Tuesday, November 30, 2010

 MPSP rugi, defisit teruk masa BN

Harakahdaily   
SEBERANG PRAI, 30 Nov: Sebelum Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran Negeri Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) telah mengalami kerugian dan defisit yang teruk iaitu sebanyak RM230 juta dalam tempoh lapan tahun dari tahun 2000 hingga 2007.
“Sehingga kini kerajaan terdahulu masih gagal untuk menjelaskan perkara tersebut. Hanya apabila kerajaan negeri PR memerintah barulah defisit ditukar menjadi lebihan buat kali pertamanya pada 2008,” kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng pada Majlis Angkat Sumpah Pemangku Yang Dipertua MPSP di Dewan Kenangan, di sini, pagi ini.
Katanya, bagi menyelesaikan masalah yang ditinggalkan oleh BN, Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat telah memberikan pinjaman kewangan sebanyak RM10 juta kepada MPSP sebagai langkah mengurangkan tunggakkan pinjaman dari luar dan membolehkan MPSP bangkit semula melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.
Tambahnya, perkembangan kewangan positif MPSP berterusan iaitu sehingga 30 September tahun ini di mana kutipan hasil berjumlah RM141.9 juta yang terdiri daripada hasil cukai berjumlah RM113.56 juta termasuk RM11.86 juta hasil tahun ini yang dikutip pada akhir tahun 2009, hasil bukan cukai RM23.3 juta dan terimaan bukan hasil berjumlah RM5.09 juta.
Secara perbandingan, katanya hasil majlis meningkat sebanyak RM6.3 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu sebanyak RM135.59 juta.
“Prestasi kewangan baik adalah disebabkan prinsip CAT, tender terbuka dan konsep perbelanjaan berhemah membolehkan lebihan pendapatan dicapai dan adalah diharapkan MPSP dapat mengekalkan prestasi kewangannya seperti tahun lalu,” ujarnya.
Dari segi aliran keluar dana, jelasnya sehingga 30 September tahun ini, perbelanjaan yang telah dibuat oleh majlis adalah berjumlah RM88.72 juta.
“Perbelanjaan ini terdiri daripada bayaran emolumen sebanyak RM34.86 juta, belanja mengurus RM53.84 juta dan belanja pembangunan sebanyak RM0.02 juta,” katanya.
Menurutnya lagi, secara perbandingan perbelanjaan majlis menurun sebanyak RM4.49 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu di mana pada tempoh yang sama tahun lalu perbelanjaan majlis adalah sebanyak RM93.22 juta.
Tambahnya, berdasarkan pendapatan dan perbelanjaan sehingga suku ketiga tahun ini, majlis masih mempunyai lebihan pendapatan atau ”surplus” sebanyak RM53.17 juta.
Walau bagaimanapun, katanya tanggungan perbelanjaan majlis yang perlu dijelaskan dalam tahun ini adalah berjumlah RM37.83 juta termasuk tanggungan emolumen sebanyak RM14.53 juta).
“Setelah diambilkira keseluruhan perbelanjaan dan tanggungan, majlis masih mempunyai lebihan pendapatan sebanyak RM15.34 juta,” katanya.
Pada majlis itu, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Farizan Darus dilantik memangku jawatan Yang Dipertua MPSP kerana YDP sekarang, Moktar Jait kini mengikuti Kursus Kepimpinan Dan Pengurusan Utama (ALMP) Siri 31 Bil.5 Tahun 2010 selama lebih kurang sebulan.

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com