Ismail Hashim
SHAH ALAM, : Barisan Nasional (BN) sekali lagi memperlihatkan sikap baculnya mereka apabila meletakkan Sultan Selangor di bahagian hadapan bagi menghadapi kemaraan Pakatan Rakyat khususnya dalam memerintah Negeri Selangor.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menegaskan, PR menghadapi BN di dalam medan politik negara ini dan sewajarnya merekalah yang seharusnya berada di barisan utama dalam menghadapi sebarang isu berbangkit dalam Selangor khususnya.
Khalid berucap demikian ketika memberikan tujuan himpunan aman yang diadakan di Dataran Shah Alam, bermula jam 3 petang tadi dan berakhir sejam kemudian di Bangunan SUK, dekat sini.
Himpunan itu adalah pelancaran kepada Program Jelajah Seluruh Selangor dalam usaha mengutip sejuta tanda tangan sokongan terhadap Sultan Selangor yang dipergunakan oleh BN selama ini.
Beliau berucap di hadapan ribuan rakyat Selangor yang berhimpun mewakili jutaan rakyat negeri itu sebagai menyatakan sokongan tidak berbelah bagi terhadap Sultan Selangor yang jelas diperkudakan oleh BN dalam beberapa isu mutakhir.
“Musuh utama politik kita adalah BN tetapi mereka bersikap bacul dengan meletakkan Baginda Sultan di hadapan untuk menghadapi PR,” tegasnya disambut laungan Allahu Akbar dan Reformasi.
Semua lapisan anggota masyarakat terdiri daripada anak-anak muda, dewasa dan wanita memenuhi ruangan anak tangga di dataran itu dengan tidak menghalang lalu lintas sebalik pengguna jalan raya membunyikan hon sokongan.
Selepas lima minit dimulakan, kelihatan lima pegawai pasukan berunifom menghampiri himpunan dan ketika itu juga, Pengerusi Kelab Menteri Besar Selangor, Anuar Othman memberi jaminan dan bertanggungjawab ke atas himpunan aman itu.
Lebih 30 anggota polis termasuk pasukan FRU siap dengan belantan dan perisai mengawasi himpunan itu bagi menjaga keselamatan dari provokasi pihak tidak bertanggungjawab, hingga akhir tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Sebaik Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Selangor, Dr Badrul Amin Baharom menurunkan tanda tangan sebagai gimik pelancaran jelajah itu, perarakan pun bermula ke Bangunan SUK untuk menyerahkan memo sokongan kepada Tan Sri Khalid.
No comments:
Post a Comment
Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com