KUALA LUMPUR, 24 Jan: Dalam pilihan raya kecil Tenang, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek telah membangkitkan isu kecil seperti bersalam dengan mahram menjadi besar. Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat (gambar) berkata, jawapan balas daripada PAS dan PR telah menyebabkan masyarakat bukan Islam dapat memahaminya dengan baik. Kesannya, kata beliau adalah masyarakat bukan Islam semakin memahami ajaran agama Islam sebenar. Ini, tambahnya terbukti apabila calon PAS, Cikgu Mala dalam kempennya tidak menghadapi masalah dengan masyarakat lelaki bukan Islam semasa beliau berkempen di pasar Labis. “Jika Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tidak membangkitkan isu ini saya yakin ramai masyarakat bukan Islam tidak berpeluang memahami isu ini terutamanya di Labis. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada beliau kerana membangkitkan isu ini,” ujarnya. Walaubagaimana pun, katanya terdapat satu persoalan yang perlu dijawab oleh Soi Lek mengapa beliau membangkitkan isu itu. “Apakah kerana keuntungan politik atau kerana ketidak fahamannya terhadap ajaran Islam?” soalnya. Baginya, jika kerana keuntungan politik, maka Soi Lek adalah seorang pemimpin yang sanggup merendahkan agama Islam untuk kepentingan politik. “Pemimpin seumpama ini boleh membawa malapetaka kepada kepada negara. Pemimpin seumpama ini wajib ditolak oleh semua masyarakat dalam negara,” tegasnya. Sebaliknya, kata beliau jika Soi Lek melakukannya kerana ketidakfahamannya maka perlu dipersalahkan kepada Datuk Abdul Ghani Othman dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Mereka, katanya sudah lama berkawan di Johor tetapi tidak menyampaikan larangan-larangan dalam ajaran agama Islam ini. Tambahnya, mungkin mereka sukar memberi kefahaman kepada Soi Lek kerana mereka berdua juga bersalam dengan bukan mahram. “Saya perhatikan Lim Kit Siang dan Boo Cheng How sudah memahami isu ini dengan baik, mungkin sejak DAP bersama dalam PR,” katanya. Jika Soi Lek masih kurang memahami isu itu, ujarnya Pemuda PAS Pusat sanggup memberi khidmat nasihat kepada beliau berkenaan ajaran agama Islam sebenar. |
No comments:
Post a Comment
Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com