Sunday, August 22, 2010

KONTROVERSI KHUTBAH HANYA REKAAN UMNO

KONTROVERSI KHUTBAH HANYA REKAAN UMNO
11 Ramadhan 1431H.

PAS Pulau Pinang menyifatkan dakwaan bahawa nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin digantikan kepada nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam doa khutbah solat Jumaat di negeri itu hanya satu bentuk kekeliruan jahat yang direka oleh Umno.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Dr Mujahid Yusof Rawa mendak, Umno sengaja menimbulkan isu berkenaan bagi mengelirukan orang ramai khususnya umat Islam demi kepentingan politik parti itu.

"Memandangkan keadaan politik semasa di Pulau Pinang yang agak panas, isu ini sengaja dibuat bagi menimbulkan perasaan marah kepada Guan Eng.
"Kami percaya ini juga adalah taktik kotor yang digunakan oleh Umno untuk menimbulkan kebencian di kalangan orang Melayu terhadap Ketua Menteri itu," katanya dalam satu kenyataa yang disiarkan dalam mStar Online hari ini.
Beliau berkata dimikian ketika mengulas laporan akhbar hari ini yang memetik Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang sebagai berkata bahawa beberapa masjid di negeri itu dikesan menggantikan nama Tuanku Mizan kepada nama Guan Eng dalam doa khutbah kedua solat Jumaat.
Ahmad Zahid juga berkata, pihaknya mengesan perbuatan itu di beberapa masjid di Permatang Pauh, Tasek Gelugor dan Jelutong sejak minggu lalu.
Bagaimanapun Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat mencabar Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang supaya mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan berkenaan.
"Perkara ini bukan perkara main-main, kalau betul ia berlaku... mereka perlu berikan bukti dengan jelas," katanya.

ISU KHUTBAH FITNAH TERBARU UMNO : DSAI
11 Ramadhan 1431H

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan isu khutbah Jumaat merupakan fitnah terbaru "yang dimainkan oleh Umno untuk menyemarakkan api kebencian di negara ini.

"Tuduhan yang dilemparkan kepada kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang bahawa nama Yang di-Pertuan Agong telah digantikan dengan nama ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah terbukti merupakan satu pembohongan semata," katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau yang juga ketua umum PKR berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut.

Bagaimanapun, katanya beliau mendapati tuduhan tersebut tidak berasas.

"Bahkan ianya merupakan satu fitnah demi laba politik pemerintah yang kian hari kian terdesak," katanya sambil menambah pimpinan Umno berterusan menggunakan aksi politik perkauman sempit yang usang.

Katanya, ia juga menunjukkan kegagalan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memahami nurani rakyat Malaysia keseluruhannya yang mahukan sebuah negara yang kekal aman dan sejahtera.

"Kita yakin usaha pimpinan Umno ini tidak akan berhenti di situ sahaja. Mereka pasti menganyam fitnah yang lain pula demi memecahbelahkan muafakat masyarakat di negara ini yang mahu hidup dalam kerukunan dan sejahtera.

"Mereka menyedari rakyat Malaysia mempunyai keyakinan yang teguh untuk terus beriltizam dengan perubahan dan demi Malaysia yang Adil.

"Oleh demikian saya menyeru rakyat Malaysia untuk perteguh keazaman bersama Pakatan Rakyat dan mara mengharungi serangan yang tidak akan kunjung diam dari pimpinan Umno itu.

"Hanya dengan melakukan perubahan, politik perkauman sempit akan berjaya dihalang," tambahnya.

KERAJAAN NEGERI NAFI NAMA LIM GANTI AGONG
10 Ramadhan 1431H.

Kerajaan negeri Pulau Pinang menafikan sekeras-kerasnya bahawa nama Ketua Menteri Lim Guan Eng menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat yang dibaca di beberapa masjid di negeri itu.

Exco Hal-Ehwal Agama negeri, Abdul Malik Abul Kassim berkata siasatan awal mendapati ianya tidak berlaku kerana teks khutbah Jumaat, yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam negeri, tidak menggunakan nama Lim.

Katanya, hanya orang yang tidak waras sahaja yang akan menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat.

Abdul Malik berkata, beliau telah membuat siasatan awal dan mendapati kejadian itu tidak berlaku seperti yang didakwa oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi perhubungan Umno negeri.

Abdul Malik menjelaskan, teks khutbah yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) tidak menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Lim, seperti yang didakwa.

"Dan kalau mereka tidak baca teks sekalipun, saya percaya hanya orang yang tidak waras sahaja yang akan ganti nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah," katanya lagi.

Tambahnya, dakwaan itu juga tidak menyebut dengan jelas masjid yang terbabit, sebaliknya hanya menamakan kawasan Permatang Pauh, Jelutong dan Tasek Gelugor.

Ditanya lanjut, beliau berkata kerajaan negeri tidak akan mengambil tindakan lanjut atas dakwaan itu kerana "tidak timbul isu."

"Isu ini sengaja diada-adakan, sebab sememangnya tiada isu. BN yang sengaja wujudkan isu ini," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Abdul Malik juga berkata, sekiranya Ahmad Zahid mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut, beliau hendaklah membuat laporan supaya dakwaan tersebut dapat disiasat.

"Kalau dia ada maklumat, sepatutnya dia buat laporan kepada kerajaan negeri, atau kepada polis atau kepada pejabat mufti, bukannya pergi beri kenyataan kepada media," katanya lagi.

Sementara itu, bercakap dalam satu sidang media pagi ini, Abdul Malik juga berkata kerajaan negeri serta JAIPP tidak menerima sebarang arahan lisan mahupun bertulis untuk menukar nama tersebut dalam teks khutbah.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa sesetengah jawatankuasa masjid menggunakan isu tersebut untuk mensabotaj kerajaan negeri.

malaysiakini/-



KAIN RENTANG : DSAI MINTA POLIS SIASAT SEGERA, TELITI
9 Ramadhan 1431 H

PETALING JAYA, 18 Ogos: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan isu kain rentang provokatif yang didakwa menggunakan foto Sultan Johor yang ditimbulkan pemimpin Umno adalah bertujuan menimbulkan kemarahan rakyat Johor, terutamanya di kawasan majoriti Melayu di luar bandar.

Beliau pada sidang media selepas kenyataannya dirakam tiga anggota polis pagi tadi berkata, tindakan itu juga seolah-olah mahu mengheret Sultan Johor ke kancah politik.
"Sudah tentu perkara ini tidak menguntungkan PKR ataupun Pakatan Rakyat. Ia sengaja dihantar ke kawasan majoriti orang Melayu, seolah-olah kita memperkenalkan Datuk Chua Jui Meng sebagai Menteri Besar Johor.
"Ini tidak benar. Apa yang diputuskan oleh parti adalah beliau dilantik untuk membina kekuatan bagi PKR dan Pakatan Rakyat di negeri Johor.
"Tidak pernah menjadi amalan kita. Apatah lagi apabila ia melibatkan nama baik Tuanku Sultan Johor. Jadi kita minta pihak polis siasat dengan segera dan teliti," katanya.
Chua yang merupakan Pengerusi PKR Johor pula berkata tindakan pihak yang cuba mengaitkan PKR adalah satu tindakan yang berniat jahat untuk menyebabkan Sultan Johor murka kepada parti.
"Kita tidak sebegitu bodoh untuk katakan, yang saya dicalonkan sebagai Menteri Besar Johor. Ini adalah satu muslihat yang gagal.
"Sebagai seorang peguam yang terlatih dalam bidang undang-undang, saya tahu bahawa orang Cina seperti saya tidak boleh menjadi Menteri Besar. Ini tak masuk akal dan tak logik langsung.
"Matlamat mereka gagal, kerana tidak ramai orang yang percaya dengan apa yang ditulis di atas kain rentang itu. Tiada siapa yang untung daripada perbuatan mereka ini. Jadi kami minta pegawai polis siasat dengan segera kejadian ini, dan tangkap mereka yang terlibat dengan komplot ini," kata Chua.
Pengarah Strategik PKR, Tian Chua pula mendakwa, tindakan provokasi itu hanya untuk mewujudkan ketegangan dan perselisihan kaum.
Melihat cara kain rentang itu ditulis pula, beliau tidak menolak kemungkinan ianya dibuat secara tergesa-gesa sehingga gelaran pada nama Datuk Chua Jui Meng juga salah.
Chua katanya, hanya bergelar Datuk bukan Dato' Seri seperti tertera di kain rentang tersebut.
"Walau siapa pun yang menbuat kaian rentang itu, motifnya sangat jelas iaitu mahu mewujudkan ketegangan kaum.
"Kerja menyiapkan kain rentang seperti tergesa-gesa sehingga gelaran Chu Jui Meng pun salah," katanya.
Turut serta pada sidang media itu, ketua PKR Johor, bendahari PKR William Leong.
Terdahulu tiga anggota polis dari ibu pejabat polis daerah Batu Pahat, Johor hadir ke ibu pejabat PKR di Tropicana bagi menyoal-siasat Anwar berhubung perkara tersebut.
Sebelum ini beberapa kain rentang muncul di Johor memaparkan gambar Anwar, Chua dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dengan tulisan 'PKR Johor menyokong penuh Dato' Seri Chua Jui Meng sebagai Pengerusi PKR Johor dan Calon MB Johor".
Pemimpin Umno termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kemudiannya tampil menempelak tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana mengheret Raja-raja Melayu ke kancah politik.
PKR sebelum ini telah menafikan bertanggungjawab terhadap kain rentang tersebut dan telah membuat laporan polis.
Chua juga sebelum ini mendakwa mendapat maklumat bahawa tindakan provokasi menggunakan kain rentang itu didalangi bekas Menteri Besar Umno Johor.
Harakahdaily/-

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com