Wednesday, September 14, 2011

Pemancar haram diroboh


Wilayah

Sentral: Pemancar haram diroboh
Oleh Syed Mohd Ridzuwan Syed Ismail
smohd@bharian.com.my
2010/06/10

Penduduk bantah binaan dikatakan punca penurunan kadar kesihatan 

PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) merobohkan 20 tiang sistem pemancar empat syarikat telekomunikasi berharga jutaan ringgit yang dipasang di sebuah bangunan di Jalan SS3/41 di sini, semalam selepas mendapat bantahan penduduk kerana didakwa menjadi punca penurunan kadar kesihatan termasuk penyakit kanser di kawasan itu.
Pegawai Perhubungan Awam MBPJ, Zainon Zakaria, berkata notis merobohkan pemancar itu kepada pemilik struktur dan bangunan dikeluarkan 17 Mac lalu, manakala rayuan penangguhan pada 31 Mac lalu.
Beliau berkata, tindakan lebih mudah diambil apabila siasatan pihaknya sebelum ini mendapati sistem pemancar bersama peralatan telekomunikasi dan kabin milik sebuah syarikat di bangunan itu, dibina secara haram, manakala tiga syarikat lagi permitnya ditamatkan sejak dua tahun lalu. 

“Sepatutnya pagi ini (semalam) MBPJ mengambil tindakan merobohkan pemancar selepas rayuan menangguhkan tempoh notis roboh ditolak Unit Permit Sementara. 

“Bagaimanapun, sebahagian syarikat telekomunikasi terbabit mengambil tindakan menurunkan sendiri peralatan mereka sejak jam 7 pagi kerana bimbang peralatan itu mengalami kerosakan. 

“Tindakan diambil mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) Seksyen 70 (1) iaitu mendirikan sesuatu binaan tanpa mendapat kebenaran,” katanya kepada pemberita di sini, semalam. 
Difahamkan, tindakan merobohkan sistem pemancar itu dijangka memberi kesan kepada liputan sistem komunikasi dan internet di kawasan berkenaan. 

Sementara itu, penduduk kawasan itu, Abdul Maulud Ibrahim, 53, berkata penduduk berterima kasih kepada MBPJ kerana mengambil tindakan merobohkan struktur itu kerana difahamkan peralatan komunikasi berkenaan memberikan kesan radiasi hingga boleh menyebabkan penyakit termasuk kanser. 

“Penduduk di sini lebih mementingkan tahap kesihatan berbanding kepentingan lain kerana beberapa penduduk sekitar sini menghidap penyakit kanser yang dipercayai kesan daripada radiasi pemancar itu. 

“Seorang profesor sebuah institusi pengajian tinggi juga membuat kajian dan menyatakan peralatan telekomunikasi yang diletakkan di kawasan perumahan boleh mendatangkan kesan kesihatan kepada penduduk,” katanya. 

Seorang lagi penduduk, Mohd Ramli Nordin, 71, berkata penduduk kawasan itu sudah lama membantah pembinaan sistem pemancar itu dan semalam baru mereka melihat impian ia diturunkan dilaksanakan. 

“Pada awalnya hanya ada satu saja pemancar yang didirikan di atas bangunan ini dan kemudian bertambah hingga menjadi 20. 

“Ramai penduduk sekitar yang mengambil keputusan untuk berpindah selepas mengetahui kawasan itu mempunyai pemancar yang banyak, selain mengetahui kesan sistem pemancar itu terhadap kesihatan,” katanya. 

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com