Thursday, May 12, 2011

Presiden NUJ di pentas PAS esok


NONEPresiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari akan tampil di pentas PAS esok bagi menyatakan pandangannya terhadap Utusan Malaysia -- akhbar yang memecatnya sebelum ini.

Menurut penganjur, mereka menjemput Hata dalam ceramah di Markaz Tarbiah PAS Taman Melewar di Gombak malam esok berdasarkan penglibatan langsungnya dalam Utusan sehingga dipecat baru-baru ini.

"Beliau dijangka mendedahkan perkara penting berhubung peranan Utusan yang di belakangnya Umno-BN ekoran survival mereka kini terancam kerana kehilangan sokongan.

"Mereka peralatkan Utusan untuk menstabilkan semula pengaruh mereka dengan melaporkan berita palsu, sarat propaganda dan bersifat perkauman," kata editor Harakah Tarmizi Mohd Jam bagi pihak penganjur bersama - PAS Kawasan Batu dan Kumpulan Aktivis Media Indipeden (KAMI).

Beliau merujuk kepada laporan Utusan pada 6 Mei lalu yang melaporkan terdapat usaha untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi dan memastikan perdana menteri daripada golongan penganut agama itu.

Tarmizi - aktivis PAS dan setiausaha KAMI - juga berkata, ceramah bertajuk "Membongkar KonspirasiUtusan huru-harakan negara" yang bermula pada jam 9.30 malam, akan turut melibatkan Peguam PAS Hanipa Maidin dan ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.

Hanipa mengulas dari aspek undang-undang manakala Zuraida yang juga ketua Wanita PKR akan mengulas berdasarkan situasi politik semasa, jelas Tarmizi.

Tarmizi berkata, program itu merupakan yang kedua selepas acara membakar Utusan kerana tidak puas hati dengan laporannya bulan lalu.

Hata walaupun lantang mengkritik Utusan, sekaligus meraih simpati ramai pemimpin pembangkang ekoran pemecatannya, belum pernah naik ke pentas mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat sebelum ini. -M'kini

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com