Saturday, January 15, 2011

SPRM hargai peranan Tun Abdul Hamid

Harakahdaily   
PUTRAJAYA, 16 Jan: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin memaklumkan bahawa Tun Abdul Hamid Mohamad telah memohon melepaskan jawatan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) melalui surat yang bertarikh 6 Januari 2011 atas masalah kesihatan.
Beliau telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 14 Oktober 2010 yang lalu dan telah menjalani pembedahan Cervical Spyndolosis serta dua (2) lagi pembedahan sampingan serta masih menjalani rawatan di hospital berkenaan sehingga ke hari ini.
Beliau telah memutuskan untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi LPPR kerana keadaan kesihatannya telah tidak membolehkan beliau melaksanakan tugas tersebut.
PRM dalam satu kenyataan memaklumkan permohonan melepaskan jawatan beliau telah diterima oleh Perdana Menteri Malaysia.
Abdul Hamid merupakan mantan Ketua Hakim Negara telah dilantik memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah  yang pertama berkuatkuasa pada 25 Februari 2009 bagi tempoh 3 tahun.
Pelantikan beliau adalah selaras dengan peruntukkan Seksyen 13 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Semasa memegang jawatan tersebut, beliau telah mempengerusikan kesemua mesyuarat LPPR sehingga beliau dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan pada bulan Oktober 2010 yang lalu.
SPRM merasakan satu kehilangan kerana Abdul Hamid merupakan seorang pemimpin dan individu yang mempunyai pandangan-pandangan yang bernas serta praktikal dalam pencegahan rasuah.
Beliau melalui LPPR  telah banyak memberi nasihat yang berguna mengenai inisiatif-inisiatif pencegahan rasuah di negara ini.
SPRM ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Abdul Hamid, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah atas segala khidmat dan nasihat yang diberikan sepanjang dua tahun memimpin Ahli-ahli Lembaga tersebut.

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com