Sunday, May 1, 2011

Eskay Perlu Dijatuhkan Hukuman Qazaf, Disebat 80 Kali Kerana Tiada 4 Saksi



Perbezaan antara mubahalah dan sumpah biasa

Lafaz sumpah laknat oleh Eskay tidak menepati hukum syarak - Dr Asri

PETALING JAYA: Sumpah ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah bagi membuktikan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam klip video seks bukanlah sumpah laknat (mubahalah) kerana ia tidak menepati hukum syarak.

Menurut mantan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin, mubahalah membawa pengertian berikut:

“Dua pihak berkumpul bersama ahli keluarga kemudian kedua-dua pihak memohon agar Allah swt melaknat sesiapa yang berdusta antara keduanya pada perkara yang mereka berselisih dalam hal agama.”

Peristiwa mubahalah disebut dalam Al Quran, ayat 61 Surah Ali Imran, yang bermaksud, “Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka:

“Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu.

“Kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta.”

Seorang pakar akidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah dan Ilmu Hadis, Abu Syafiq Al-Asy’ary yang menulis di dalam blognya, berkata bahawa sumpah dan mubahalah mempunyai pengertian berbeza.

Kebenaran dalam agama

Pengertian mubahalah adalah seperti yang disebutkan di atas dan dilakukan pada perselisihan tegar antara pandangan kedua-belah pihak pada perkara berkaitan kebenaran dalam agama.

Dalam Surah Al Imran ayat 59 hingga 61, Allah swt berfirman bermaksud:

“Sesungguhnya bandingan (kejadian) Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka jadilah ia.

“Kebenaran itu datang daripada Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau menjadi di kalangan mereka yang ragu-ragu.

“Kemudian sesiapa yang membantahmu (Wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka:

“Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, isteri-isteri kami serta isteri-isteri kamu, dan diri kami serta diri kamu.

Kemudian kita memohon kepada Allah serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta.”


Sumpah disebut sebagai halaf caranya seperti dimulakan kenyataan seseorang itu dengan dia menyebut perkataan Wallahi atau Billahi atau Tallahi (bersumpah dengan nama Allah) dengan maksud apa yang dinyatakan adalah benar (tanpa ada melaknat pihak yang lain).

Surah An-Nur ayat 4, sepertimana yang tertera di dalam laman sesawang Jabatan Perdana Menteri menyatakan seperti berikut:

Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.

Dalam tafsir Ar Rahman, cetakan 1980, menafsirkan ayat yang sama seperti berikut:

“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi maka sebatlah mereka delapan puluh sebat dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.

Berdasarkan perlakuan Shazryl yang melafazkan sumpah laknat tanpa membawa empat orang saksi di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul Jumaat lalu maka beliau boleh dijatuhkan hukuman ‘Qazaf’ iaitu dengan 80 kali sebatan. Sumpah laknat yang dilafazkan oleh Shazyrl bukanlah sumpah mubahalah dan tidak menepati hukum syarak, sebaliknya bersumpah biasa sahaja bagi membuktikan dirinya benar.

Jumaat lalu, di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, Eskay melafazkan sumpah laknat bagi membuktikan bahawa Anwar adalah pelaku dalam klip video seks yang ditayangkan kepada pihak media di Carcosa 21 Februari lalu. -FMT


Sumpah Eskay tidak ikut hukum syarak

PETALING JAYA: KEADILAN menegaskan kaedah yang disarankan oleh salah seorang Trio Datuk T, Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang mahu melakukan sumpah laknat, tidak menepati hukum syarak, kata ketua Penerangannya, Dr Muhamad Nur Manuty.

Menurutnya, tidak ada keperluan untuk Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut sama mengangkat sumpah tersebut, kerana ia perlu terlebih dahulu mengikut hukum yang digariskan dalam Al Quran.

“Sheikh Yusuf al-Qardhawi, seorang ilmuan ternama dunia yang berautoriti dalam bidang syari’ah menjelaskan bahawa orang yang menuduh wajib mengemukakan bukti (4 orang saksi yang adil).

“Ini adalah ketetapan Allah yang tidak boleh dikompromikan dan orang yang tertuduh tidak dituntut untuk bersumpah kerana pada dasarnya setiap manusia itu bersih daripada sebarang tuduhan.

“Jika semua kes jenayah mahu diselesaikan dengan amalan bersumpah, maka tidaklah perlu diwujudkan mahkamah, hakim ataupun polis. Semua pelaku jenayah boleh sewenang-wenangnya melepaskan diri mereka dengan hanya melakukan sumpah,” ujarnya.

Menurutnya lagi, sekiranya sumpah digunakan sewenangnya, ia akan memberi akibat kepada sistem kehidupan, malah negara akan turut menjadi porak peranda.

Namun begitu, katanya, itu lah yang dilakukan oleh mereka yang tergolong dari kalangan orang-orang munafik, berdasarkan gambaran Al Quran dalam surah Al-Munafiqun ayat 2 yang bermaksud.

“Mereka (orang-orang munafik) menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.

Katanya, sifat orang-orang munafiq sememangnya pandai berpura-pura, berlakon dan bijak berkata-kata. Namun begitu, mereka sentiasa dihimpit rasa cemas dan gelabah serta bersifat angkuh dan sombong seperti dinyatakan Allah di dalam ayatnya”(Al-Munafiqun:3-5) yang bermaksud:

“Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati oleh tubuh badan mereka (dan kelakuannya) dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan petah sekalipun kosong). (Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (batang buruk hampas dan kosong).

“Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya dari kebenaran)?

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta ampun (kepada Allah) untuk kamu, mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan kepalanya dan engkau melihat mereka berpaling (dari bertaubat) serta mereka berlaku sombong angkuh.


Menurut Dr Muhammad Nur, isu yang ditimbulkan oleh Trio Datuk T adalah sebahagian daripada gerakan fitnah yang dilakukan oleh musuh-musuh politik Anwar Ibrahim sejak 12 tahun yang lalu.

“Gerakan fitnah yang semakin menggila sekarang ini adalah manifestasi dari mentaliti tertekan dan kecemasan melampau lantaran sokongan rakyat yang semakin meningkat kepada DSAI dan Pakatan Rakyat sekarang ini.- Keadilandaily


1) JELAS, sumpah laknat itu tertolak kerana tidak mengikut peraturan syarak. Yang utama Eskay yang menuduh perlu membawa 4 orang saksi yang tsiqah.

2) Jika gagal bawa saksi, maka beliau perlu disebat 80 kali sebatan.

3) Beliau bersumpah atau pun tidak itu di antara dia dengan Allah.

4) Tugas umat Islam di alam syahadah ialah laksana perintah hukum syariat iaitu Qazaf. Jika tidak seluruh umat Islam berdosa dan mengundang bencana Allah. -GB

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com