| Print | |
Abdul Aziz Mustafa |
KUALA LUMPUR, 21 Sept: Pengumuman sama ada pekerja dari Bangladesh diberi kerakyatan untuk mengundi lebih dinantikan dari apa yang diumumkan dalam perutusan khas Perdana Menteri sempena Hari Malaysia baru-baru ini, kata blogger ahli Umno, Dato' Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz. Bagi beliau, jika dibuat pendedahan sepenuhnya mengenai perkara sedemikian, akan dapat diselesaikan cakap-cakap mengelirukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kononnya senarai pengundi yang kemaskini ada para mereka dan senarai yang boleh dilihat oleh umum tidak kemaskini. Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Manis dalam kawasan Parlimen Pekan itu mempersoalkan, mengapa daftar pengundi yang terkini dan kemaskini tidak boleh dilihat oleh umum? "Saya tak mahu atendan pam minyak Bangladesh mempunyai hak mengundi yang sama dengan saya," tegas beliau ketika mengulas perutusan Datuk Seri Najib Tun Razak itu yang beliau sifatkan "tidaklah luar biasa". Mohd Ariff menyifatkan dakwaan SPR kononnya senarai pengundi yang kemaskini hanya untuk edaran dalaman sebagai terkeluar dari apa jua ukuran kesopanan dan memperbodohkan kita. Walaupun beliau mengakui pengumuman Najib seperti penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) juga penting, tetapi beliau membangkitkan tentang "harapan rakyat untuk mendengar pengistiharan yang membawa perubahan substantif ke dalam kehidupan harian mereka". "Besar mana bahagian rakyat negara ini yang tertakluk dengan pembubaran ISA? Adakah ISA menjadi faktor penting dalam kehidupan harian rakyat yang berdepan dengan harga barangan yang kian meningkat, korupsi yang meluas, urusniaga kerajaan yang di rahsiakan tapi menguntungkan mereka yang terpilih?" kata beliau dalam blognya http://sakmongkol.blogspot.com Mengulas lanjut ucaopan Najib itu, Mohd Ariff berkata, jika kita mahu isitiharkan sesuatu yang berani dan menggegarkan dalam media umum seperti siaran TV, rakyat sebenarnya mengharapkan perkara yang melibatkan kehidupan seharian mereka. Beliau memberikan beberapa contoh perkara yang dinanti-nantikan oleh rakyat. "Orang Melayu misalnya mahu melihat apakah program konkrit untuk merealisasikan agenda ekonomi Bumiputera. "Jika kita telah pun mengistiharkan bahawa wadah mencapai agenda tersebut ialah Model Ekonomi Baru- atau market driven affirmative action, apa jadah nya komponen MEB tersebut? Adakah penjualan asset stratejik negara merupakan cara terpenting meliberalisasikan ekonomi Malaysia? Pertukaran saham MAS dengan saham Air Asia mendekatkan lagi pencapaian agenda ekonomi Bumi?," beliau mempersoalkan. Mohd Ariff mengingatkan, jika diletakkan pemimpin yang tidak berjiwa Melayu dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bangga pula dengan pemujaan mereka kepada factor ‘merits’, sampai bila pun agenda ekonomi Bumiputera tidak akan tercapai. "Sebab itu, saya mengharapkan ucapan PM akan melibatkan antara lain pengistiharan kita bubarkan Khazanah Berhad dan saham yang mereka pegang dan portfolio pelaburan yang ada dalam tangan mereka dipindahkan kepada institusi Amanah Pelaburan Bumiputera. "Juga saya ingat saya akan dengar bahawa urusan jual beli dan pemindahan saham oleh PNB sebagai pengurus pelbagai Amanah Pelaburan Bumi akan di perketatkan dan urusniaga mereka akan lebih telus dan terang. "Saya ingatkan PM akan beri amaran kepada institusi ini bahawa mereka memegang asset pencipta pulangan bagi pihak rakyat dan bukan bagi pihak beberapa syarikat milik bumi yang kaya raya dan terkenal," katanya. Sebagai contoh, kata Mohd Ariff, ada rakyat kita sedar yang Sapura sebagai contoh sedang membuat bidaan untuk membeli saham UMW yang di miliki oleh PNB? "Saham inilah yang memberi pulangan yang baik kepada PNB yang kemudian nya membolehkan PNB membayar pulangan yang baik kepada pemegang saham PNB. Sapura yang sudah kaya dan akan bergabung dengan Kencana (yang ber’front’kan anak Dr Mahathir sedangkan pemilik sebenar nya ialah tauke Singapura) tidak perlu jadi tamak dan mahu mengaut segala sumber pulangan yang baik. "Apa akan tinggal untuk golongan bumiputera yang lain? Jika kerajaan membenarkan pembelian oleh Sapura bererti benarlah fahaman saya mengenai istilah Bumiputera itu; Bumi di belakang, putera( bangsawan, yang terkenal, yang bertalian) berada di barisan depan, ambil dulu segala nya," beliau mempersoalkan. |
No comments:
Post a Comment
Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com