Sunday, January 2, 2011

Menyambut Tahun Baru bukan tradisi Melayu tetapi sepanjang ingatan saya.........

Tepuk dada tanya selera

Bikin tak seperti cakap, tiada ketabahan hati melaksanakan iltizam

Menyambut Tahun Baru bukan tradisi Melayu tetapi sepanjang ingatan saya – dan saya menjangkau 74 tahun pertengahan 2011 – New Year celebrations dalam kalangan Bangsawan, Kelas Menengah Atas dan Kelas Menengah Melayu lumrah. Kemampuan dan kemudahan perjalanan membolehkan setengah pula meraikannya di luar negara. Begitu jugalah dengan perayaan hari jadi yang kini dilakukan sebahagian orang kita semua darjat.

Dalam ‘Rubaiyat’, Omar Khaiyyam mendeklamasikan:

Now the New Year reviving old Desires, The thoughtful soul to Solitude retires.
Lord Tennyson, pujangga Inggeris, pula menyairkan:

Ring out the old, ring the new, Ring happy bells, across the snow:

The year is going, let him go; Ring out the false, ring in the true.

Kedua-dua penyair, satu timur satu barat, membuat kita termenung, berfikir: memberi kita pilihan dalam menghadapi tahun baru: puas hati dengan status quo (keadaan kini), merana atau ingin bahagia dan mewah, mahu berubah atau terus hidup seluas dada tuma; menerima ‘transformasi’ atau ‘reformasi’, yang jujur atau sebaliknya. Atau terus menunggu takdir!

Biasanya perayaan tahun baru di barat musim salji: gembira dan selesa sekali pun suhunya sejuk; ambience (sekelilingnya) menghibur dan penuh kelegaan. Di Kelantan, selalunya dicurahi hujan (musim tengkujuh), di ibu kota sesak trafik tetapi perayaan tidak tergendala – bunga api, konsert untuk massa. Penonton dan peserta jelas seronok. Mereka yang berada melangsungkan perayaan di rumah (house parties), di Kelab dan hotel-hotel berbintang. 

Perayaan di atas kapal cruise, kapal pelancong, meriah, indah, romantik di bawah langit yang disinari cahaya gugusan bintang, cakerawala berkelip-kelip, bertaburan dan bulan yang menjadikan malam seperti siang. Penumpang dan anak kapal cukup ria menikmati makan, minum dan menari diiringi muzik bercampur gema pukulan ombak yang dilunakkan oleh angin yang berderu-deru sementara bahtera belayar perlahan-lahan ‘to nowhere specific’ hinggalah perayaan tamat lazimnya dengan sarapan pagi. Dalam suasana seindah itu kekasih dua sejoli melihat wajah juwitanya bagai bulan empat belas dan juwita melihat kekasihnya (lover) tiada cacat: kacak, wangi dan kad kreditnya tiada had! 

Apa resolusi anda tahun 2011? Telah kah anda sempurnakan ketetapan tahun lalu? Saya, dengan ikhlas, mengaku saya gagal melaksanakan kebanyakan – sebenarnya semua – keputusan yang saya fikir wajar, praktikal dan boleh dilakukan. Sebab kelemahan diri resolusi tinggal resolusi. Tegas Speaking: ‘more ability than will power – lebih bakat/ kebolehan atau hanya pandai membuat resolusi dari kesungguhan melaksanakannya!’ Bagaimana pula dengan pemimpin kita, baik yang memerintah atau yang berhasrat membentuk kerajaan selepas PRU13? Tepuk dada tanya selera.

Kerajaan kelihatan teguh, populariti PM, mengikut polls, meningkat, terus meningkat terutama dalam kalangan orang India, Melayu dan Cina (mengikut nombor kepopularan), ada juga dakwaan ketua pembangkang biar pun isu dalaman PKR mengusutkan (disarray) terus popular. Apa pun kedua-dua pihak memerlukan nafas dan pendekatan baru dan dikelilingi pula oleh penasihat-penasihat dan ‘orang dalam’ yang sebulu, yang mereka bisa bicara secara berterus terang tanpa takut dan silu dan tahan diuji. Kedua-dua pemimpin wajib mempunyai markah tinggi dalam kejujuran (probity). Saya percaya PM dan ketua pembangkang mengukur diri mereka tinggi. Persepsi rakyat berbeza, terlampau banyak insinuasi dan sindiran. Kedua-dua memerlukan lebih ramai ‘gergasi’ dari sikatik (pygmies) membantu mereka.

Dalam siasah juga hidup biasalah orang mesti berikhtiar untuk diri sendiri, cita-citanya, keluarganya, kroninya dan jenteranya yakni partinya berkuasa dan terus berkuasa (sustainable) apa harga pun. Ada melakukannya secara halus dan bijak agar mereka disayangi, ada secara tidak sopan, tidak mengikut tradisi dan undang-undang. Kepada mereka semua halal asalkan hajat sampai, harga diri (self-worth), malu, segan, honour (kehormatan) tiada dalam kamus mereka. Sifat Melayu Baru! Yang jelas politikus yang baik, berpotensi, jujur tidak ramai wujud di kedua-dua belah pihak. Mengikut perhatian Speaking: ‘they are not yet in good supply – bekalan mereka sedemikian kecil!’

Tahun 2010 telah pergi meski pun baru satu hari sahaja. Kita dan dunia terutama di Eropah (Yunani, Ireland bahkan United Kingdom (UK)) dan Amerika Syarikat (AS) pun sedang mengalami kelembapan ekonomi. Kebangkitan dan pertumbuhan ekonomi walaupun mendapat galakan dan dorongan dari stimulus package dan tax cuts perlahan bagai air Sungai Kelantan yang keruh itu mengalir. Airnya tohor! Kerajaan kita agak bijak: dalam menyelam cetek timbanya!

Kita bersyukur negara kita masih dapat bertahan lagi. Lihat sajalah peperangan yang sedang berlaku di Afghanistan, Iraq dan di benua Afrika. Kalau tidak kena Pakistan akan meletup dan bara di Timur Tengah menyala semula. Kemajuan teknologi berlaku terus menerus untuk kebaikan dan juga keburukan. Keganasan siber akan menjadi suatu yang normal. Sudah kah kita sebagai bangsa bersedia menghadapi keganasan mikro dan juga menerima cabaran yang manfaat dari revolusi dan demokratisasi teknologi dan alam maklumat ini?

Saya menyambut 2011 dengan doa dan harapan saya terus sihat walafiat, dapat terus menyumbang (kalau ini boleh dikatakan kontribusi), berkongsi pengalaman, bertukar-tukar informasi dan pengetahuan, bercerung fikiran dan melalui kolum ini dan ucapan-ucapan membakar semangat muda-mudi kita: menyediakan diri menghadapi cabaran masa depan yang sengit, canggih; dunia tanpa sempadan, peredaran baru dan model politik dan ekonomi baru. Mereka yang tidak bersedia selengkap boleh akan tertinggal bagai kera di hutan! Yang deras dan bersiap akan berjaya, ramai yang akan terhimpit dan ramai lagi akan hampa dan kecewa.

Ambillah iktibar dari pengasas dan pencipta Facebook, Mark Zuckerberg, 26 tahun. Dia telah menukarkan wajah dunia dan cara manusia berinteraksi melalui Facebook. Mark kelahiran generasi komputer, dia juga kini arkitek bagi generasi teknologi canggih dan tinggi ini – yang akan lebih maju masa muka. Mark, antara insan yang terkaya, pencipta terpintar di alam namun dia dropout (cicir) dari Harvard dan lebih senang berpakaian jeans dan baju T saja! Seorang lagi yang tercicir dari Harvard telah menguasai dunia selainnya ialah Bill Gates. Siapa kata sukses hanya kalau lulus universiti?

Berjaya, susah, kaya atau miskin dunia terus beredar dan kita terus hidup hingga mati. Apa itu sukses, apa itu kebahagiaan? Terpulang pada individu. Apa pun akhirnya kita menghadapi Allah SWT. Teringat apa kata Rudyard Kipling tentang maut: ‘There’s no jealousy in the grave...tiada hasad dengki dalam kubur!’ Ingatlah wahai bangsaku rata-rata pemegang ijazah PhD. 

Semoga selalu senyum sepanjang tahun 2011 diiringi doa, harapan dan komitmen bangsa kita terus memegang tapuk pemerintahan satu ratus tahun lagi!
Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com