Wednesday, May 11, 2011

Ladang Rakyat cadang saman dituduh rampas tanah


M Faqih

KOTA BHARU, 11 Mei: Tanpa usul periksa setiap kali timbul masalah berkaitan pembangunan tanah di kawasan hulu, media segera menuding jari ke arah Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat.

Mengapa ia berlaku begitu. Apa yang dilaporkan sekarang seolah-olah media meletak setiap kesalahan di bahu kerajaan negeri kononnya merampas tanah rakyat.

Lalu media mempersendakan tindakan tersebut dianggap mereka bertentangan dengan konsep negeri berkebajikan yang diuar-uarkan di Kelantan sebelum ini.

Maka mengambil kira tomahan tidak berasas terbabit Ladang Rakyat tidak teragak-agak mengambil tindakan saman kepada pihak yang sengaja menjaja cerita tidak berasas.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi (gambar) berkata, pihaknya bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang sering melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap agensi berkenaan.

“Seperti disengajakan kebelakangan ini apabila timbul masalah pengambilan tanah, ada pihak terus menuding jari terhadap Ladang Rakyat.

“Banyak laporan media massa sekarang mendakwa Ladang Rakyat merampas tanah rakyat. Sedangkan ada kawasan yang didakwa langsung tidak ada projek Ladang Rakyat.

”Oleh itu kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman terhadap pihak yang sering melemparkan dakwaan tidak berasas,” katanya di sini.

Pada Mac lalu akhbar melaporkan 100 penduduk Kampung Serian, Gua Musang bimbang kebun mereka dirampas syarikat yang membangunkan projek tanaman kelapa sawit milik Ladang Rakyat.

Sedangkan setiap program pembangunan tanah yang mahu dilaksanakan Ladang Rakyat terlebih dahulu diadakan perbincangan dengan penduduk dan pejabat Tanah dan Jajahan.

Malah kawasan yang dituntut penduduk dikeluarkan daripada lokasi bakal dibangunkan Ladang Rakyat.

Misalnya kes di Kampung Serian dua tahun Ladang Rakyat berunding dengan peneroka dan hampir 2,000 ekar direzabkan kepada penduduk.

Sejak diwujudkan pada 2006 Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat berjaya mengurangkan jumlah penduduk miskin di Kelantan melalui dividen pengagihan bulanan sebanyak RM200.

Sehingga sekarang seramai 4,332 penduduk miskin mendapat manfaat tersebut di mana penerima dipilih melalui penghulu di setiap mukim.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan penduduk di Gua Musang berpeluang mendengar penjelasan mengenai dakwaan rampasan tanah rakyat pada ceramah khas pada malam 14 Mei ini di padang Majlis Daerah Gua Musang.

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com