Thursday, May 12, 2011

Himpunan PAS Ganti Umno di Perak pula

Johari Jaafar

IPOH, 12 Mei: Gelombang kebangkitan rakyat untuk memastikan PAS menggantikan Umno selaku kuasa politik utama orang Melayu di negara ini bagaikan rancak dan ketara, kerana itu PAS Perak akan membawa program besar-besaran yang dinamakan sebagai Himpunan Kebangkitan Rakyat 'PAS Ganti Umno' di negeri Perak.

Program besar-besaran itu akan diadakan selama dua hari pada 14 dan 15 Mei ini bagi zon utara Perak di Padang Rengas, manakala bagi Zon Selatan Perak pula diadakan pada 28 dan 29 Mei ini di Pasir Salak.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha PAS Perak, Misbahul Munir Masduki ketika ditemui di Pejabat PAS Negeri hari ini.

PAS Perak, katanya akan menggerakkan Himpunan Kebangkitan Rakyat PAS ganti Umno ini dengan bersungguh dan penuh komitmen agar program yang dirancang ini dapat berlangsung dengan jayanya.

Program besar-besaran PAS Ganti Umno ini adalah antara usaha PAS Perak untuk kembali memerintah negeri Perak sejak ia dirampas oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam kes rampasan kuasa secara zalim oleh Umno BN ketika Pakatan Rakyat memerintah Perak selepas PRU 12 selama 11 bulan.

"PAS Perak akan terus berusaha dan merancang serta melaksanakan pelbagai program untuk menawan hati rakyat," ujarnya.

‘Kita bertekad untuk mengambil semula pemerintahan negeri Perak, jadi beberapa perancangan dan program yang telah dan sedang rancak dijalankan untuk menghadapi pilihanraya Umum 13 yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang," katanya.

Oleh itu PAS Perak akan melakukan usaha menggerak dan menawan hati rakyat, dalam masa yang sama mendokong penuh program yang disarankan diperingkat PAS Pusat iaitu program "PAS Ganti Umno", malah PAS Perak akan jayakannya di peringkat negeri.

Menurut beliau, kejayaan Himpunan PAS Ganti Umno di Pantai Timur tanah air menyebabkan pemimpin Umno akur melihat kekuatan rakyat yang begitu ramai berhimpun untuk menyatakan aspirasi mereka menyokong perjuangan PAS.

"Ijtimak PAS Ganti Umno adalah manifestasi perjuangan yang sekian lama dilaungkan oleh PAS dalam usaha menggantikan Umno dalam penguasaan politik negara, ia juga merupakan matlamat utama parti mewujudkan sebuah pemerintahan yang adil mengikut lunas-lunas Islam," tegasnya.

Rakyat pasti akan lebih terbela masa depannya, manakala negara akan lebih stabil dalam semua aspek pembangunan sekiranya PAS berpeluang menggantikan Umno yang sudah lama pincang dengan amalan rasuah, kronisme, salah guna kuasa, menzalimi hak rakyat, budaya fitnah dan bermacam bentuk penyelewengan lagi, katanya.

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com