Wednesday, May 11, 2011

Selepas jadi akhbar porno, Utusan main api pula


Harakahdaily

PARIT BUNTAR, 12 Mei: Selepas bertukar menjadi ‘akhbar porno’ dan gagal dalam projek video lucah bersama Umno, Utusan Malaysia bermain api pula dalam soal agama dan perkauman demi untuk menarik sokongan Melayu.

"Kerana itu saya beranggapan dan beri nasihat kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa musuh utama negara sekarang bukannya dadah dan lain-lain tetapi ia adalah fitnah dari pemimpin Umno dan akhbar Utusan,” kata Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan seluruh rakyat Malaysia agar jangan mengikuti pemberitaan jijik dan kotor Utusan sebagai media Umno.

Sebelum ini, Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Mohamad Hata Wahiri berkata, agenda mingguan akhbar Utusan Malaysia ditetapkan oleh Biro Politik Umno yang dipimpin oleh Presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

Hatta dalam wawancaranya dengan laman web, Free Malaysia Today (FMT) (gambar) berkata, Ketua Pengarang Utusan yang ada sekarang akan menerima arahan dari mesyuarat Biro Politik Umno yang bersidang setiap hari Isnin malam.

Yang hadir dalam mesyuarat itu adalah Najib, timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yasin, naib presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamudin Husein dan Datuk Seri Safie Apdal serta Setiausaha Agung, Datuk Tengku Adnan Mansor dan Ketua Penerangan, Datuk Ahmad Maslan.

Bagi Khalid Idham (gambar bawah), apa yang berlaku kini menunjukkan Umno semakin tidak beretika dalam berpolitik dengan segala cara dihalalkan demi untuk kekal berkuasa termasuk menggunakan media.

Menurutnya, kebiadaban dan pembohongan Utusan Malaysia dalam laporannya kononnya pemimpin Kristian berkonspirasi dengan DAP untuk mengambil alih Putrajaya dan menggugurkan status Islam sebagai agama rasmi negara langsung tiada logik dan tidak berasas.

“Kerana itu rakyat perlu tolak pemimpin yang tidak bermoral dan etika ini pada PRU 13 nanti,” katanya yang juga Adun Titi Serong.

Katanya, pemimpin Umno menggunakan fitnah, seks dan perkauman melalui Utusan kerana mahu menutup isu sebenar negara iaitu rasuah, pembunuhan warga Mongolia yang dikaitkan dengan pimpinan tertinggi parti itu dan isu yang lebih besar lagi.

“Saya kira ini taktik lama yang diulang-ulang untuk mencetus rasa benci rakyat terhadap Pakatan Rakyat dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di samping menutup isu yang lebih besar itu,” katanya.

Tambahnya, ekoran itu menyebabkan rakyat sekarang rasa meluat dan benci terhadap Umno BN.

Buktinya, kata beliau dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak di mana rakyatnya telah membuktikan pada 16 April lalu betapa BN mula tidak diterima dengan peratusan undi yang merosot dan mereka malah hilang 8 kerusi.

Menurutnya yang juga Pengerusi Idham Care , peratusan undi kepada PR meningkat walaupun BN menghalang PR dari berkempen secara bebas di samping dinafikan hak menggunakan media arus perdana seperti mana yang BN lakukan semasa berkempen.

“Kalau dulu Najib kata Anwar boleh demam kalau berdebat dengannya tetapi realitinya sekarang Najib yang tidak nyenyak tidur," katanya.

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com