HEBAT dan menginsafkan. Itulah dua perkataan yang paling sesuai untuk mencerminkan
keseluruhan pengalaman yang telah penulis dan teman-teman timba daripada program
khidmat sosial yang telah dijalankan di Kemboja pada bulan Jun yang lalu. Kami bersyukur kerana berpeluang ‘hidup’ bersama-sama masyarakat Islam di beberapa
buah kampung yang berbeza dan merasai kehidupan mereka yang dhaif.
Selain penulis, Nusaybah Mohd Asri, 21, misi ini melibatkan enam orang sukarela lain yakni
Najiyyah Mohd Asri, 26, Mohd Naqib Derani, 24, Muhammad Amirul Azreen Mohd Azmi, 21,
Siti Madihah Shaharizan, 21, Najmy Naim Zaki, 20, dan Musfirah Mohd Asri, 19. Kami adalah sukarela yang dinaungi oleh Global Peace Mission Malaysia (GPM), salah sebuah
agensi di bawah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang ditubuhkan khusus demi menjalankan
misi kemanusiaan. Kami diiringi oleh Pakcik Rahim dan Makcik Zaharah, individu yang telah berulang-alik ke Kemboja
selama dua tahun untuk membina pam air di kampung-kampung komuniti Islam. Sumbangan untuk
membina pam air ini dihulurkan oleh dermawan dari Malaysia. Kembara kami mengambil masa selama 10 hari di Kemboja dan dua hari di Thailand. Di Kemboja,
kami telah menziarahi Chor Keng, Kratie, Tralach Korm dan Tebeng Bung Keib. Di Chor Keng, kami bergotong-royong membersihkan kawasan masjid yang terbengkalai. Ruang
di dalam masjid itu digunakan sebagai kelas untuk mengajar anak-anak kecil di kampung itu. Sayu kami melihatkan keadaan kelas yang serba kekurangan di sini. Namun kami berbangga
dengan sikap pelajarnya yang tidak menjadikan itu semua alasan untuk terus menuntut ilmu.
Sesudah bergotong-royong, kami melaksanakan kuiz matematik, bahasa Melayu dan geografi dengan pelajar di madrasah ini. Pelajar yang berjaya menjawab dengan betul mendapat alat tulis yang dibawa dari Malaysia. Ustaz di sini secara rasminya menjadi penterjemah antara kami dengan pelajar. Di Kratie pula, kami telah ke sebuah madrasah bernama Madrasah Al-Hidayah Al-Islamiyah. Di sini, kami menganjurkan kuiz yang lebih bertemakan sirah Rasulullah s.a.w. Pelajar di sini kelihatan gembira dan bersemangat menerima kedatangan kami yang bersungguh-sungguh ‘menghiburkan’ mereka. Di Kratie ini juga, kami sempat mencipta memori dengan bermandi-manda di Sungai Mekong,
sungai ke-10 terpanjang dan ke-10 terbesar di dunia itu. Alhamdulillah, syukur kepada-Nya kerana
memberi kami kesempatan itu. Perjalanan kami bersambung selama dua malam lagi di Tralach Korm. Suatu lagi kenangan peribadi
tercipta apabila kami menyusuri Tasik Ton Le Sap, tasik yang menjadi kebanggaan rakyat Kemboja ini. Tebeng Bung Keib adalah destinasi kami yang berikutnya. Di kampung ini, wujudnya seorang ustaz berhati mulia yang menggunakan ruang rumahnya sendiri untuk mengajar mengaji al-Quran. Anda harus faham bahawa rumah ustaz ini tiada bilik, menyebabkan isterinya terpaksa duduk di bawah rumah sehinggalah sesi pembelajaran tamat. Semoga Allah SWT kurniakan rahmat dan keberkatan kepada pasangan berjiwa besar ini, amin. Kembara kami hampir tamat. Kami bertolak ke Siem Reap untuk melawat Angkor Wat. Namun, kami tidak berkesempatan untuk masuk ke dalam tempat bersejarah itu kerana kesuntukan masa. Genap hari kesepuluh di Kemboja, kami menghala pula ke Poi Pet untuk melintasi sempadan timur Kemboja-Thailand. Setelah memasuki Aranya Prathet, Thailand, kami menginap di sebuah guest house yang terletak tidak jauh daripada stesen kereta api. Awal pagi keesokannya, kami menaiki kereta api menuju ke Bangkok. Perjalanan memakan masa
selama enam jam. Apabila menjejakkan kaki di Bangkok pada jam 12.30 tengah hari, kami bergegas
pula mengejar kereta api ke Hat Yai. Jam 10.00 pagi 24 Jun, kami tiba di Hat Yai. Di sini, kami check-in di King’s Hotel hanya untuk bersihkan
diri dan merehatkan badan. Kami punya masa beberapa jam untuk berjalan-jalan di Hat Yai seterusnya
menaiki pula Kereta api Tanah Melayu (KTM) ke Sentral Kuala Lumpur jam 2.30 petang nanti. Akhirnya, tibalah masanya untuk kami pulang ke tanah air. Kami tidak akan melupakan pengembaraan
yang cukup bermakna ini. Kehidupan yang amat sederhana di Kemboja mengingatkan kami agar
sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan-Nya. Dengan izin-Nya, akan kami bertandang lagi ke madrasah-madrasah untuk mengadakan aktiviti yang
lebih fokus seperti mengajar subjek bahasa Inggeris kepada pelajarnya. Juga, kami berniat meneruskan
projek pam air yang dimulakan oleh Pakcik Rahim dan Makcik Zaharah. Perjuangan kami masih belum selesai. Bukan di sini pengakhirannya. Kami akan lakukan sedaya-upaya
kami untuk menyambung misi kemanusiaan di sana. Semoga niat kami dipermudahkan Allah SWT agar
rancangan kami akan menjadi lancar, amin… |
No comments:
Post a Comment
Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com