Thursday, January 27, 2011

Integriti: Tiada pilihan melainkan undi Cikgu Mala



LABIS, 27 Jan: PAS masih bertegas untuk menyatakan bahawa kes mahkamah calon BN pada pilihan raya kecil (PRK) Dun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim yang bakal didengar di Mahkamah Tinggi Muar pada 7 Februari ini merupakan satu bukti jelas bahawa kes beliau adalah jauh dari selesai.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Azahar tidak lagi boleh berdolak-dalik untuk menyatakan bahawa beliau mengikuti prosedur lelongan dan bertindak dalam batas-batas peraturan.
“Apa yang menjadi lebih malang ialah kenyataan beliau semalam terus menafikan bahawa tidak bersalah dan yang bersalah adalah Mansor Mohamad yang telah meminjam dari bank CIMB dan tidak membayar ansurannya sehingga tanah perlu dilelong,” katanya pada sidang media di Markas Operasi PAS PRK Tenang di sini, hari ini.
Katanya, Azahar hanya bertindak menjalankan tugas sebagai seorang Penolong Pendaftar Tanah Daerah Segamat dan apa yang lebih malang lagi adalah kenyataan Datuk Ahmad Maslan, seorang timbalan menteri merangka ketua penerangan Umno bahawa kesalahan itu adalah bersifat sivil dan bukan kriminal.
“Kami ingin sekali lagi mengingatkan kepada calon Umno BN ini bahawa kesalahan beliau adalah melelong tanah secara tidak sah, bukan sahaja tidak mengikut prosedur, malah adalah satu perkara yang jelas bahawa beliau tidak kompeten dan tidak bertanggungjawab,” ujarnya.
Oleh sebab itulah, katanya Mahkamah Tinggi Muar memerintah dikembalikan tanah itu kepada pemilik asalnya, Mansor Mohamad bersama kos pada 2008.
Menurutnya, jika tindakan melelong itu sah, mengikut prosedur dan bukan satu kesalahan, mahkamah tidak akan memerintahkan tanah itu dikembalikan.
“Di sini, kami sekali lagi ingin tegaskan kepada pihak media bahawa kenyataan calon Umno BN yang isu tersebut telah selesai menunjukkan sekali lagi beliau tidak bercakap benar kepada para pengundi dan partinya sendiri,” ujarnya yang juga ahli parlimen Pokok Sena.
Hakikatnya, tegas beliau fakta-fakta yang gtelah PAS dedahkan sejak pendedahan isu itu jelas menunjukkan bukan sahaja kes kecuaian, kelalaian dan penyalahgunaan kuasa calon BN sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat belum selesai, sebaliknya sikap Azahar dan pemimpin Umno amnya adalah sangat bermudah-mudah dengan isu-isu integriti, penyalahgunaan kuasa dan pertanggungjawaban.
Tambahnya, meskipun isu itu bukan kesalahan kriminal berat seperti membunuh, mencuri dan merompak, namun atas kesalahan pengurusan dan saratnya negara ini dengan amalan pincang, tempang dan tidak bertanggungjawab seperti yang dilakukan calon BN itulah, maka negara hari ini terjerumus dalam sistem penghantaran yang tiris dan bocor seperti yang dilaporkan Ketua Audit Negara yang menelan belanja dana rakyat sebanyak RM28 bilion setiap tahun.
“Kami mahu pemimpin Umno BN menimbang kembali pencalonan Azahar kerana ternyata berlawanan, bukan sahaja curang kepada partinya dalam menutup kesalahan dirinya bahkan akan menjejaskan kredibiliti pentadbiran kerajaan.
“Kami mempertegaskan dalam keadaan negara berhadapan dengan krisis-krisis pengurusan kewangan yang besar yang berpunca daripada ketiadaan integriti kepimpinan, maka PRK N05 Tenang ini tidak memerlukan seorang calon yang akan memburukkan lagi keadaan sekaligus memburukkan serta memangsakan rakyat yang lemah,” ujarnya.
Justeru, tegasnya para pengundi PRK Dun Tenang tidak mempunyai pilihan lain melainkan memilih calon PAS, Cikgu Mala yang telah dibuktikan cemerlang dan tidak dipersoalkan integriti berbanding calon BN. -Hrkh

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com