* SUKAN tidak semestinya mengeratkan hubungan sejagat. Dalam kes bola sepak ternyata ia boleh mengancam, malah meretakkan hubungan. Seperti yang diketahui, pernah Honduras berperang dengan negara jirannya El-Salvador gara-gara bola sepak.
Di tempat kita sudah ada persepsi bahawa sekiranya ada perlawanan bola sepak antara Kelantan dengan Terengganu – keduaduanya negeri pantai timur, berjiran pula – ramai yang bimbang akan terjadi pergaduhan.
Sejarah telah membuktikan itu bukan hanya persepsi tetapi realiti. Sudah beberapa kali perlawanan di atas padang itu berkesudahan dengan kekecohan di luar padang. Ada bas dibakar, ada yang cedera parah.
Maka tidak menghairankan hubungan Malaysia-Indonesia yang memang sejak dulu selalu dalam keadaan ‘masam-masam manis’, menjadi pahit dan menyakitkan sehari dua ini, gara-gara bola.
Apabila pasukan negara tiba di Jakarta untuk pusingan kedua final Piala Suzuki AFF minggu lalu, kemarahan segera memuncak di Kuala Lumpur. Penyokong bola sepak Indonesia mengapi-apikan sentimen yang keterlaluan.
Mereka meneriakkan dengan penuh semangat kata-kata ‘Ganyang Malaysia!’. Sebelum ini teriakan yang sama, diikuti tunjuk perasaan, telah dibuat atas beberapa isu. Perkara remah seperti tarian pendet pun mereka mahu mengganyang kita.
Kerana sebiji bola mereka meneriakkan benda yang sama. Mudah sangat mereka hendak mengganyang kita, pada hal ada lebih tiga juta warga mereka yang menagih rezeki di negara ini. Apakah ‘si tukang ganyang’ itu tidak sedar diri?
Oleh sebab suasana hangat, dan atas sebab keselamatan, pasukan kita tidak berkesempatan mengadakan latihan di padang, sebaliknya hanya berlatih di kawasan hotel. Atas sebab keselamatan juga lebih 10,000 anggota polis dikerah berkawal di Stadium Gelora Bung Karno.
Gara-gara bola, pemain dan rombongan bola sepak kita, juga petugas media dari Kuala Lumpur, berada dalam keadaan ketakutan. Bola sepak sebagai sukan, bukan lagi sesuatu yang menggembirakan, tetapi menakutkan.
Tewas 1-2 pada pertarungan di Gelora, secara agregat kita memenangi perlawanan akhir itu 4-2. Pada perlawanan pusingan pertama di Kuala Lumpur kita menang 3-0.
Harimau menewaskan Garuda. Tajuk muka depan beberapa akhbar harian kita mungkin menyentap perasaan Jakarta, biarkan. “Garuda Makan Asap” kata Harian Metro. “Garuda Patah Sayap” kata Sinar Harian.
Mudah-mudahan kegagalan menewaskan Malaysia di Jakarta, dan dengan tajuk-tajuk akhbar kita yang penuh sindiran itu, penyokong Indonesia faham bahawa kita tidak mudah diganyang. Malah, kita pun boleh mengganyang.
Apa pun Malaysia akhirnya menjuarai Piala Suzuki AFF edisi ke-8, mencatat sejarah kerana inilah pertama kali kita menjulang piala itu sejak pertandingan diperkenalkan 1996. Syabas kepada pasukan kita, khasnya kepada jurulatih K Rajagopal.
Dan, kita mendapat sehari cuti umum (Jumaat). Ada pihak bertanya, apakah perlu diberikan cuti umum untuk kemenangan tersebut? Itu baru juara peringkat Asean, belum peringkat Asia, belum peringkat dunia. Betapa agaknya jika kita menjuarai Piala Dunia satu hari nanti!
*BERBEZA betul orang berduit dengan orang tidak berduit. Di Melaka negeri bersejarah, ada yang sanggup membayar RM300,100 hanya untuk mendapatkan nombor plat kenderaan MCA 1, sementara nombor MCA 2 dibeli pada harga RM101,000.
RM300,100 itu mencatat sejarah sebagai bidaan tertinggi setakat ini. Sebelum ini nombor plat TAY 1 (Terengganu) ditender oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada harga RM242,000, dan TAN 1 pada harga RM200,900.
Antara pembida lain yang berjaya membeli siri nombor plat di negeri Hang Tuah, seperti yang boleh dilihat menerusi laman web JPJ itu ialah Pengerusi MCA negeri, Datuk Gan Tian Loo (MCA 5) pada harga RM28,600, Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Koh Nai Kwong (MCA 7) RM64,776.80.
Sementara orang kaya sedia membayar RM puluhan ribu dan ratusan ribu, hanya untuk satu nombor plat, ada beribu-ribu orang miskin di seluruh negara yang masih dalam keadaan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dalam keadaan harga barang yang terus naik sekarang, mungkin kais pagi belum tentu dapat makan pagi, kais petang belum tentu dapat makan.
Ada orang megah mengeluarkan RM100,000 untuk membeli nombor plat kereta. Ada pula yang menangis hiba kerana gagal mendapatkan hanya RM10 untuk membeli kasut sekolah anak tersayang. Apa boleh buat!
* AKHIR kalam, masih belum lambat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2011. Setahun lagi telah berlalu, bertambah lagi usia kita. Dan, semakin hampir kita kepada kematian.
Seperti biasanya, awal tahun seperti ini kita semua membuat berbagai-bagai azam. Semuanya hebat-hebat, malah sesetengahnya luar biasa sehingga nampak tidak munasabah untuk dilaksanakan.
Bagi wanita salah satu azam ialah untuk bertukar daripada saiz ‘XXL’ kepada ‘S’. Bagi lelaki, mungkin ada yang berazam untuk kahwin baru dua, tiga dan empat – ini pun kira azam hebat juga.
Sama ada hebat, luar biasa atau kecil dan biasa, satu perkara yang perlu diingat sebelum menulis atau membuat azam tahun baru ini ialah apakah azam kita tahun lalu telah berjaya dilaksanakan?
- TOK PERAK
No comments:
Post a Comment
Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com