Saturday, May 21, 2011

Tanah runtuh: Presiden PAS rakam takziah


KUALA LUMPUR, 21 Mei: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa tanah runtuh di Rumah Persatuan Anak Yatim Al-Takwa, Felcra Semungkis, Batu 14, Hulu Langat.

“Bersabarlah dengan ujian Allah. Semoga roh mereka yang tekorban dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh,” tulis beliau di laman twitter malam ini.

Kejadian itu juga turut mendapat perhatian Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Selain mengucapkan takziah kepada kelurga mangsa yang terkorban, beliau juga mengajak seluruh rakyat Malaysia berdoa agar mangsa diberi ganjaran terbaik oleh Allah SWT.

"Takziah saya rakamkan kepada mangsa nahas tanah runtuh di Hulu Langat petang tadi.

"Semoga Allah mengurniakan ganjaran yang terbaik untuk yang terkorban dan keluarga yang kehilangan ahlinya," katanya.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 petang tadi, seramai 24 kanak-kanak dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal, Hulu Langat.

Dilaporkan lima mayat kanak-kanak rumah anak yatim berkenaan yang berumur antara 11 hingga 14 tahun telah berjaya dikeluarkan dari tanah runtuh sehingga jam 8.00 malam ini. -Hrkh

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com