Friday, September 2, 2011

MerdekaReview - Shamsiah Fakeh

Shamsiah Fakeh

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sebenarnya aku bukanlah pemimpin wanita Parti Komunis Malaya atau seorang tokoh wanita yang terkemuka. Aku hanya seorang pejuang wanita yang berjuang melawan British untuk kemerdekaan tanahair dan untuk emansipasi (kebebasan) wanita. - Shamsiah Fakeh
Shamsiah Fakeh (1924-2008) juga dikenali sebagai "Ratu Rimba Malaya" ialah tokoh feminis, nasionalis, pejuang dan reformis berhaluan kiri Tanah Melayu sebelum merdeka.

Isi kandungan

[sorokkan]

[sunting] Kehidupan awal

Shamsiah dilahirkan pada tahun 1924 di Kampung Gemuruh kira-kira satu batu dari pekan Kuala Pilah. Shamsiah merupakan puteri kepada Sutan bin Sulaiman dan Saamah bte Nonggok. Beliau menerima pendidikan di Sekolah Tinggi Islam, Pelangai, Negeri Sembilan dan kemudian ke Madrasah Tuddimiah in Padang Panjang, Sumatera. Shamsiah pernah berguru dengan Lebai Maadah di Pelangai. Antara rakannya ialah Ustaz Abdul Jalil Salim, Haji Abd Aziz dan Hambiah.
Pada umurnya 17 tahun, Shamsiah berkahwin dengan Yasin Kina tetapi ditinggalkan suami ketika mengandung anak yang kedua. Kedua-dua anaknya meninggal dunia dalam usia yang muda. Beliau telah berkahwin sebanyak lima kali dan perkahwinannya dengan Ibrahim Mohamad adalah yang terakhir. Antara suami Shamsiah adalah Ahmad Boestamam yang merupakan pemimpin bagi Angkatan Pemuda Insaf. Ahmad tidak pernah menceritakan perkahwinan ini dalam mana-mana karya beliau. Perkahwinannya dengan Ahmad terganggu dengan penahanan Ahmad ditahan oleh kerajaan penjajah British pada April 1947 berikutan karyanya Testament Politik A.P.I. yang diharamkan oleh pihak penjajah. Mahkamah mendapati Ahmad Boestamam bersalah dan kemudiannya didenda 1,200 ringgit ataupun 9 bulan penjara. Ahmad membayar denda tersebut dan kemudiannya telah dibebaskan.
Shamsiah dikatakan kecewa dengan tindakan Ahmad yang bagi Shamsiah, seorang nasionalis rela meringkuk di dalam penjara. Tindakan Boestamam membayar denda dan tidak rela dipenjara dipercayai puncanya mereka bercerai.

[sunting] Perjuangan nasionalisme

Shamsiah merupakan ketua Angkatan Wanita Sedar (AWAS), sebuah parti politik sayap kiri yang ditubuhkan di Tanah Melayu pada Februari 1946. Tujuan parti ini adalah untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dari tangan penjajah British. Gandingannya dengan Ahmad Boestamam, Ketua Angkatan Pemuda Insaf (API) telah membakar semangat sebilangan pemuda-pemudi Tanah Melayu mengangkat senjata menentang penjajah. Oleh itu, AWAS kemudian diharamkan oleh kerajaan British pada tahun 1948.
Shamsiah menyertai Rejimen Ke-10 yang merupakan sayap Melayu dalam Parti Komunis Malaya (PKM). Tekanan pihak penjajah yang berterusan memaksa Shamsiah membuat keputusan menurut jejak langkah rakan-rakan seperjuangannya untuk lari ke hutan di Lubok Kawah di Temerloh, Pahang, dan meneruskan perjuangan bersenjata dari sana. Sebagaimana yang diungkapkan oleh beliau sendiri:
Situasi ketika itu sudah mulai tegang. Kami telah diperintahkan masuk hutan di kawasan Lubuk Kawah. Aku pun masuk hutan dan bermulalah era aku berjuang mengangkat senjata. Semangat cintakan tanahair dan Kemerdekaan serta kesetiaan kepada perjuangan telah mebuat aku teguh dan sanggup masuk hutan. Yang penting ialah mencapai Kemerdekaan. Pada fikiranku setelah Merdeka maka segala-galanya akan dapat diselesaikan.
Kehidupannya penuh ranjau berduri dan perjuangannya tidak mengira tempat, sama ada di hutan mahupun di pentas antarabangsa. Beliau bersama suaminya, Ibrahim Mohammad, bertugas di China, Indonesia dan Vietnam dalam rangka meniup semangat nasionalisme kepada penduduk Asia Tenggara yang masih di bawah penjajahan.
Pada tahun 1956 Shamsiah dan Ibrahim dihantar PKM ke China untuk belajar. Shamsiah terus berada di China menyambung hidupnya dengan bekerja di kilang besi. Beliau memegang berbagai peranan termasuklah bertugas bagi siaran Melayu Radio Beijing antarabangsa. Pada tahun 1965, Shamsiah dan Ibrahim ditugaskan ke Indonesia yang ketika itu mengamalkan NASAKOM iaitu Nasionalisma, Sosialisma dan Komunisma sebagai ideologi kebangsaan di bawah Soekarno. Kehadiran Shamsiah adalah untuk kemudiannya menubuhkan pejabat perwakilan Liga Pembebasan Nasional Malaya di Indonesia.
Mereka bebas beroperasi sehinggalah tercetusnya ketegangan di Jakarta apabila berlaku rampasan kuasa tentera dan Suharto mengambil-alih kuasa pemerintahan. Beliau dan rakan-rakannya ditangkap oleh penguasa Indonesia pada tahun 1965 sehinggalah dibebaskan pada tahun 1967 dengan bantuan kedutaan Vietnam. Dan dari sana beliau diterbangkan ke Vietnam dan kemudian kembali ke China. [1]

[sunting] Membunuh anak sendiri

Beliau dikatakan pernah membunuh anak kecilnya di dalam hutan kerana melambatkan pergerakannya di dalam hutan. Tetapi itu semua dinafikan dan menjadi propaganda tentera British untuk melemahkan perjuangan PKM. Shamsiah menyatakan bayi baru lahir itu dibunuh oleh anggota PKM sendiri tanpa pengetahuan Shamsiah kerana bimbangkan kehadirannya akan menyusahkan pergerakan mereka.
Bekas Pengerusi PKM Musa Ahmad semasa wawancara di RTM pada tahun 1981 menyatakan bahawa Shamsiah telah mencampakkan sendiri anaknya ke sungai untuk mati. Dan dalam Utusan Malaysia pada tahun 1987 seorang yang mengaku sebagai bekas teman sekolahnya telah menyatakan bahawa Shamsiah telah menghempaskan anaknya ke batu setelah mengetahui suaminya menyerah diri kepada polis. Shamsiah menafikan kedua-dua cerita tersebut.

[sunting] Kembali ke Malaysia

Beliau sekeluarga akhirnya kembali ke Malaysia pada 23 Julai 1994, selepas termeterainya Perjanjian Damai antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand yang ditandatangani di Haadyai, Thailand pada tahun 1989.
Perjanjian itu bukan bermakna pihak kerajaan telah menang di medan perang. Ianya lebih merupakan kejayaan kedua-dua pihak di meja perundingan yang sebelum ini tidak pernah diiktiraf oleh kerajaan sejak perjumpaan di Baling pada tahun 1955 gagal.

[sunting] Meninggal dunia

Shamsiah Fakeh menghembuskan nafas terakhir pada 20 Oktober 2008, jam 9 pagi di kediaman anak lelakinya, Jamaluddin Ibrahim, di Kodominium de Tropicana, Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur. Jenazah beliau, 84, yang mengalami sakit tua telah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sungai Besi, Kuala Lumpur pada jam 5.30 petang dengan diiringi oleh lebih seratus sanak-saudara dan teman-teman dekat allahyarham pelbagai kaum termasuk timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali dan penulis kolum Hishamuddin Rais.[2]

[sunting] Nota kaki

[sunting] Bacaan tambahan

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com