Monday, February 7, 2011

Polis didakwa bantu PATI dapat kad pengenalan untuk mengundi.


Nazli Ibrahim

SANDAKAN: Anggota Polis hari ini di dakwa sebagai dalang bertanggungjawab disebalik kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dan mendapatkan kad pengenalan bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya yang diadakan di negeri Sabah.
Demikian beritahu Presiden Persatuan Keluarga Karanaan Liwan Sabah [SAKAG] Sabah, Haji Masmin Kadad, ketika mendedahkan kepada media dalam satu lawatan beliau ke Kalabakan baru-baru ini.
“Saya mendapat laporan daripada orang awam yang mengadu kepada saya bahawa PATI dari Pulau Sebatik dihantar oleh anggota keselamatan ke Kalabakan dengan membayar pihak anggota keselamatan sebanyak RM350 untuk menjamin mereka masuk dengan selamat ke Sabah,” beritahu Haji Masmin.
Dakwanya lagi, selain menjadikan daerah Tawau sebagai tempat operasi, mereka turut menjadikan Kalabakan dan Lahad Datu sebagai pintu masuk PATI sehingga mencecah 1,000 orang PATI setiap bulan.


Pegawai polis mampu kaut beratus ribu sebulan

“PATI ini sanggup membayar kerana khuatir akan ditangkap oleh pihak yang berkuasa.
“Berdasarkan jumlah PATI yang masuk ke Sabah melalui Kalabakan dan Lahad Datu seramai antara 500 sehingga 1,000 orang sebulan saya percaya pegawai kanan polis yang terlibat mampu mendapat untung beratus ribu ringgit sebulan,” katanya lagi.
Beliau yang sudah lama membuat pemantauan terhadap keadaan ini turut memberitahu sebelum ini beliau turut menerima panggilan berbaur ugutan agar tidak menghebohkan kepada media dan melaporkan kepada pihak berkuasa.
Beliau turut memberitahu, terdapat agen yang akan mengaturkan bagi mendapatkan pekerjaan di ladang kelapa sawit, pembalakan, kontraktor dan juga pembantu rumah atau bekerja di kedai-kedai dengan gaji serendah RM6.00 sehari dan selepas tiga bulan kemudian mereka boleh memilih kerja sendiri.
Tambah memburukkan keadaan apabila kejadian yang telah berlaku semenjak tahun 1980an lagi ini turut membabitkan pihak yang membantu mereka untuk mendapatkan kad pengenalan dengan harga antara RM2,500 hingga RM5,000 seorang.
PATI bantu BN menang pilihan raya
Beliau juga percaya langkah tersebut merupakan satu modus operandi pihak tertentu bagi membantu parti kerajaan bagi memperolehi undi yang tinggi dalam setiap pilihan raya umum.
“Beginilah cara PATI masuk ke Sabah dan begitu mudah mendapat warganegara Malaysia khususnya dari PATI yang mendapat taraf Bumiputera kelas pertama dan mengundi parti kerajaan dalam pilihan raya,” ujar beliau lagi.
Haji Masmin turut menjelaskan pada 2003, mengikut data tidak rasmi, terdapat lebih 1.7 juta PATI yang telah mendapat Mykad dan menjadi rakyat Malaysia untuk mengundi parti kerajaan dalam pilihanraya umum.
Beliau juga turut menyangkal dakwaan Pegawai Kanan Imigresen Sabah yang mengatakan masalah pendatang asing ini berlaku di seluruh negara bagi menutup kelemahan dan penyelewengan kerajaan menyediakan ‘warganegara mi segera’ bagi mendapatkan undi mereka.
Berhubung isu yang sama, beliau mendesak agar kuasa Jabatan Imegresen dikembalikan kepada Sabah apabila menganggap Jabatan Imigresen yang ada pada masa ini tidak serius dan gagal mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membendung masalah ini.
Kembalikan kuasa imigresen kepada negeri Sabah (tajuk kecil)
“Jalan terbaik, kembalikan kuasa mutlak Jabatan Imigresen kepada Sabah kerana telah terbukti sejak Sabah merdeka dan bersama membentuk Negara Malaysia sepanjang 47 tahun, Jabatan Imigresen ini tidak serius dan menyebabkan kebanjiran PATI di Sabah semakin ketara,” beritahu Haji Masmin.
Beliau turut sekali lagi mempersoalkan adakah isu PATI ini sengaja dibiarkan oleh Kerajaan Persekutuan atas agenda kepentingan BN dan akhirnya disebabkan kadar pengangguran yang tinggi, PATI ini boleh mengancam keselamatan rakyat dan negeri Sabah sendiri.

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas cadangan dan pandangan. **Your suggestion and advice is highly appreciated.** passpk@hotmail.com