Thursday, August 19, 2010

Guan Eng Kasi Bonos!.. Hidup Pakatan

Pemberian Kewangan Khas Sebanyak RM400 Untuk Semua 3,577 Kakitangan Awam Kerajaan Negeri Pulau Pinang Untuk Meraikan Hari Raya Aidilfitri Dengan Kos Keseluruhan RM1.5 Juta

WEDNESDAY, 18 AUGUST 2010 16:28

Kenyataan Akhbar oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada 18.08.2010.

Pemberian Kewangan Khas Sebanyak RM400 Untuk Semua 3,577 Kakitangan Awam Kerajaan Negeri Pulau Pinang Untuk Meraikan Hari Raya Aidilfitri Dengan Kos Keseluruhan RM1.5 Juta.

Exco kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini meluluskan pemberian kewangan khas sebanyak RM400 untuk semua 3,577 kakitangan awam kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang melibatkan kos RM 1.5 juta. Pembayaran sekali RM400 itu akan dibuat pada 3 September 2010, kira-kira seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Kakitangan Awam Profesional

Semenjak Kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran, usaha yang jitu lagi berterusan dilaksanakan bagi mencorakkan penjawat awam profesional ke arah bertaraf dunia. Pulau Pinang tidak mampu untuk melonjak kepada status Bandaraya Antarabangsa tanpa usaha penjawat awam negeri memacu dengan perkhidmatan ke arah aras antarabangsa.

Dalam masa kurang dari dua tahun, kita telah meraih beberapa pencapaian. Walaupun berdepan dengan diskriminasi dan pengurangan peruntukan dari Kerajaan Persekutuan, perkhidmatan awam negeri Pulau Pinang telah bertambah baik. Ramai yang merasakan bahawa Pulau Pinang semakin bersih dan bersinar hijau.

Pentadbiran bertemakan CAT kerajaan negeri Pulau Pinang yang menekankan Cekap, Akauntable serta Telus telah berjaya memulihkan dan menukarkan jangkaan defisit bajet sebanyak RM35 juta dan RM40 juta pada tahun 2008 dan 2009 kepada lebihan yang paling tinggi dicatat, masing-masing sebanyak RM88 juta dan RM77 juta. Pentadbiran CAT juga menjadi kebanggaan apabila mendapat pujian daripada Transparency International, buat pertama kalinya untuk mana-mana kerajaan di Malaysia.

Pulau Pinang juga telah mewujudkan Anugerah Integriti dengan pemberian kewangan khastunai sebanyak RM10,000 dan ganjaran lain kepada penjawat awam yang mendedahkan amalan rasuah atau salah laku. Penerima pertama ialah Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang, Dato Yusof Musa yang turut dianugerahkan gelaran Dato setelah mendedahkan penyelewengan dengan nilai melebihi RM500,000 dalam pejabat mahkamah Syariah.

Pada masa yang sama, hadiah tunai sebanyak RM500 dan anugerah negeri kepada pekerja bawahan yang bekerja keras membersihkan longkang dan parit di negeri ini tanpa sebarang pengiktirafan selama 51 tahun yang lalu. Pengiktirafan ke atas perkhidmatan mereka buat pertama kalinya itu membuktikan prestasi cemerlang akan meraih ganjaran sama rata tanpa mengira pangkat mahupun kedudukan dalam mana-mana organisasi.

Kejayaan Pulau Pinang dalam mentransformasikan diri ke arah status Bandaraya Antarabangsa bergantung kepada kejayaan dalam membanteras kecenderungan “Napoleon Kecil” dan menyampaikan standard perkhidmatan awam antarabangsa. Jika kita berjaya, maka hanyalah patut untuk penjawat awam negeri turut menikmati gaji berskala antarabangsa.

Namun begitu, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan teragak-agak untuk menegur mana-mana pegawai kerajaan yang menyalah guna kuasa dan berlagak seperti “Napoleon Kecil” seperti tindakan Pegawai Pembangunan Negeri Pulau Pinang, Nik Ali Mat Yunos. Kerajaan negeri Pulau Pinang komited dalam mempromosi dan memberi anugerah kepada para pegawainya yang cemerlang.

Pemberian kewangan khas sekali sebanyak RM400 sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang menghargai perkhidmatan awam negeri Pulau Pinang. Exco negeri Pulau Pinang berharap penjawat awam negeri akan terus berazam untuk bekerja lebih gigih untuk meningkatkan lagi kualiti sistem penyampaian dan memberi perkhidmatan lebih baik.

LIM GUAN ENG

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com