KUALA LUMPUR, 9 Mei — Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Tan Sri Bernard Dompok berkata, tidak menjadi masalah jika perdana menteri Malaysia itu seorang beragama Kristian.
Dalam satu kenyataan lewat petang ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) itu menegaskan Perlembagaan Persekutuan tidak menuntut hanya perdana menteri yang beragama Islam yang boleh menerajui kerajaan.
“Bagi persoalan seorang perdana menteri Kristian, apa masalahnya, saya tidak nampak.
“Lagipun Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan soal agama dalam soal melantik perdana menteri, satu-satunya syarat adalah mendapat sokongan dalam Parlimen.
“Jika orang Iban, Bidayuh, Kadazan, Murut, Kelabit, Cina atau India yang memenuhi peruntukan Artikel 43 Perlembagaan Persekutuan, dia boleh menjadi perdana menteri negara ini,” kata Dompok.
Tambah beliau, kedudukan Islam sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia telah diterima semua pihak.
“Semua orang bukan Islam menerima Islam dalam Perlembagaan dan di Malaysia kita bebas untuk mengamalkan agama masing-masing,” katanya.
Bagaimanapun tegas Dompok, laporan Utusan Malaysia bertajuk “Kristian Agama Rasmi?” tanpa mengesahkan kesahihannya akan menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum dalam negara.
“Bagaimana sebuah akhbar boleh menyiarkan laporan dengan memetik daripada penulis blog? Ia tidak bertanggungjawab. Saya telah beberapa kali ke gereja dan selama ini mereka berdoa yang baik mengenai negara, pemimpin dalam kerajaan dan rakyat Malaysia.
“Sesungguhnya doa yang dibuat itu adalah untuk kesejahteraan negara dan pemimpin-pemimpin,” katanya.
Utusan Malaysia kelmarin dengan tajuk “Kristian Agama Rasmi?” mendakwa wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri daripada kalangan penganut itu.
Utusan Malaysia juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP.
Bagaimanapun pemimpin-pemimpin DAP telah menafikan perkara tersebut sambil mengulangi pendirian mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini.
Blog-blog itu menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan pastor-pastor di sebuah hotel di Pulau Pinang, Rabu lalu.
Pertubuhan National Evangelical Christian Fellowship (NECF) bersama Global Day of Prayer, Marketplace Penang dan Penang Pastors Fellowship menegaskan dakwaan terhadap komuniti adalah pembohongan dan telah pun menafikan dakwaan blogger berkenaan kelmarin.
Bagi pakar undang-undang Prof Abdul Aziz Bari berkata, Perlembagaan Persekutuan tidak menuntut hanya perdana menteri beragama Islam boleh menerajui kerajaan pusat dan keperluan seperti itu bertentangan dengan undang-undang sedia ada.
“Peruntukan bahawa perdana menteri mesti seorang yang beragama Islam tidak selaras peruntukan di bawah Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com