Wednesday, February 9, 2011

Ops Lalang : Mahathir Penipu - Mat Sabu



KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berbohong apabila beliau menuding jari kepada polis sebagai pihak bertanggungjawab dalam Operasi Lalang 1987.

Demikian kata Ahli Jawatankuas PAS Pusat, Mohamad Sabu, mengulas kenyataan Mahathir di dalam buku tulisan Tom Plate, ‘Doctor M: Operation Malaysia – Conversations with Mahathir Mohamad’.
Dalam buku tersebut, Mahathir mendakwa beliau pada asalnya bercadang menangani Operasi Lalang dengan cara berbeza.

Malangnya, kata Mahathir, polis bertegas meneruskan penangkapan sedangkan beliau sendiri sebelumnya menemui pemimpin pembangkang memberi jaminan mereka tidak akan ditangkap.
Mengulas lebih lanjut, Mohamad Sabu, yang turut ditahan dalam operasi tersebut, mempersoalkan jika benar penangkapan tersebut dilakukan menurut kehendak polis, mengapakah beberapa ahli politik daripada Barisan Nasional terkecuali daripada ditahan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang merupakan Timbalan Ketua Pemuda Umno pada masa itu bertempat di Stadium TPCA, Kampung Baru menyeru orang Melayu supaya membasahkan keris dengan darah orang Cina.

“Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim pula berpesan kepada orang Melayu agar ke Kuala Lumpur dengan membawa senjata sekurang-kurangnya mancis api.

“Lee Kim Sai pula pada masa tersebut menuntut supaya jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada orang Cina.

“Kesemua mereka tidak pula ditahan semasa Operasi Lalang,” kata Mohamad Sabu.

Tambahnya lagi, penahanan yang dibuat sewaktu Operasi Lalang tersebut sebenarnya berdasarkan satu senarai yang disediakan oleh orang politik.

“Sebelum operasi tersebut dijalankan, Mahathir mengarahkan Najib ke Jakarta, Lee Kim Sai ke Australia sementara Shahidan tidak pula ditahan,” kata Mohamad Sabu.

Dalam perkembangan yang sama, Ahli Parlimen Ipoh Timor, Lim Kit Siang menafikan Mahathir menemui mana-mana pemimpin pembangkang sebelum operasi tersebut dijalankan.

Sedangkan katanya, lebih setahun selepas ditahan, Mahathir sendiri pernah berkata bahawa penahanannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri adalah wajar.

“Saya tak pernah bertemu Mahathir dan dia sendiri tak pernah memberi jaminan saya tidak akan ditahan sebelum Operasi Lalang 1987.

“Saya minta dia namakan pemimpin pembangkang yang dia kata dia jumpa!” kata Kit Siang.

Operasi Lalang dilaksanakan pada 27 Oktober 1987 oleh Kementerian Dalam Negeri dengan kerjasama Polis Di Raja Malaysia.

Ia menyaksikan 106 orang ditangkap dan ditahan di bawah ISA terutamanya ahli politik parti pembangkang.

Peristiwa tersebut juga menyaksikan pembatalan dua akhabar harian berlesen, The Star dan Sin Chew Jit Poh serta dua akhbar mingguan, The Sunday Star dan Watan.
Sumber: Mimpi Senja

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com