Tuesday, November 30, 2010

 Habislah orang Kampung Baru kena pindah

Nazri Abdullah   
KUALA LUMPUR, 30 Nov: Pindaan terbaru Draf Rancangan Pembangunan Kuala Lumpur 2020 yang menyaksikan Kampung Baru ditandakan sebagai kawasan komersial sepenuhnya, perlu dipersoal, kata Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, pindaan tersebut juga memberi maksud bahawa penduduk Kampung Baru tidak boleh lagi menetap di Kampung Baru dan perlu berpindah.
"Habislah orang Kampung Baru. Pindaan terkini Deraf KL 2020 menandakan Kampung Baru sebagai kawasan komersial seratus peratus.
"Bermakna tiada Residential Area. Orang Kampung Baru tak boleh tinggal dah di Kampung Baru, semua kena pindah terus," katanya yang juga AJK PAS Pusat.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pindaan terbaru Draf Rancangan Pembangunan Kuala Lumpur 2020.
Menurut pindaan itu, semua kawasan seluas 250 ekar tanah di Kampung Baru akan dimasukkan sebagai satu daripada tiga Pusat Komersial Bandaraya (CCC).
CCC, seperti ditakrif dalam draf itu tidak perlu mempunyai unit kediaman dan boleh mempunyai 100 peratus kawasan komersial.
Dua lagi CCC itu adalah kawasan sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan kawasan sekitar KL Sentral di Brickfields.
Perkembangan terbaru itu menimbulkan persoalan sama ada rumah-rumah kediaman di Kampung Baru, termasuk rumah tradisional Melayu terpaksa dirobohkan untuk pembinaan bagunan komersial.
Menurut Lo' Lo' lagi, lebih menghairankan, kenapa kawasan Penjara Pudu boleh dibina kawasan penempatan, sedangkan ianya juga terletak di kawsan bandar Kuala Lumpur, malah  bukan kawasan penempatan pun sebelum ini.
"Hairannya Penjara Pudu akan dibangunkan dengan 30 peratus residential," katanya lagi.
Kira-kira 39,000 penduduk menetap di Kampung Baru dan nasib mereka kini menjadi tanda tanya.

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com