan arahan Barisan Nasional.
"Kita hendak ingatkan Jawi supaya tidak menjadi alat BN dan merasakan masjid-masjid di Wilayah milik Barisan Nasional sehingga tergamak melakukan hal ini.
"Perlu diingat, 9 daripada 10 Parlimen di Kuala Lumpur ini dimenangi oleh Pakatan Rakyat dan sudah pasti yang mendengar khutbah itu majoritinya menolak politik kotor Barisan Nasional," tegas beliau.
Beliau juga memberitahu PAS Wilayah Persekutuan akan menurunkan lebih 20 ribu orang ahli-ahli dan penyokong-penyokongnya ke Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.
Mereka, katanya akan turun dengan disiplin yang tinggi sebagaimana amalan biasa dalam PAS dan seperti yang telah sedia dimaklumi oleh pihak polis sendiri berhubung akhlak dan disiplin ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS sepanjang puluhan himpunan yang pernah diadakan sebelum ini.
Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Nasaie Ismail menjelaskan, kesediaan PAS Wilayah Persekutuan menurunkan ahli-ahli dan penyokong-penyokongnya ke perhimpunan itu adalah selaras dengan arahan Mursyidul Am dan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Menururut beliau, PAS Wilayah Persekutuan juga menyeru ahli-ahlinya supaya menjadikan diri mereka sebagai saksi-saksi sejarah terhadap perubahan demokrasi yang bebas dan bersih dengan penglibatan mereka dalam himpunan itu.
Katanya, himpunan aman yang diadakan itu adalah untuk mendesak kerajaan memulihkan sistem pilihanraya yang kotor selama ini dan ia akan memberi kesan yang cukup besar jika berlaku perubahan.
"Ia akan menjadi catatan sejarah yang akan dibaca dan dipelajari oleh anak-anak dan cucu kita pada masa akan datang dan sudah pasti ibu bapa dan datuk neneknya dahulu salah seorang daripada saksi sejarah tersebut," katanya.
PAS Wilayah Persekutuan juga, menurut beliau, mengalu-alukan kehadiran ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS dari seluruh negara ke ibu kota bagi menjayakan perhimpunan itu.
Katanya, sehingga kini keadaan di ibu kota begitu aman dan tidak ada sebab untuk ahli-ahli PAS dan orang ramai tidak hadir ke Kuala Lumpur pada tarikh tersebut.
"Tambahan pula dengan jumlah anggota polis yang ramai, sudah pasti keamanan lebih terjamin. Di samping itu, 400 peguam yang disediakan parti sepanjang perhimpunan ini akan dapat membantu memastikan peserta sentiasa patuh pada undang-undang," tegasnya. -Hrkh
Stesyen Teksi: PM Salah Maklumat - Haji Husam
2 Julai 2011
TAPAK STESYEN TEKSI PASIR PUTEH TIDAK PERNAH DIJUAL: KENYATAAN PM SALAH MAKLUMAT
Saya selaku anggota Kerajaan Negeri terkejut dengan dakwaan YAB Perdana Menteri bahawa tapak stesyen teksi Pasir Puteh yang beroperasi sekarang telah dijual oleh PKINK. Selain itu, kenyataan beliau juga menyebut tapak itu telah dirampas oleh Kerajaan Negeri melalui PKINK.
Kenyataan Perdana Menteri tersebut tidak berasas sama sekali.
PKINK pada sebarang masa tidak pernah menjual tapak berkenaan, bahkan disediakan percuma untuk perkhidmatan teksi di Pasir Puteh. Walaupun sebelum ini, PKINK mengenakan sedikit bayaran ke atas persatuan pemandu teksi Pasir Puteh, tetapi kini, bagi tujuan kebajikan ahli persatuan tersebut, PKINK tidak mengenakan sebarang bayaran.
Apa yang berlaku ialah ada pihak tertentu pernah memohon untuk membeli tapak berkenaan bagi kemudiannya diserahkan kepada pihak lain untuk dimajukan tetapi permohonan tersebut telah ditolak oleh PKINK bagi mengekalkan kedudukan tapak teksi tersebut.
YAB Perdana Menteri atau sesiapa sahaja boleh menunjukkan bukti atas dakwaan mereka. Sudah tentu Perdana Menteri tidak mampu berbuat demikian kerana isu ini adalah modal atas angin semata-mata.
Selaku rakyat Malaysia, saya merasa malu atas salah maklumat yang disampaikan kepada pemimpin terpenting negara ini sehingga YAB Perdana Menteri menyebut sesuatu yang tidak berasas dalam ucapan beliau.
Saya menggesa agar Perdana Menteri menyemak pihak yang telah memberikan maklumat tidak bertapis seperti itu bagi mengelakkan kenyataan yang sama berulang, yang boleh menjejaskan kredibiliti beliau.
Selain itu, ia juga menunjukkan Barisan Nasional tidak mempunyai isu besar yang boleh dibangkitkan sehingga maklumat tidak berasas pun terpaksa dijadikan modal.
Saya yakin, jika Perdana Menteri sanggup menggunakan maklumat atas angin seperti itu, tentulah dalam isu yang lain juga beliau mudah membeli maklumat bakul sampah, termasuk dalam isu himpunan menuntut pilihanraya yang bersih dan adil pada 9 julai ini.
Isu yang lebih besar seperti rampasan wang royalti minyak Kelantan tidak pula disebut. Isu-isu janji pilihanraya Pengkalan Pasir, Manek Urai dan Galas yang belum selesai juga tidak disebutkan.
Saya yakin Kerajaan Negeri bersedia memberikan tapak berkenaan untuk dimajukan dengan kemudahan yang lebih baik jika kerajaan pusat serius untuk memajukannya.
Mengenai kononnya majlis Perdana Menteri di Pasir Puteh dihadiri oleh puluhan ribu rakyat jelata, amat malang kerana lawatan yang penting seperti itu hanya dimeriahkan oleh kerahan paksa pelajar sekolah dan kakitangan kerajaan. Buktinya, semuanya 'dipakaikan' baju merah yang dibekalkan terlebih dahulu. Tidak ada tanda kedatangan sukarela atas pilihan sendiri tetapi datang 'berjemput' siap 'beruniform'.
Lebih menggelikan hati bila bangunan rasmi pejabat kerajaan persekutuan di Wisma Persekutuan telah 'ditawan' oleh Barisan Nasional dengan dipenuhi oleh bendera parti itu.
Ternyata, kedatangan Perdana Menteri telah mencemarkan lagi konsep pemisahan antara parti dan kerajaan dan jika inilah sikap BN yang terus menggunakan premis, harta dan jentera kerajaan untuk kepentingan parti mereka tanpa segan silu, ia perlu terus ditolak oleh rakyat yang cintakan amalan politik yang telus, bersih, amanah dan amalan politik kepartian yang melampau.
Sekian, terima kasih.
Dato’ Haji Husam Musa
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan
Naib Presiden , Parti Islam SeMalaysia (PAS)
1 Sya'aban 1432/2 Julai 2011
nota: sebahagian kenyataan di atas adalah maklumbalas kepada laporan berikut;-
02 Julai, 2011 14:28 PM
PM Janji Beri Pejabat Baru Untuk Persatuan Kereta Sewa Pasir Puteh
PASIR PUTEH, 2 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji akan menyediakan pejabat baru kepada Persatuan Pemandu Teksi Jajahan Pasir Puteh setelah kerajaan PAS Kelantan merampas tapak perhentian teksi di bandar Pasir Puteh itu dan menjualnya kepada sebuah syarikat swasta.
Beliau berkata kerajaan pusat akan mencari lokasi baru yang sesuai untuk dijadikan tapak perhentian teksi di dalam bandar Pasir Puteh.
Beliau juga meluahkan rasa kesal terhadap tindakan kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) yang memutuskan untuk menjual tapak perhentian teksi di Pasar Lama Pasir Puteh setelah lebih 20 tahun perhentian itu beroperasi.
"Insya-Allah kita akan bantu dirikan pejabat baru," katanya ketika berucap selepas melakukan tinjauan mesra di sini termasuk bertemu dengan Persatuan Pemandu Kereta Sewa Jajahan Pasir Puteh hari ini.
Selain pertemuan dengan Persatuan Kereta Pemandu Sewa, Najib yang dalam lawatan sehari ke Kelantan, turut melawat Pasar Lama Pasir Puteh dan bertemu para peniaga kaum Tionghua di pasar itu dengan meluangkan masa selama setengah jam selepas menghadiri taklimat Umno Bahagian Pasir Puteh selama 45 minit.
Seramai 2,000 rakyat mengambil kesempatan bertemu dengan Perdana Menteri dalam tinjauan mesra itu yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin.
Perdana Menteri juga kesal kerana kerajaan negeri tidak menghormati perjanjian yang telah dibuat berhubung pemberian tapak perhentian teksi itu.
Beliau berkata seharusnya bagi sebuah kerajaan yang mengamalkan konsep demokrasi yang sebenar, kerajaan PAS Kelantan harus menghormati pemberian tanah perhentian teksi itu sewaktu pemerintahan Barisan Nasional (BN).
Katanya perhentian teksi itu telah diberikan kepada persatuan berkenaan sewaktu pemerintahan BN di Kelantan oleh Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan, Tan Sri Hussein Ahmad.
Beliau berkata sewaktu pemerintahan BN, pemindahan hak milik tidak sempat dibuat kepada persatuan teksi berkenaan kerana kerajaan PAS Kelantan mengambil alih pentadbiran negeri pada tahun 1990 dan tidak mengiktiraf penyerahan hak milik itu.
Ia menyebabkan tanah itu menjadi hak milik kerajaan negeri dan diserahkan kepada PKINK untuk dijual dengan harga RM150,000. - BERNAMA
UMNO Berani Cetus Keganasan Kerana Anggap Polis Di Pihak Mereka
Pakatan Rakyat akur hanya saluran pilihan raya boleh menyuburkan amalan demokrasi seterusnya memilih parti politik yang layak untuk membentuk sebuah kerajaan di negara ini.
Namun, gagasan itu tetap memilih untuk menyertai himpunan aman BERSIH 2.0, untuk mendesak agar pilihan raya yang diadakan kelak dilakukan secara bersih dan adil kepada semua parti politik yang bertanding.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, jika pilihan raya di Malaysia diadakan secara bersih dan adil, Pakatan Rakyat bukan sahaja mampu mentadbir lima buah negeri, bahkan memerintah negara.
Justeru, beliau menolak kenyataan pemimpin UMNO BN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini bahawa pilihan raya di negara ini bersih yang membolehkan Pakatan Rakyat menguasi Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.
"Sebenarnya kalau pilihan raya adil dan saksama, kita telah memerintah Malaysia, Pilihanraya lepas juga menyaksikan BN selamat 25 kerusinya daripada undi pos, 40 kerusi Parlimen daripada FELDA, sekirannya tanpa kongkongan di tempat ini kita telahpun merampas Putrajaya," katanya.
Beliau berkata demikian pada satu majlis pidato baru-baru ini di Stadium Malawati Shah Alam.
Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu berkata kepincangan pilihanraya ini adalah faktor utama Pakatan Rakyat komited untuk terus bersama menyertai himpunan BERSIH 2.0 pada 9 julai depan.
"Pakatan Rakyat sahaja tidak cukup untuk berjuang terus melalui pilihanraya dan demokrasi, oleh sebab itu kita mahukan pilihanraya yang adil dan bersih, dan itulah juga sebab berlakunya tuntutan BERSIH pada 10 November 2007."
BERSIH 2.0 adalah kesinambungan dari usaha menuntut piliharaya bersih dan adil yang pertama kali diadalah pada November 2007.
Sehingga kini rejim Umno-BN masih tidak mempedulikan 4 tuntutan iaitu penggunaan dakwat kekal untuk mengelakkan pengundian berganda, pemansuhan undi pos, membersihkan daftar pemilih dan peluang akses kepada media oleh semua parti politik yang bertanding.
Manakala dua lagi tuntutan baru ialah mengukuhkan kreadibiliti isnsitusi awam dann melanjutkan tempoh kempen pilihan raya sekurang- kurangnya 21 hari.
Mohamad turut berharap pihak berkuasa dapat menjaga keselamatan rakyat ketika himpunan BERSIH 2.0 dan bukannya bertindak menjadi alat kerajaan pemerintah.
"Kita pergi nak berjalan 'walk for democracy' jadi kenapa muncul persatuan silat nak mandi darah apa semua ni...kenapa pihak sebegini mampu bercakap begitu? Sebab mereka menganggap polis dipihak mereka, sebab apa Umno berani bercakap begitu..sudah pasti mereka menganggap polis dipihak mereka," kata Mat Sabu. -tvsnews
SPR perlu bersih, jadi badan berkecuali’
ALOR SETAR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menyucikan diri terlebih dahulu daripada terus dijadikan alat Barisan Nasional (BN) sekiranya pertubuhan itu mahu perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini dibatalkan.
Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah, Dr Ismail Salleh berkata, dakwaan SPR menuduh Pakatan Rakyat (PR) menggunakan perhimpunan Bersih untuk meraih sokongan rakyat setelah risau dengan kebangkitan BN dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) pasca pilihan raya umum (PRU) ke-12 menunjukkan agensi itu tidak matang dalam menilai perjuangan PR.
Menurutnya, perjuangan PR bukan bersifat politik semata-mata, sebaliknya menuntut keadilan dalam pelaksanaan PRU-13 bagi membolehkan rakyat bebas memilih kepimpinan negara ini.
“Bagaimana SPR boleh tuduh PR ada agenda jahat, sedangkan tuntutan Bersih pada 2007 bukan sahaja tidak diluluskan, malah dibaca pun tidak.
“SPR perlu ‘cermin’ diri sendiri dan mestilah menjadi satu badan berkecuali dalam memastikan amalan demokrasi sebenar dapat dilaksanakan. Jika tidak, negara ini selamanya akan dikuasai kerajaan yang takut bayang-bayang sendiri-Barisan Nasional (BN),” katanya sewaktu menyampaikan ceramah di Markas Pas kawasan Alor Setar malam kelmarin.
Dalam ceramah itu, Ismail memakai baju kuning berlogo Bersih 2.0 secara terbuka sebagai mempersoalkan tindakan polis menahan berpuluh-puluh pemimpin PR dan Bersih atas alasan sama, sedangkan tiada sebarang peruntukan undang-undang menyokong tindakan itu.
Turut hadir Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Ketua Pemuda Pas Kedah, Ahmad Yahya dan Ketua Pemuda Pas kawasan Alor Setar, Azam Awang.
Ismail turut mendedahkan sebanyak empat pemimpin Pas kawasan Alor Setar yang dipanggil polis setakat ini untuk memberi keterangan berhubung penganjuran ceramah Bersih di Alor Mengkudu pada 23 Jun lalu.
“Saya menjangkakan lagi lebih ramai pemimpin Pas yang akan dipanggil menjelang 9 Julai nanti dan kita sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sejak dari awal lagi,” katanya.
Ditanya sama ada Pas bimbang dengan kemungkinan BN menggunakan darurat untuk menghalang perhimpunan Bersih nanti, Ismail menyatakan PR mempunyai kaedah tersendiri untuk menyampaikan suara rakyat, tetapi enggan didedahkan ketika ini.
“Saya boleh cakap PR bersedia menghadapi ancaman darurat BN, tetapi cara bagaimana kita tidak sedia untuk dedahkan lagi.
“Sekiranya arahan darurat benar-benar dikeluarkan, PR berasa amat kesal kerana tindakan itu membuktikan BN, bukan PR yang sebenarnya sanggup buat apa sahaja demi kepentingan politik,” katanya. -SH
Tunjukkan dimana kezaliman kami - Guan Eng
TASEK GELUGOR, 2 Julai: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencabar Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bersekongkol dengan 'demo jalanan' di hadapan Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) semalam supaya tunjukkan dimana kezaliman kerajaan negeri Pulau Pinang.
"Buktikan di mana kezaliman Kerajaan Pakatan Rakyat sejak mengambil alih pemerintahan daripada Barisan Nasional (BN) pada tahun 2008," kata Lim Guan Eng.
Semalam Pemuda Umno telah membuat demonstrasi kononnya membantah Ketua Menteri Pulau Pinang, Guan Eng kerana menyokong Perhimpunan Aman BERSIH 2.0 yang bakal diadakan di ibu negara pada 9 Julai 2011 ini.
Mereka membawa sepanduk dan banner-banner kononnya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai anti Islam, dan menyebabkan perpecahan Islam.
Mereka juga turut memakai pengikat kepala yang bertulis kalimah "Lailahaill Allah". (gambar atas)
Namun di sebalik perhimpunan ini, ada perkara yang harus diketahui oleh semua pihak. Antaranya bagaimana wanita ini turut memakai kain pengikat kepala dengan kalimah "Lailahaill Allah" secara terbalik. Malah dia juga tidak menutup aurat.
Bagi Lim Guan Eng, apa yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat adalah untuk memastikan rakyat mendapat manafaat hasil penjimatan, anti rasuah dan tidak menggunakan pengeluaran untuk kroni.
"Beri contoh di mana kezaliman Kerajaan Pakatan Rakyat pernah lakukan, Adakah bantuan kepada warga emas, ibu tunggal, Orang Kelainan Upaya (OKU), golongan miskin, bantuan kepada anak yang nak ke Univesiti RM500 dan sebaganya merupakan kezaliman. Susahlah jadi macam Umno, Gerakan, MCA atau MIC mereka asyik kutuk tapi tak tahu menilai, " katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis penghargaan RM1,000 kepada 380 waris warga emas yang meninggal dunia peringkat Seberang Perai Utara (SPU) di Dewan Besar Sungai Dua pagi tadi.
Menurutnya, kenapa Umno dan NGO yang terlibat tidak pernah memahami dasar Kerajaan Pakatan Rakyat yang jelas membantu semua kaum tanpa memilih bulu seperti yang BN laksanakan semasa memerintah dulunya.
Sebenarnya Umno dan BN dengki melihat perkembangan terbaru di mana rakyat telah mula sedar apa yang kerajaan korbankan demi rakyat umpamanya menambah peruntukan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) ke tahap yang lebih tinggi.
Begitu juga peruntukan kepada agama lain, kata beliau.
Mereka selalu gunakan alasan Kerajaan Negeri menganiaya peniaga Melayu tetapi sebenarnya bukan.
Kejadian sebenar ialah kerajaan cuba selamatkan mereka daripada mendapat sakit dirempuh kenderaan apabila berniaga di kaki jalan, kotor dan mengganggu jalanraya.
Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mempunyai maklumat siapa yang inaya siapa, kata beliau.
Peniaga Melayu yang terlibat dengan pengrobohan gerai hanya sekitar 15 peratus sahaja itu pun diberikan lokasi ganti yang cantik manakala peniaga bukan Melayu ramai iaitu 85 peratus.
"Kita roboh ada alasan bukan menginaya peniaga sendiri lagipun bukan melayu sahaja diroboh tetapi cina dan India turut terlibat, " tegasnya. -Hrkh
UMNO Guna Polis, FRU, JPJ, MPM Untuk Halang MAT SABU
Sepatutnya malam semalam berlangsung program CERAMAH PERDANA BERSAMA TIMBALAN PRESIDEN PAS - pada 1 JULAI 2011 di Markaz Pas Parit Pechah, Muar.
Ini bukan kali pertama PAS membuat program ceramah sebegini di premis mereka. Telah puluhan kali program seperti ini dibuat di dalam Markaz mereka.
Tetapi yang pastinya semalam mencatat sejarah tersendiri apabila hampir seluruh jentera kerajaan yang 'mengikut arahan' telah turun beramai-ramai untuk menggagalkan program ceramah bersama Timbalan Presiden Pas - MAT SABU.
Sejak dari seawal jam 4.00 petang, JPJ dan Polis telah mengadakan sekatan jalan raya di Muar-Batu Pahat dari kedua-dua arah menuju ke Parit Pechah. Dalam masa yang sama tiga hingga empat trak FRU sudah berkampung di hadapan Balai Polis Parit Jawa.
NAJIB ROSMAH DATANG KELANTAN MASA TUAN RUMAH GI UMRAH
Najib dan isteri yang menaiki pesawat khas tiba di Pangkalan Udara Gong Kedak, Terengganu pada 9.40 pagi dengan disambut oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Awang Adek Hussin, beberapa pemimpin komponen BN dan ketua-ketua jabatan persekutuan.
Lawatan Perdana Menteri kali ini untuk menghadiri beberapa program bersama rakyat membabitkan daerah Pasir Puteh, Machang dan Kota Bharu.
Akibat pendedahan semalam sistem semakan isi rumah SPR ditutup?
Namun pada hari ini saya cuba menggunakan website SPR iaituhttp://daftarj.spr.gov.my/semakdm/ namun ianya tidak berfungsi sedangkan semalam ia berfungsi dengan baik.
Apakah tindakan ini ada kaitan dengan pendedahan semalam? Mohon SPR menjawab dengan jujur....
Pendedahan dari blog Anaksungaiderhaka
Satu Alamat, 88 pengundi.. Apa penjelasan SPR?
No comments:
Post a Comment
Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com