Monday, December 27, 2010

Presiden lancar Majlis Perwakilan PAS Luar Negara


MANCHESTER : PAS mengorak satu lagi langkah ke hadapan dengan melancarkan PAS Representative Council of UK & Eire (Majlis Perwakilan PAS Luar Negara) di Manchester Conference Center, Manchester, United Kingdom (UK) oleh Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, semalam.
Majlis ini turut dihadiri oleh Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi PAS Representative Council of UK & Eire, Jupri Bade dan rakyat Malaysia di United Kingdom.
Majlis Perwakilan ini dianggotai oleh para teknokrat dan profesional Malaysia di UK dan Ireland bagi meneruskan dakwah Islam buat semua rakyat Malaysia di seluruh dunia amnya dan di bumi United Kingdom dan Ireland umumnya.
“Sebagaimana kita mengamalkan demokrasi di Malaysia, kita juga mengamalkan demokrasi di UK. Malah rakyat Malaysia di UK dan Ireland boleh belajar daripada keterbukaan demokrasi di UK yang sebenarnya dipelajari dan dikaji daripada sistem Islam itu sendiri.
“Masyarakat Eropah sebelum kedatangan Islam, tidak mengenali sistem demokrasi seperti yang ada pada hari ini, dan hanya mengenalinya selepas mengenali keadilan Islam kepada semua,” kata Tuan Guru Abdul Hadi pada majlis itu.
Di dalam kenyataannya pada majlis pelancaran tersebut, Jupri Bade yang dilantik sebagai Pengerusi Majlis Perwakilan yang pertama menyebutkan bahawa keanggotaan majlis hanya dilantik secara terus oleh PAS, bagi mewakili dan meneruskan visi dan misi PAS dalam memperjuangkan dan menegakkan Islam. -Hrkh

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com