Thursday, February 24, 2011

Mentaliti Pengurusan UPM Yang Kolot Terlalu Memalukan


Pemilihan kampus: Mahasiswa bangkit amaran awal IPTA perlu dinamik

Kekecohan di kampus induk Universiti Putra Malaysia semalam sememangnya tidak pernah disaksikan selama ini. Ribut politik mahasiswa yang melanda Universiti Putra Malaysia, salah satu universiti tertua di negara ini, kelihatan reda dengan begitu cepat. Tidak sampai 24 jam — ribut yang bertiup kencang berakhir dengan penyelesaian segera.

Pengurusan Universiti Putra Malaysia menyelesaikan isu yang muncul ini dengan cepat tetapi terpaksa tunduk kepada desakan pelajar-pelajar yang kecewa dengan keputusan membatalkan kelayakan calon-calon yang bertanding — jumlah yang ramai dalam sejarah universiti itu.

Maklumat diperoleh menunjukkan keputusan pembatalan status calon termasuk yang menang dilakukan tanpa inkuiri yang sewajarnya — bermakna adil dan seimbang — memberikan peluang kepada pengadu dan pihak yang diadu. Satu aduan membawa kepada pembatalan 33 pelajar, kata seorang pemimpin yang dihubungi The Malaysian Insider.

Ini bukan kali pertama “krisis” pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menjadi perhatian khususnya di UPM yang dahulunya dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia.

Ada pelajar yang sanggup bermalam di Bangunan Canselori Universiti Putra Malaysia untuk mendapatkan pembelaan daripada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, yang akhirnya membawa kepada kekecohan ekoran perubahan pendirian keputusan yang dicapai dalam menyelesaikan isu berkenaan.

Awal tahun lalu calon-calon yang dilabel Pro Mahasiswa juga berhadapan dengan masalah yang sama.

Kali ini alasan digunakan calon-calon tidak boleh berkempen secara berkumpulan.

Ia antara beberapa syarat yang disenaraikan dalam proses pilihan raya kampus awam di negara ini.

Difahamkan di sesetengah universiti, calon pemilihan kampus dilarang daripada berkempen menggunakan media-media baru.

Nampaknya generasi muda alam siber ini memberontak.

Kekecohan juga disaksikan menjelang pemilihan MPP Universiti Malaya, gara-gara kerana pertikaian mengenai status calon.

Sudah lama pusat-pusat pengajian tinggi awam tidak digemparkan dengan tindakan-tindakan seperti itu.

Lebih dua dekad yang lalu demonstrasi di universiti, sudah pasti hanya universiti awam, bukan satu perkara baru. Ketika temu bual untuk akhbar makmal hampir 20 tahun lalu, seorang timbalan naib canselor Universiti Kebangsaan Malaysia pernah mengakui demonstrasi membabitkan penuntut universiti berkait rapat dengan ideologi politik masing-masing. Tetapi demonstrasi seumpama sudah lama tidak disaksikan.

Kini ia wujud kembali.

Sudah pasti ada sebabnya. Di mana kesilapannya? Jawapan mudah: ada kekurangan dan kelemahan dalam sistem pemilihan yang penuntut tidak dapat menerima. Ini tidak kira sama ada ia membabitkan kepentingan penuntut dari kumpulan Pro Aspirasi, Pro Mahasiswa ataupun kalangan bebas.

Hari ini nasib pelajar Pro Mahasiswa. Esok calon Pro Aspirasi!

Soal calon-calon yang melabelkan diri mereka sebagai wakil kumpulan tertentu juga bukan satu perkara baru. Ia sudah lama wujud.

Sama ada orang ramai dapat menerima aspek ini ataupun sebaliknya, perkembangan terbaru ini juga berkait rapat dengan tempias landskap politik nasional.

Walaupun keputusan pemilihan sesi 2010/2011 tidak akan mempengaruhi pilihan raya umum nasional, tetapi ia akan tetap membawa sedikit sebanyak kesan sampingan.

Melihat kepada kekurangan dan kelemahan yang wujud, sudah tiba masanya Kementerian Pengajian Tinggi, walaupun universiti-universiti awam mempunyai kuasa autonomi untuk menguruskan hal ehwal masing-masing, tetapi melakukan sesuatu untuk membetulkan keadaan.

Justeru, Kementerian Pengajian Tinggi perlu menggerakkan usaha mengkaji semula sistem dan prosedur mengendalikan pilihan raya kampus supaya tiada campur tangan, yang dilihat keterlaluan pengurusan universiti mengendalikan pilihan raya kampus.

Antara lain serahkan sahaja urusan ini kepada pelajar sendiri. Biar mereka yang mengendalikan pilihan raya kampus. Apatah lagi golongan pelajar itu sendiri membabitkan diri secara langsung dan tidak langsung dalam politik nasional, yang lebih mencabar, satu hari kelak. Universiti harus mula melatih mereka, bukannya mengawal keupayaan mereka.

Pengurusan universiti tidak wajar campur tangan dan memihak kepada mana-mana kumpulan. Ini mesej yang jelas daripada kejadian di Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia.

Di sesetengah universiti proses pemilihan berjalan dengan lancar dengan ada yang dimenangi oleh calon Pro Aspirasi atau Pro Mahasiswa.

Bermakna ada kelainan dari segi pengurusan dan juga sikap tidak berkecuali pengurusan universiti yang terlibat dalam urusan pilihan raya.

Sekiranya sesetengah sekolah rendah dan menengah sudah mula mengadakan pilihan raya di kalangan murid demi persediaan masa depan, sistem pilihan raya kampus seharusnya menjadi contoh kepada landskap politik kebangsaan.

Jangan kongkong dan jangan meletakkan kawalan terlampu dalam soal pengendalian pilihan raya. -TMI

Golongan pentabdir universiti tempatan yang cuba menyekat kebangkitan pelajar dalah terdiri dari mereka yang dipanggil "the captive mind" - pemikiran yang terkongkong yang terhasil disebabkan olehcorruption and the mismanagement - demikian kata ahli sisiologi Prof Syed Hussein Al-Attas.

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com